BANYAK MUDARAT...kajian menunjukkan, sesetengah pengguna laman sesawang sosial berbual mengenai seks dengan kenalan tidak sepatutnya.
LOS ANGELES: Jika dulu perceraian sering berlaku akibat kesan gincu di baju suami atau pesanan ringkas dalam telefon bimbit, kajian terbaru menunjukkan masalah itu kini disumbangkan oleh laman sesawang sosial seperti Facebook.
Berdasarkan kajian Akademi Peguam Perkahwinan Amerika itu, satu daripada lima perceraian di negara berkenaan membabitkan laman sesawang sosial.
Kira-kira 80 peratus peguam juga melaporkan jumlah ketara individu menggunakan media sosial sebagai bukti kecurangan pasangan masing-masing.
Antara bahan digunakan adalah mesej dan gambar menggoda di Facebook.
Kewujudan laman sesawang itu didapati membolehkan seseorang berhubung semula dengan bekas kekasih masing-masing selepas terpisah sekian lama.
Kajian itu menunjukkan, Facebook adalah penyumbang terbesar masalah rumah tangga dengan 66 peratus peguam mendakwa ia dikemukakan sebagai bukti tuntutan perceraian.Penyumbang kedua terbesar adalah laman sesawang MySpace (15 peratus) dan diikuti Twitter (5 peratus).
Selebihnya adalah laman sesawang sosial lain.
Tahun lalu, sebuah firma guaman Britain mendakwa, 20 peratus petisyen perceraian di negara itu mengaitkan Facebook sebagai punca.
Pengarah Urusan Divorce-Online, Mark Keenan, berkata kebanyakan pengguna laman sesawang sosial menggunakan kemudahan itu untuk berbual mengenai seks dengan seseorang yang tidak sepatutnya.
Laman sesawang Friends Reunited yang dilancarkan untuk menghubungkan kenalan lama di zaman persekolahan pada 1999 turut memberi kesan terhadap rumah tangga ahlinya.
Baru-baru ini, bintang siri, Desperate Housewives, Eva Longoria, mengambil keputusan berpisah daripada pasangannya, Tony Parker, selepas pemain bola keranjang itu didakwa sering berhubungan dengan wanita lain melalui Facebook.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: