Saturday, December 11, 2010

Rosyam Noor akur


INILAH barisan 16 peserta bakal menunjukkan bakat masing-masing menerusi Pentas Pilih Kasih pada malam ini.


RANCANGAN televisyen berbentuk realiti untuk mencari bakat-bakat baru dalam dunia lakonan, Pilih Kasih kini kembali dengan musim baru yang menjanjikan lebih kepuasan buat penonton dan peminat dunia seni tanah air.

Pentas Pilih Kasih bakal disiarkan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad, Negeri Sembilan pada pukul 8.30 malam hari ini, di TV2.

Penonton bakal dihidangkan dengan drama, sesi monolog dan teater muzikal yang dibintangi oleh 16 orang peserta Pilih Kasih musim kedua.

Pentas Pilih Kasih itu merupakan peringkat seterusnya yang ditampilkan menerusi rancangan popular ini, selepas sesi uji bakat dan Kisah Pilih Kasih yang telah mula bersiaran di TV2 sejak 25 September lalu.

Penerbit Pilih Kasih, Rosyam Noor berkata, Pilih Kasih musim kedua membawa banyak kelainan berbanding musim pertama.

"Program ini bukan dibeli dari luar, sebaliknya merupakan rekaan anak tempatan sendiri. Kita banyak perbaiki kelemahan musim lepas," katanya.

Antara kelainan yang jelas kelihatan ialah pengurangan jumlah peserta, hanya 16 orang peserta dipilih musim ini berbanding 20 orang pada musim pertama.

"Pihak Pilih Kasih mahu mengutamakan kualiti peserta dan memberi lebih tumpuan kepada setiap peserta agar segala bakat mereka dapat dicungkil dan diketengahkan.

"Kami pilih mereka berdasarkan bakat. Kami tidak kisah sama ada mereka cantik atau tidak, gemuk atau kurus dan sebagainya," jelas Rosyam.

Musim kedua juga diperkuatkan lagi dengan kehadiran nama-nama besar dalam industri seni tanah air seperti Aziz M. Osman sebagai pengarah drama pendek, Hamzah Mohamed Tahir sebagai pengarah monolog, Erma Fatima sebagai pengarah teater, Fatimah Abu Bakar sebagai tutor lakonan serta Fauziah Nawi dan Dr. Abu Hassan sebagai pengkritik tetap.

"Sesi drama pendek juga akan digubah menjadi menggunakan konsep satu minggu satu cerita, bukannya drama bersiri seperti sebelum ini.


ROSYAM NOOR


"Selain itu, bekas peserta Akademi Fantasia, Reza Mohamed akan mengacarakan siaran langsung Pentas Pilih Kasih secara solo," katanya.

Namun begitu, Pilih Kasih musim terbaru itu dilanda kontroversi apabila ditimbulkan soal isu judul rancangan tersebut iaitu Pilih Kasih yang dianggap sebagai tidak sesuai.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sendiri sebelum ini berpendapat bahawa judul itu kurang sesuai. Ini kerana menurut beliau, istilah pilih kasih itu dengan sendirinya memberi cerminan yang tidak adil selain merupakan perangai manusia yang tidak positif.

Rosyam mengakui kebenaran perkara tersebut dan dia sendiri akur untuk menukar nama rancangan itu, tapi bukan untuk musim yang kedua ini.

"Saya terpaksa mengekalkan nama Pilih Kasih untuk musim kedua ini kerana ia telah digunakan sebagai jenama sesi uji bakat yang diadakan untuk rancangan ini.

"Saya selaku penerbit memohon maaf, saya sedar perkara itu dan akan akur untuk menukar judul rancangan ini untuk musim seterusnya," katanya.

Orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri Pentas Pilih Kasih secara langsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad, Negeri Sembilan, bermula pukul 8 malam ini. Tiada sebarang pas atau tiket diperlukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: