Monday, December 13, 2010

Sentuhan dua Zul




KARIER di awan biru selama sedekad merupakan momen indah buat Zul Bastari Abd. Rahman, namun cintanya terhadap kerjaya itu ditinggalkan selepas mendapat pendedahan dalam industri kecantikan.

Bermula dengan mengikuti kuliah pengurusan rambut di D’ World Hair and Beauty Academy di ibu negara setiap kali bercuti, Zul Bastari, 43, atau lebih mesra dengan panggilan Zul bulat dengan keputusannya.

Menurut lelaki yang masih bujang itu, selain mengikuti kuliah, beliau turut mempelajari teknik-teknik menyolek daripada rakan-rakan yang bekerja sebagai jurusolek. Pada masa yang sama, Zul juga cukup berminat menjadi pemerhati ketika rakan-rakannya menyolek.

Minat yang mendalam dalam bidang kecantikan mendorong Zul untuk memiliki butik kecantikan sendiri yang menawarkan khidmat dandanan rambut dan solekan.

Dengan wang simpanan yang ada, Zul membuka sebuah butik kecantikan enam tahun lalu di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur sebelum menambah cawangan butiknya di Taman Maluri, Cheras, sebulan lalu.

“Saya akhirnya meninggalkan kerjaya sebagai pramugara dan kini menjawat profesion sebagai seorang jurusolek. Saya bermula secara perlahan-lahan dan belajar dengan rakan-rakan.


GAYA trendy dan ranggi sering menjadi pilihan jurusolek Zul Bastari.


“Kini saya lebih selesa dan puas setelah memiliki butik sendiri. Bermula dengan khidmat mendandan dan menyolek pengantin, karier saya kini kian berkembang dan mendapat perhatian di kalangan artis tanah air,” kata anak kelahiran Kelantan itu.

Mengimbas saat-saat dia sebagai seorang jurusolek, Zul pernah menata rias wajah pereka fesyen tersohor, Datuk Tom Abang Saufi.

“Itu tugas pertama saya sebagai jurusolek dan saya dibayar sebanyak RM4,000. Selepas itu, saya dipanggil sebanyak dua kali oleh Tom untuk menata rias wajahnya. Peristiwa itu berlaku kira-kira enam tahun lalu,” ungkapnya.

Penyanyi Yuna kata Zul, merupakan artis wanita pertama yang mendapat sentuhannya.

“Itu solekan pertama saya di kalangan artis. Ia mungkin rezeki Tuhan kerana pada awalnya, tugas tersebut adalah job rakan saya, tetapi kerana dia mempunyai tugasan lain, saya hanya tampil sebagai pengganti.

“Tidak sangka impaknya begitu besar dan sejak itu, saya berpeluang menyolek beberapa wajah artis tersohor seperti Julian Evans, Linda Hashim, Eira Syazira, Scha Al-Yahya, Maya Karin, Ning Baizura dan yang terkini ialah Faezah Elai,” kata Zul ketika ditemui di Bandar Sri Permaisuri baru-baru ini.


ZULFAZLI antara jurusolek lelaki yang dikenali dan berjaya dalam industri solekan tempatan.


Belajar solekan sendiri

Zul mengakui, beliau tidak perlu mencari-cari wajah untuk disolek demi sesuap nasi kerana rezeki itu sentiasa ada.

Katanya, sekali pun rezeki itu sudah berada di dalam mulut, jika ditakdirkan ia bukan miliknya, rezeki tersebut tetap tidak menjadi miliknya.

Sementara itu, jurusolek profesional, Zulfazli Suhardi, 43, atau juga dikenali sebagai Zul merupakan satu nama besar dalam bidang solekan industri hiburan tanah air sejak hampir dua dekad lalu.

Sebelum menjadi jurusolek untuk terbitan drama, fotografi artis dan majlis-majlis istimewa untuk selebriti terkenal, Zul bekerja sebagai pembantu jualan di pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Mungkin ramai yang tidak tahu ketika di bangku sekolah, Zul sangat meminati mata pelajaran lukisan dan mahir melukis potret selebriti.

“Dengan anugerah yang dikurniakan oleh-Nya, saya kaitkan seni itu kepada bidang solekan.

“Selepas tamat alam persekolahan, saya mengambil tempahan menyolek pengantin di kalangan rakan-rakan sekolah,” ujar Zul.

Mengakui tidak pernah mempelajari teknik solekan secara formal, Zul sebenarnya menjadi pemerhati kepada solekan yang dilihat selain turut berguru dengan pelbagai majalah wanita sebagai rujukan.

“Kebetulan saya bekerja sebagai jurujual, jadi pada masa yang sama, saya berpeluang mengenali jenama dan peralatan alat solek moden serta terkini di tempat saya bekerja,” kata Zulfazli.


SELAIN tugasan menyolek dan mendandan rambut, Zul Bastari juga tidak menang tangan menguruskan butik pengantinnya.


Mengulas mengenai artis yang pernah mendapat sentuhannya, Zul bermula dengan menata rias wajah model dan pelakon, Norazah Aziz.

Zul juga berpeluang menyolek wajah beberapa selebriti lain seperti Ziana Zain, Fauziah Latiff, Erra Fazira, Erma Fatima, Umie Aida, Vanida Imran, Remy Ishak, Maya Karin dan bintang Akademi Fantasia (AF) dari musim kedua hingga musim ketujuh.

Dengan pencapaian tersebut, Zul tidak pernah sekali-kali bermegah diri atau mendabik dada.

“Saya mengakui setiap kerjaya ada pasang surutnya. Bermakna semua kerjaya sama sahaja, cuma yang membezakannya adalah keuntungan dan kebahagiaan seseorang ialah rezeki yang Allah berikan.

“Pada masa yang sama, saya mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menjadi jurusolek dengan mengunjungi studio solekan saya Dewa Dewi Beauty House yang ditubuhkan sejak tahun 2000,” katanya ketika dihubungi.

Zul juga pernah dinobat sebagai Jurusolek Selebriti oleh jenama kosmetik antarabangsa Avon tiga tahun lalu.

“Saya lebih gemar menjadi jurusolek bebas kerana kerjaya seni adalah luas dan tidak terhad,” katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: