LANGKAH kerajaan India memperkenalkan prototaip komputer tablet ciptaan mereka yang berharga AS$35 (RM109) pada Julai lalu mendapat liputan daripada seluruh dunia.
Di sebalik kejayaan itu, timbul desas-desus yang mempersoalkan sama ada projek tersebut mampu diteruskan atau sekadar sebuah impian sahaja.
Pada pelancaran produk tersebut, Menteri Pembangunan Sumber Manusia India, Kapil Sibal memberitahu, India akan muncul sebagai sebuah negara hebat dengan penggunaan teknologi pada harga yang rendah.
Sibal turut mendedahkan harga untuk sebuah gajet itu bersamaan sebuah iPad Apple iaitu AS500 (RM1,567).
Menurut satu kenyataan rasmi, harga gajet skrin sentuh itu yang disasarkan untuk penggunaan kira-kira sejuta orang pelajar di India boleh dijual pada harga AS$10 (RM31) jika permintaannya bertambah.
Dari segi spesifikasi, komputer tablet yang masih belum diberi nama itu dilengkapi kuasa tambahan selama tiga jam, pelayar Internet, pemain media, keupayaan persidangan video, penstoran data, pemacu cakera keras dan kamera web.
"Harga untuk sebuah komputer tablet turut memberi faedah kepada pengilang meningkatkan produktiviti untuk pengeluaran pada masa akan datang.
"Gajet yang dijual pada harga rendah ini dilihat mampu memberi revolusi baru dalam sistem pembelajaran di negara kami. Ia juga bakal menerima impak positif untuk kempen celik IT kami," kata Sibal.
Komputer versi asas
Sebelum ini, rakyat India pernah berjanji bahawa penggunaan komputer riba pasti akan mendapat sambutan.
Namun, keputusan kerajaan India untuk memasarkan komputer di antara tahun 2005 hingga 2009 hanyalah satu gimik dan tidak pernah dikotakan.
Dalam pada itu, seorang rakan kongsi di firma audit tempatan, Ernst and Young, Terry Thomas mendakwa, penjualan komputer tablet itu berkemungkinan menghadapi masalah.
"Harga sebuah komputer yang dilengkapi dengan fungsi biasa tidak mampu bertahan kecuali jika mendapat subsidi daripada kerajaan atau industri pembuatan itu sendiri," katanya.
Thomas menyarankan supaya komputer tablet itu hanya dimuatkan versi asas sahaja bagi mengelakkan kos tambahan pengiklanan walaupun ia berkemungkinan tidak mampu menarik perhatian pengguna.
Difahamkan, sebanyak 100,000 unit komputer tersebut akan dipasarkan pada Januari depan, namun butiran lengkap mengenai spesifikasi sebenar gajet itu masih belum diputuskan.
Pada masa yang sama, beberapa pakar turut memberi amaran bahawa gajet tersebut mungkin akan bergelut dengan isu seperti menggunakan barangan import murah dan peningkatan caj buruh yang tinggi yang bakal ditanggung oleh kerajaan India.
"Jika semua bayaran hanya untuk membayar kos buruh, kos bagi barang-barang material seperti plastik atau silikon pula tidak mampu untuk dibiayai," kata Joydeep Bhattacharya yang bertugas di syarikat gergasi komputer Amerika Syarikat (AS), Hewlett-Packard.
Kurang kos pembuatan
Mengulas mengenai harga bagi seunit papan induk yang mencecah AS$47 (RM147), kementerian Sibal dalam satu kenyataan pada awal tahun ini mendakwa kos pembuatan gajet itu masih boleh dikurangkan.
Sibal pada masa yang sama berharap 10 juta unit gajet itu berjaya dihasilkan dalam tempoh 12 bulan.
Beliau juga enggan mendedahkan identiti pengeluar gajet tersebut walaupun ia bakal berada di pasaran dalam masa sebulan.
Dalam perkembangan lain, sebuah kilang teknologi yang berpangkalan di New Delhi iaitu Persatuan Pengeluar Teknologi Maklumat (MAIT) menegaskan, subsidi kerajaan India tidak mampu u menurunkan harga AS$35 (RM109) ekoran tekanan di pihak pamasaran.
Pengarah Eksekutif MAIT, Ashwani Aggarwal berkata, dia keliru sama ada harga tersebut turut meliputi cukai, caj pengangkutan dan kos penghantaran atau sebaliknya.
"Untuk selari dengan kos, usaha yang lebih serius perlu diberi perhatian menerusi program yang menyediakan kewangan kepada pelajar," kata Aggarwal.
Sebagai rekod, sebanyak 61 peratus rakyat India dilaporkan jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju lain seperti China yang jauh ke depan dengan 92 peratus, tetapi masih berusaha untuk memajukan sistem pendidikan mereka.
Justeru, perancangan komputer tablet merupakan salah satu langkah untuk meningkatkan jumlah pelajar mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, mendedahkan mereka dengan kemahiran teknologi yang diperlukan untuk membangunkan ekonomi di India.
Walaupun berdepan dengan pelbagai halangan, Timbalan Presiden Eksekutif sebuah firma teknologi di India, HCL Infosystems, George Paul optimis sambil memberitahu, progres komputer tersebut adalah satu kemajuan jangka panjang untuk India.
"Persatuan Satu Komputer Riba untuk Seorang Kanak-kanak di AS sebelum ini agak sukar untuk mencapai sasaran, tetapi kini ia menuju ke frasa baru iaitu dengan menggunakan komputer buku pada harga yang rendah.
"Ini adalah satu contoh perjalanan yang akan terus berkembang," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: