Wednesday, December 15, 2010

Suami isteri perlu bijak urus konflik

KEBAHAGIAAN dalam rumah tangga merupakan impian setiap mereka yang berkahwin. Namun dalam melayari kehidupan bersama, pasti akan ada cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi bersama.

Umpama air laut, ada pasang surutnya, ada ketika masa tenang namun ada masa gelora dilanda ombak yang begitu kuat menghempas.

Hakikatnya, perkahwinan merupakan perkongsian hidup yang memerlukan satu komitmen yang serius di antara lelaki dan wanita untuk hidup bersama sepanjang hayat.

Oleh itu, sebarang perbezaan dari segi cara berfikir, sikap malah cita rasa antara suami isteri boleh menimbulkan perselisihan faham bahkan pertengkaran.

Perunding Psikologi Keluarga, Suzana Ghazali berkata, setiap pasangan yang berkahwin perlu mempunyai kemahiran dalam menguruskan konflik bagi mengelakkan ia menjadi krisis yang lebih serius.

''Malangnya ramai daripada pasangan selaluinya tidak menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan konflik,'' ujarnya.

Malah situasi tersebut dibiarkan tanpa ditangani sehingga menjadi lebih serius dan tidak mampu diselamatkan lagi.

Ditanya mengenai punca yang boleh menimbulkan konflik, beliau menegaskan bahawa masalah komunikasi adalah punca utama yang menyebabkan krisis itu berlaku.

Bagaimanapun, pengabaian tanggung jawab sebagai suami atau isteri juga menyebabkan rumah tangga menjadi hambar.

Selain itu, tiada perasaan kasih sayang dan sering menyalahkan pasangan apabila menghadapi masalah juga merupakan faktor penting berlakunya krisis dalam rumah tangga.

Jelasnya, tidak dinafikan, konflik merupakan satu lumrah dalam kehidupan berumah tangga.

''Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri, namun jika sering sangat tergigit pun, boleh mendatangkan kesan yang tidak baik.

''Konflik yang tidak ditangani boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif, antaranya perasaan tertekan sehingga menyebabkan penampilan diri tidak ceria, halangan untuk berkomunikasi dengan baik dan kesetiaan serta penghormatan terhadap pasangan berkurangan,'' tegasnya lagi.

Terangnya lagi, dalam rumah tangga setiap pasangan suami isteri perlu bijak di dalam menguruskan konflik.

'Perkara paling penting yang perlu dilakukan ialah bertenang dan bersabar serta kawal emosi agar tidak mengatasi rasional dan kewarasan fikiran.

"Konflik adalah perkara biasa di dalam perkahwinan dan kita tidak boleh mengelak daripada mengalami konflik.

''Yang perlu kita lakukan ialah tangani konflik tersebut secara positif dan tidak merugikan kedua-dua pihak.

''Perlu diingat, perkahwinan dan kehidupan sebelumnya adalah dua perkara yang amat berbeza.

''Jika dulu, kita hidup sendirian tetapi kini dalam diri kita ada suami, begitu juga dalam diri suami ada isteri, jadi tidak salah mempunyai pendapat atau cita rasa yang tak serupa, tidak perlu menukar diri anda menjadi dirinya demi mengelakkan konflik,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: