Thursday, December 2, 2010

Semakin Banyak Tajaan, Bukti Kehebatan Search dan Wings

Dua kumpulan rock gergasi Malaysia, Search dan Wings bakal beraksi menghiburkan peminat di belah utara bertempat di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 18 Disember dan di Surf Beach, Sunway lagoon pada 25 Disember ini.

Kejayaan besar dua siri konsert jelajah yang lalu membuka lembaran yang lebih luas untuk kumpulan rock lagenda ini mencipta kehebatan beraksi di atas pentas bertaraf dunia.


Jika sebelum ini mereka pernah mengeluh keresahan mencari penaja bagi menjayakan Konsert Double Trouble (DT), namun kini syarikat gergasi seperti DiGi dan Coca Cola tampil memberi bekerjasama.

"Kami bersyukur berkat kesabaran dan kerja keras selama ini terbalas dan semakin banyak penaja yang tampil memberi sokongan untuk konsert penutup tirai 2010. Kepercayaan itu tidak akan sia-sia kerana kami akan menampilkan persembahan mantap dan bertenaga pada malam konsert nanti.

"Kami tak nafikan kejayaan siri jelajah yang lepas membuka mata pihak lain melihat bakat dan kehebatan anak tempatan beraksi. Jelajah DT tidak hanya akan terhenti di sini sahaja kerana masih ramai yang dahagakan muzik rock 80-an dan 90-an," ujar Awie yang baru menyambut hari lahir ke-42 pada 24 November lalu.

Manakala Amy menyatakan rasa terharu apabila diberi peluang beraksi di Surf Beach, Sunway Lagoon, sebuah pentas yang hanya menyaksikan artis antarabangsa beraksi.

"Ia merupakan satu tempat yang baru untuk kami. Satu penghargaan apabila diberi penghormatan untuk membuat konsert di tempat yang pernah menyaksikan Slash dan ramai lagi artis luar mengadakan konsert.

"Bertuah dapat menjadi artis tempatan pertama membuat konsert di situ kerana bukan senang diberi kepercayaan begini," katanya yang bakal beraksi dengan iringan orkestra pada malam tersebut.

Untuk maklumat lanjut mengenai DiGi LIVE! Konsert Gemuruh DT Search & Wings, sila layari www.digi.com.my/gemuruhDT



Tak Tergugat Dengan Band Indie

Seperti cendawan tumbuh selepas hujan, itulah yang boleh diibaratkan dengan kelahiran band indie yang semakin menguasai arena muzik masa kini. Namun bagi Awie, walau beribu yang datang, kedudukan pemuzik rock tidak sekali-kali tergugat, malah lebih mekar berbanding sebelumnya.

"Populariti Wings dan Search masih kukuh dan tidak pernah tergugat. Memang kita lihat band indie semakin banyak sehingga kadang kala sukar untuk peminat membuat pilihan.

"Namun harus diakui, rata-rata yang datang ke konsert kami adalah golongan anak muda. Mereka membesar dengan muzik kami dan masih mengikuti perkembangan sehingga kini. Ini membuktikan muzik rock tak pernah ketinggalan zaman.

"Jika ditanya mengenai kolaborasi dengan band indie, jawapan saya adalah tidak kerana lagu kami tidak sehaluan," tutur Awie jujur.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: