Saturday, December 11, 2010

Dilarang berubah bentuk badan




SEBAGAI individu yang pernah bekerja sebagai seorang model, dia sudah terbiasa dengan isu berat badan dan syarat wajib bahawa berat badan seorang model tidak boleh bertambah bagi mengelakkan ukuran badan bertambah dan tidak muat untuk memperagakan pakaian yang telah ditetapkan ukurannya itu.

Namun bagi jelitawan Olivia Wilde yang juga bintang siri televisyen popular House, pengalaman berlakon dalam filem Tron: Legacy pasti tidak akan dapat dilupakannya.

Terpilih untuk melakonkan watak Quorra, pahlawan di alam digital yang dikenali sebagai Tron, Olivia mendedahkan betapa dia terseksa sepanjang empat bulan menjalani penggambaran filem sains-fiksyen terbitan Disney yang turut menampilkan lakonan Garrett Hedlund, Jeff Bridges, Bruce Boxleitner, Michael Sheen, James Frain dan Beau Garrett itu.

"Melakonkan watak Quorra merupakan suatu penyeksaan buat saya," akuinya yang mula mencipta nama menerusi siri TV, The O.C.

"Saya diisyaratkan pihak penerbit supaya mengekalkan ukuran badan saya - bermakna berat tubuh saya tidak boleh naik atau turun untuk watak Quorra sepanjang empat bulan menjalani penggambaran Tron:Legacy.

"Ia kerana kostum khas yang ketat telah disediakan untuk watak Quorra dan ia dibuat dalam satu ukuran sahaja serta tidak boleh diubahsuai lagi," jelas Olivia.

Tambahnya: "Seperkara lagi mengenai kostum tersebut ialah ia tidak boleh ditarik. Ketika saya dipanggil untuk sesi pengukuran badan untuk kostum itu buat kali terakhir sebelum memulakan penggambaran, ia seperti, 'Okay. Inilah saiz kostum Quorra yang kekal'.


OLIVIA, nama baru yang bakal mekar di persada layar perak global.


"Ketika itu juga saya dapat merasakan bahawa kostum itu tidak boleh diubah lagi, biarpun cuma sedikit."

Menurutnya lagi, kostum itu sememangnya dihasilkan lebih daripada sehelai, tetapi terdapat untuk satu ukuran sahaja.

"Anda tidak boleh kata, 'Oh, kostum itu ada banyak ukuran atau ia boleh diubahsuai'," ujarnya.

Namun, Olivia yang mempunyai bentuk tubuh yang langsing bernasib baik kerana berjaya mengekalkan ukuran badannya itu sepanjang tempoh penggambaran filem tersebut.

"Selama empat bulan menjalani penggambaran Tron:Legacy ia merupakan suatu penyeksaan dari segi fizikal, selain mental, tapi itulah bayarannya untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya. Nasib baik berat badan saya kekal sehingga tamat penggambaran," ungkap Olivia.

Biarpun terseksa, dalam nada penuh keterujaan aktres berusia 26 tahun itu menegaskan dia sangat seronok menjadi Quorra.

"Saya banyak membuat kajian mengenai pahlawan legenda Perancis, Joan Of Arc.

"Saya juga diajar tentang seni mempertahankan diri, membuat latihan demi latihan dan segalanya dilakukan hanya untuk Quorra.

"Semasa itu barulah saya sedar, perasaan serta kekuatan diri Quorra dan itu bukanlah saya yang sebenar. Tanpa latihan dan transformasi elemen fizikal dilakukan, saya tidak akan tahu siapa itu Quorra sebenarnya. Ia sangat mencabar," bicaranya.


OLIVIA bersama barisan pelakon lelaki filem Tron:Legacy, (dari kiri), Michael Sheen, Garrett Hedlung, Jeff Bridges dan Bruce Boxleitner.


Daniel Craig

Olivia mengakui apa yang yang digemarinya tentang Tron:Legacy ialah aspek elemen kemanusiaan yang diterapkan filem itu.

"Terpilih untuk berlakon dalam sebuah filem bajet mega seperti Tron:Legacy ini telah membuatkan saya berasa seperti saya kini boleh lakukan apa sahaja.

"Pengalaman yang dikutip sepanjang berlakon filem ini menyuntik keyakinan berganda sebelum menyertai projek filem baru saya, Cowboys & Aliens yang bakal menggandingkan saya bersama barisan pelakon hebat iaitu Harrison Ford, Daniel Craig dan Sam Rockwell," tuturnya.

Bercerita mengenai falsafah filem itu kata Olivia: "Bagi saya, falsafah filem Tron yang pertama dihasilkan boleh dirumuskan sebagai persoalan mengenai robot dan manusia seperti mana juga filem Terminator.

"Sejak 20 tahun lepas, kesemua filem sains-fiksyen berkisar mengenai perkara ini. Namun, Tron tidak menyerupai mana-mana filem tersebut.

Tambahnya: "Menerusi Tron, persoalan yang diungkit ialah apa akan terjadi apabila teknologi ambil alih kehidupan manusia dan perkara baru ini menjadi lebih berkuasa dari manusia.


CANGGIH. Suasana ketika penggambaran filem Tron:Legacy sedang berlangsung.


"Itu adalah andaian. Bagaimanapun, setelah 30 tahun kemudian, filem ini (Tron: Legacy) pula bukan membawa persoalan tapi menyatakan bahawa teknologi telah mengambil alih manusia dan kita menjadi hamba kepadanya.

"Bolehkah kita melepaskan diri daripada cengkaman teknologi? Jika difikirkan semula kita sebagai manusia harus menghargai dan memanfaatkan teknologi yang dicipta untuk kebaikan manusia."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: