Empat tahun usia perkahwinan, akhirnya Sazzy Falak dan suami, Nazril Idrus dikhabarkan dengan berita gembira yang semestinya dinanti-nanti pasangan ini. Sazzy kini hamil empat bulan dan bakal menimang cahayamata sekitar April tahun depan. Dan apa yang lebih menggembirakan apabila Sazzy disahkan mengandung anak kembar. Berita gembira ini disahkan sendiri oleh Sazzy ketika ditemui di majlis pelancaran ToyWatch semalam. "Saya bersyukur sangat apabila segalanya mengikut perancangan. Memang kami mahukan anak setelah beberapa tahun berkahwin dan sekarang adalah masa yang tepat untuk menimang cahayamata. Memang selalu orang kata tak baik merancang nanti tak dapat, tapi pada awal perkahwinan dulu kami masih muda dan ada matlamat yang harus dicapai.
"Dapat anak kembar ini memang satu anugerah yang tak dijangka. Dan saya pernah berseloroh mahukan anak kembar sebab keluarga sebelah suami memang ada keturunan kembar dan ibu mertua saya sendiri ada pasangan kembar.
"Jantinanya akan diketahui bulan depan dan lagi seronok kalau saya dapat sepasang anak," ujarnya yang masih bergaya walau sarat mengandung.
Mengutip pengalaman bergelar ibu daripada sahabat baiknya, Dynaz dan Aishah Sinclair, pengacara popular ini mengakui sering menghubungi mereka untuk mendapatkan nasihat sementelah ini merupakan pengalaman pertamanya melangkah ke alam baru. Menurut Sazzy lagi, suaminya banyak membantu dan menyokong sepanjang proses kehamilannya.
"Kalau dulu saya melihat dan menjaga mereka ketika mengandung, kini saya dapat merasainya sendiri. Memang lain sangat dan excited.
"Saya anak sulung dalam keluarga dan sudah biasa independent. Namun keadaan berubah bila berbadan dua, suami dan ibu turutkan segala kemahuan dan manjakan saya. Memang seronok sangat. Bertuah bila ramai yang ambil berat dan saya suka dimanjakan begitu," katanya yang mengidam mee fan kuew masakan ibu tirinya sewaktu awal kehamilan.
Usia kandungan masih baru, namun Sazzy kini lebih berhati-hati demi memastikan keselamatan anak kembarnya. Sazzy juga tidak menolak anaknya bakal mengikut jejak langkah lantaran telah terdedah dengan media sejak berada di dalam perut.
"Saya masih lagi aktif cuma aktiviti sudah dikurangkan daripada sebelum ini. Dan bersyukur kerana saya bekerja dengan individu yang sangat memahami.
"Dan kalau nak tahu anak di dalam perut ini sudah buat pelbagai aktiviti bersama saya seperti fesyen show, lakonan dan sesi fotografi.
"Impian saya cuma satu, saya harap anak saya sihat dan membesar menjadi insan yang berguna dan beriman," tutur Sazzy yang sedang menjalani penggambaran Dari Kerana Mata. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: