|
DATIN Sharifah Kirana Syed Ghazali, Adnan Hassan, Rizalman Ibrahim, Datin Norma Norell, Amin Johari, Radzwan Razwill, Jasmi Rejab, Saiful Bahrim dan Rizman Ruzaini adalah antara pereka fesyen tanah air yang mewarnai dunia fesyen hari ini.
Tetapi tahukah anda, pereka-pereka fesyen ini merupakan graduan jurusan rekaan fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kehadiran mereka ini bukan sahaja memeriahkan lagi dunia fesyen tanah air malah mereka juga dilihat berpengaruh dan keindahan seni reka mereka semakin meninggalkan kesan.
Keadaan dunia yang sentiasa berubah dengan keperluan manusia yang pelbagai, arena fesyen turut mengalami evolusinya tersendiri.
Trend dan gaya masa kini memberikan 'wajah' dan 'warna-warna kehidupan' kepada masyarakat sekeliling malah kreativiti dan kemahiran juga 'diluahkan' melalui rekaan masing-masing.
Ini dapat dilihat melalui rekaan yang diilhamkan oleh pelajar-pelajar tahun akhir jurusan rekaan fesyen dari UiTM sempena pertunjukkan akhir peringkat ijazah di Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malah rekaan yang luar biasa serta 'menakjubkan' itu membuatkan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berjanji membawa rekaan serta pelajar-pelajarnya yang terpilih ke London untuk menyertai Minggu Fesyen Graduan London pertengahan Disember ini.
Ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini, Sahol Hamid amat teruja dan ternyata beliau amat berpuas hati dengan produk yang dihasilkan oleh para pelajarnya.
Beliau yang dilihat begitu gembira turut memberitahu bahawa rekaan fesyen yang dihasilkan oleh para pelajarnya mampu diketengahkan dan dibawa ke peringkat antarabangsa.
''Rekaan yang dipersembahkan di Yayasan Tun Razak baru-baru ini merupakan satu persembahan yang luar biasa dan setanding dengan persembahan antarabangsa.
''Kesemua fesyen yang diperagakan sudah pasti hasil serta ilham daripada pelajar-pelajar sendiri malah ia dilihat satu rekaan yang kreatif dan futuristik.
''Jadi sudah pasti hasil titik peluh mereka untuk mengangkat martabat rekaan fesyen terutama di kalangan pelajar-pelajar UiTM tidak sia-sia. Saya turut berjanji untuk membawa sebahagian daripada mereka menyertai Minggu Fesyen Graduan London,'' ulasnya.
Tambah beliau, kunjungan mereka selama enam hari ke London bukan sahaja membawa misi Desteni Anak Bangsa tetapi turut bertujuan meletakkan nama UiTM di peta dunia di samping membuka ruang untuk mewujudkan jaringan dan hubungan dalam bidang akademik dan industri fesyen di peringkat global.
Ketika ditanya mengapa Kota London menjadi pilihan, jelas Sahol Hamid, selain Milan dan Paris, London juga merupakan selah sebuah pusat fesyen terkenal dunia malah beberapa pereka terkemuka Malaysia turut mencipta nama di sana seperti Datuk Jimmy Choo, Bernard Chandran dan Tom Abang Saufi.
Mengulas lanjut mengenai Minggu Fesyen Graduan London yang akan berlangsung 16 dan 17 Disember ini, sebanyak 40 koleksi pelajar tahun akhir yang terpilih akan diperagakan.
''Minggu Fesyen Graduan London akan berlangsung selama dua hari bermula 16 Disember ini di mana ia menjadi tumpuan semua universiti, kolej dan industri fesyen dari seluruh dunia.
''Sepanjang minggu fesyen tersebut berlangsung, lebih kurang 40 fesyen akan diperagakan dan seramai 15 orang pelajar tahun akhir akan turut serta.
''Yang penting, kesemua fesyen yang akan diperagakan mempunyai elemen-elemen warisan budaya dan pengayaan kontemporari untuk ditunjukkan kepada seluruh dunia,'' katanya.
Yang penting, selain mempromosikan nilai budaya dari aspek pelancongan dan fesyen Malaysia, kehadiran mereka pada minggu fesyen tersebut juga diharapkan dapat memberi motivasi kepada diri masing-masing untuk berusaha dengan lebih cemerlang bagi mencipta nama di peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: