Saturday, December 4, 2010

Rawatan ayurveda untuk rambut beruban


PENGGUNAAN minyak rambut dapat membantu kesihatan akar rambut.


DALAM amalan ayurveda, herba yang digunakan untuk merawat masalah rambut beruban dinamakan bringaraja atau nama tempatannya, urang-aring, iaitu sejenis tumbuhan liar di kawasan lembap.

Ia adalah salah satu kandungan yang digunakan dalam tonik atau minyak untuk merawat masalah rambut termasuk rambut beruban.

Satu lagi tumbuhan yang popular digunakan dalam rawatan rambut beruban atau apa jua masalah rambut adalah amla atau nama tempatannya, buah Melaka. Ia sangat terkenal dan dilaporkan mujarab untuk merawat pelbagai masalah rambut. Amla selalu digunakan dalam minyak rambut selain syampu dan tonik herba.

Walaupun ayurveda memberi petunjuk positif bagi masalah rambut uban, ia tidak bermakna masalah itu boleh dielakkan.

Pemilik kosmetik herba, Neeta's Herbal, Neeta Gosalia memberitahu, rambut uban hanya boleh dikawal daripada bertambah melalui penggunaan herba. Ia bukannya dapat menghalang sepenuhnya uban daripada tumbuh mahupun menghitamkan semula rambut uban.

"Namun, jika usia seseorang itu muda dan ia bukan disebabkan keturunan, kemungkinan untuk pertumbuhan rambut baru tetap ada," katanya yang menimba ilmu di International Therapy Examination Council (ITEC), London itu.


PEREDARAN darah di kepala perlu dirangsang sebelum memulakan rawatan.


Pertemuan secara persidangan video bersama Neeta yang ketika itu di Melbourne, Australia dari salon beliau di Bangsar, Kuala Lumpur juga mendedahkan, gaya hidup menjadi punca utama generasi masa kini mempunyai rambut beruban lebih awal daripada sepatutnya. Tambah beliau, gaya hidup yang dimaksudkan adalah seperti ketidakseimbangan pemakanan, tekanan, merokok, tabiat mencabut uban dan penggunaan bahan kimia yang berlebihan.

"Hampir setiap hari kita mendandan rambut menggunakan bahan kimia seperti syampu, penyembur, krim kecantikan rambut, warna, melurus atau kerinting rambut, meluntur atau menggunakan alat pengering rambut. Semua sikap manusia ini menjurus kepada masalah uban yang berlaku lebih cepat daripada tempoh sebenar," katanya.

Proses semula jadi

Neeta menambah, walaupun masalah itu tidak boleh dihentikan sepenuhnya kerana ia merupakan satu proses semula jadi, rawatan rambut uban dengan menggunakan herba mampu melambat serta mengurangkan pertumbuhan uban.

Misalnya, jika peratusan rambut uban seseorang itu bertambah daripada 20 peratus kepada 40 peratus, rawatan di Neeta's berkemungkinan dapat mengehadkannya kepada 20 peratus bagi satu tempoh masa tertentu.


PELBAGAI produk rawatan rambut berasaskan ayurveda mampu membantu masalah rambut termasuklah jenama seperti Neeta's Herbal ini.


Neeta's Herbal juga menyediakan pewarna rambut herba yang hanya menggunakan ramuan daun inai, buah cermai, pudina dan amla serta bebas bahan kimia. Ia di datangkan dalam tiga warna iaitu coklat, perang keemasan dan hitam.

"Satu lagi perkara yang penting adalah, jangan mencabut uban kerana ia boleh menyebabkan melanin tersebar ke seluruh kawasan kulit kepala dan menyebabkan lebih banyak pertumbuhan rambut uban. Itu tidak seharusnya dilakukan," pesan Neeta yang berkali-kali memberi 'amaran' itu sepanjang sesi temu ramah.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: