Tuesday, December 28, 2010

Ganjaran RM100 000 Untuk Juara Raja Lawak 5

12 Finalis Raja Lawak musim kelima

KUALA LUMPUR: Seramai 12 finalis terpilih untuk berentap di Gelanggang Raja Lawak Astro bagi merangkul gelaran Juara Raja Lawak musim Kelima yang bermula pada 7 Januari, pukul 9 malam di saluran Astro Prima.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, sesi uji bakat Raja Lawak 5 menerima penyertaan lebih banyak, malah kebanyakan daripada peserta sudah membuat persediaan awal.

“Setelah empat musim bersiaran, pastinya mereka sudah memahami peraturan dan kehendak program realiti ini.

“Mereka datang dengan kelengkapan tersendiri dan boleh dikatakan persiapan sudah dibuat sebelum melalui sesi uji bakat ini,” ujarnya pada sidang media Raja Lawak 5 di Pasar Seni, di sini , Isnin.

Jelasnya 12 finalis yang terpilih merupakan yang terbaik yang mempunyai karakter tersendiri dan mampu bersaing di pentas Raja Lawak 5.

“Kita buat pemilihan daripada 2000 peserta yang datang kepada 28 peserta. Setelah melihat dari beberapa sudut, kami memilih 12 yang terbaik.

“Mereka tidak dilihat daripada rupa paras dan penampilan tetapi bakat lawak semata-mata. Mereka juga mempunyai kekuatan lawak yang tersendiri,” jelasnya.

Peserta kali ini terdiri daripada lapan peserta berkumpulan iaitu Kumpulan Pukaw (Indran Putra Setia Negara(22), Abd Hadzir Abdullah(23), Nizam Solah (34) ), R2(Rahim Mat Ali(40), Ridhuan Mat Ali(21)), BOBO(Mohd Hamizi Hashim(24), Mohd Azwan Sabri(24)), Kopi O(Syariwan Joir(28), Fakhruddin Mohd Azmi(19)), Balas(Fandi Muhammad(25), Mohd Shukri Mohd Safar (24)), Kami(Zarina Mohd Nor(34), Elly Sarimah (29)), Lucky(Mohd Zhafir Hilman Hassin (23), Mohd Hazwan Azani(23), Kahirul Nazmi Rodzy(23)), TBO(Ahmad Firdaus Misnan(24), Mohd Sufian Masri(25), Mohd Isa Razai(25))

Sementara peserta solo terdiri daripada Mohd Hanafi Rusmadi (18), Sulaiman Ibrahim (29), Abdul Rahman Kasim (33) dan Mohd Nazmi Md Isa (23).

Masih mengekalkan konsep dan format yang sama seperti sebelum ini, pemarkahan penuh masih terletak di tangan pengundi sistem pesanan ringkas (SMS).

Manakala tiga orang pengkritik tetap akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria ditetapkan.

“Pengkritik akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat dan kemahiran lakonan.

“Bagaimanapun, kami hanya akan mengumumkan senarai baru barisan pengkritik tetap sewaktu minggu pertama Gelanggang Raja Lawak nanti,” katanya.

Hadiah utama bagi Juara Raja Lawak musim ini ialah wang tunai sebanyak RM100 000, sementara naib juara, RM50 000 manakala tempat ketiga RM 30 000.

Sebagai pembuka tirai, para penonton bakal menyaksikan sedutan-sedutan dari sesi uji bakat melalui program Al Kisah Raja Lawak Astro sebanyak dua episod pada 30 dan 31 Disember, 9 malam.

Setiap gelagat, aktiviti mahupun rutin harian para peserta akan dipaparkan selama lima minit setiap siaran menerusi program Kapsul Raja Lawak Astro pada Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam bermula 3 Januari.

Program Raja Lawak kali ini masih lagi mengekalkan gandingkan mantap pengacara Zizan dan Johan.

Selain itu, Nizam turut memberitahu sebuah program Maharaja Lawak akan menyusul selepas tamanya Raja Lawak Musim 5 ini.

"Selepas Raja Lawak ini sebuah program kemuncak iaitu Maharaja Lawak akan menemui penonton.

"Ia bakal menyaksikan persaingan Raja Lawak musim pertama hingga kelima merebut gelaran Maharaja Lawak, setakat ini Nabil, Johan, Zizan dan beberapa peserta lagi sudah mengesahkan penyertaan mereka," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: