Monday, December 13, 2010

Gitaris terhebat China




AUDITORIUM muzik di Wisma Bentley, Petaling Jaya pada malam itu tenang. Alunan irama orkestra yang dipersembahkan memecah keheningan suasana pada malam Isnin yang nyata cukup istimewa itu.

Masuk sejam setengah persembahan, audiens yang rata-ratanya peminat muzik klasikal dari dalam dan luar negara masih sabar menanti.

Penantian sejak awal orkestra itu sangat signifikan kerana ‘sajian’ pada 30 minit terakhir persembahan bakal lebih menarik. Malah, audiens tahu kemunculan tetamu khas itu sebentar lagi bukan satu nama biasa.

Tetapi wanita kelahiran Beijing, China itu adalah bakat besar yang cukup sinonim dengan dunia muzik klasikal yang dipersembahkan menerusi gitar akustik.

Tampil dengan gaun merah jambu muda berlabuci tanpa lengan, kemunculan Yang Xuefei disambut dengan tepukan gemuruh daripada ratusan audiens. Siap melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi di barisan hadapan orkestra, sebuah gitar diletakkan pada posisi selesa sebelum jari-jari tirus itu mula memetik tali-tali gitar.

Petikan gitar yang penuh yakin itu diselang-selikan dengan irama orkestra untuk muzik klasik bertajuk Concierto de Aranjuez ciptaan komposer dari Sepanyol, Joaquin Rodrigo cukup mempesonakan.

Malah, setiap melodi yang terhasil daripada petikan di atas instrumen kayu yang tidak bernyawa itu bagaikan menghidupkan suasana setiap inci dewan auditorium itu. Padahal, Xuefei sebenarnya cuma satu ‘watak sampingan’ untuk sebuah orkestra kendalian ketua konduktor, Paul M. Baker pada malam pertama persembahan.

Xuefei yang sememangnya bermain gitar sejak kecil sejujurnya tidak pernah terfikir untuk terlibat secara serius dalam industri muzik instrumental. Namun, mungkin sebab aturan takdir, Xuefei tampil dengan persembahan julung kalinya di Festival Gitar Antarabangsa China Pertama pada usia 10 tahun.


XUEFEI cukup berterima kasih dengan dorongan John Williams yang mengukuhkan haluan kerjayanya dalam industri muzik klasikal menerusi gitar akustik.


Penampilan itu nyata tidak sia-sia apabila persembahannya berjaya mengagumkan Duta Sepanyol di China pada ketika itu sehingga Xuefei mendapat sebuah gitar konsert sebagai hadiah.

“Ketika berusia 12 tahun, saya meluahkan impian untuk memasuki sekolah muzik dan menjadi seorang pemain gitar profesional kepada kedua-dua orang tua saya,” ceritanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan eksklusif di ibu negara baru-baru ini.

Luahan itu jelas sekali mengejutkan ibu bapanya kerana mereka merasakan kerjaya pemuzik pada ketika itu tidak menjamin masa hadapan yang cerah.

Lagipun, gitar tidak tergolong dalam senarai instrumen muzik arus perdana mahupun sebahagian daripada koleksi alat muzik tradisional Cina yang terkemuka.

Tidak terganggu dengan bantahan keluarga, Xuefei meneruskan minatnya itu dengan bersungguh-sungguh. Malah, beliau turut diterbangkan ke serata China, Macau, Hong Kong, Australia, Sepanyol, Jepun dan Portugal untuk membuat persembahan mahupun menyertai lawatan konsert.

Titik tolak kehidupan wanita yang murah dengan senyuman itu bermula setelah takdir menentukan pertemuannya dengan komposer terkemuka dari Amerika Syarikat (AS), John Williams pada tahun 1995.

Kata-kata semangat Williams mengukuhkan hala tuju Xuefei untuk menceburi bidang muzik sepenuh masa. Williams turut menghadiahkan dua gitar jenama Smallman daripada koleksinya kepada pelajar-pelajar cemerlang di institut muzik tersebut termasuk Xuefei.

Sebagai pemain gitar pertama di China yang memasuki sekolah muzik di negara komunis itu, Xuefei turut membanggakan negaranya dengan menjadi pelajar Cina pertama menerima biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian di Akademi Muzik Diraja di London, Britain.

“Seingat saya, semasa kecil, tiada seorang pun pemain gitar Cina profesional di negara kelahiran saya. Pada era Revolusi Kebudayaan, gitar bagaikan satu instrumen muzik yang tidak popular dan hanya untuk golongan miskin.


PESAN Xuefei, memiliki bakat sahaja tidak mencukupi jika seseorang itu tidak banyak berlatih.


“Jadi, proses untuk membuktikan gitar adalah instrumen menarik dan boleh menghasilkan kepelbagaian kualiti muzik yang indah adalah sukar,” ceritanya yang telah mengadakan persembahan debut di Madrid, Sepanyol seawal usia 14 tahun.

Hari ini, bakatnya diiktiraf dan Xuefei dijemput ke serata lokasi berprestij dunia untuk mengadakan persembahan. Di dewan-dewan seperti Royal Albert Hall dan Queen Elizabeth Hall di London, Britain; Musikhalle di Hamburg, Jerman; Konzerthaus Schubertsaal di Vienna, Austria dan Lincoln Center di New York, Amerika Syarikat (AS), melodi merdu daripada petikan gitarnya menjadi bukti bakat yang tidak disia-siakan.

Baru selesai mengadakan konsert di Dewan Konsert Xian di Xian, China, sebelum tampil julung kalinya di Malaysia, Xuefei sebenarnya berharap dapat kembali ke tanah airnya sekerap mungkin.

Sekurang-kurangnya, beliau berpendapat adalah mustahak bagi rakyat China mengenali muzik instrumental gitar klasik yang masih kurang popular di sana.

“Di China, saya nampak ada satu trend ibu bapa membenarkan anak-anak mereka belajar alat muzik. Bukan sebab mereka suka atau meminati muzik. Tetapi, mereka bermain alat muzik dengan niat berbeza.

“Bagi mereka, keupayaan bermain alat muzik seakan-akan memberi status yang lebih tinggi. Itu adalah konsep yang sangat salah terhadap muzik,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Xuefei melihat gitar sebagai instrumen yang berpotensi membawa pelbagai variasi muzik tanpa had.

Dalam pertemuan lebih sejam selepas bengkel ‘Masterclass’ bersama sekumpulan pelajar gitar di Akademi Muzik Bentley, Petaling Jaya, beliau berkongsi salah satu tip bermain gitar dengan berjaya.

“Peralihan mata seharusnya lebih pantas daripada jari. Maknanya, mata seseorang pemain seharusnya beralih ke lokasi tali yang ingin dipetik sebelum jari sampai ke situ,” tambahnya.

Tiada rahsia kejayaan khas, Xuefei bagaimanapun mengakui kombinasi bakat, rajin berlatih dan tuah adalah penentu kejayaan seorang pemain gitar profesional.

Menghabiskan sekitar empat jam untuk berlatih koleksi muzik yang akan dipersembahkan setiap hari, Xuefei tidak mempunyai sebarang ritual pelik sebelum sesebuah persembahan berlangsung.

Cuma, beliau akan memastikan diri memperoleh rehat yang mencukupi serta mendapatkan makanan berkhasiat.

Walaupun sibuk mengadakan persembahan di serata dunia, beliau tetap menjadi guru jemputan khas untuk bengkel-bengkel awam yang singkat. Dengan gelaran penghibur bertaraf dunia, Xuefei sudah tentu pernah ‘disunting’ untuk menjadi guru gitar eksklusif beberapa kali.

Namun, oleh kerana jiwanya masih berpaut pada pentas persembahan, tawaran telah berkali-kali ditolaknya. Alasannya ringkas.

“Saya tidak kisah untuk mempunyai seorang dua anak murid yang sangat berbakat. Masalahnya, saya belum menemui seorang pun.

“Bukan tak ramai orang yang berbakat. Cuma mungkin tidak di kawasan yang saya tinggal. Satu lagi, saya banyak melancong untuk membuat persembahan. Jadi, susah untuk saya memberi komitmen sepenuhnya,” tambahnya yang berharap dapat menghasilkan lagunya sendiri pada suatu hari nanti.

Dalam ‘pengembaraannya’ di serata dunia, Xuefei sudah tentu memperoleh banyak pengalaman berharga. Malah, sebagai nama besar dalam dunia muzik klasikal, beliau pernah beberapa kali berdepan dengan insiden melucukan.

“Ada sekali ketika menunggu pemeriksaan imigresen, pegawai wanita itu telah banyak menyoal saya. Apa pekerjaan saya? Di mana saya membuat persembahan dan sebagainya.


XUEFEI (kiri) melayan permintaan para pelajar bengkel 'Masterclass' untuk mendapatkan tandatangannya di ibu negara baru-baru ini.


“Saya ingatkan mengapa. Rupa-rupanya, dia juga peminat muzik saya dan salah seorang audiens dalam konsert saya!” katanya sambil tertawa besar.

Melihat kepada minatnya terhadap gitar, hati terdetik untuk mengetahui bilangan instrumen itu dalam koleksi peribadinya. Dengan berseloroh, Xuefei berkata: “12 buah gitar. Tetapi sebilangan besarnya diterima sebagai hadiah kerana saya sebenarnya tidak mampu memiliki amaun itu.”

Menurutnya, kualiti muzik yang dihasilkan juga berbeza bergantung kepada jenama gitar tertentu. Sebab itulah, Xuefei menggunakan gitar berbeza untuk koleksi lagu berlainan yang dimainkan.

Walaupun menggunakan gitar berbeza bukan satu keperluan utama, baginya, tindakan ini boleh membekalkannya dengan inspirasi berlainan.

Sukar untuk membawa terlalu banyak gitar ke mana-mana, wanita berkulit cerah itu lazimnya hanya akan ditemani sebuah gitar ketika mengadakan persembahan di luar negara.

Dalam dua persembahan yang diadakan di Malaysia pada November lalu, Xuefei telah diiringi gitar berjenama Greg Smallman yang berharga sekitar 10,000 pound. Pengeluar jenama Greg Smallman dikatakan hanya mengeluarkan 10 buah gitar setiap tahun.

“Ya, ini ialah gitar termahal dalam koleksi saya dan biasanya saya menggunakannya ketika persembahan langsung,” katanya.

Selain muzik, peminat buku bergenre biografi ini berharap kejayaannya dalam dunia muzik instrumental gitar di luar negara boleh menjadi dorongan kepada generasi pemain gitar muda di China.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: