NAMPAKNYA, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mahu mengakhiri tahun 2010 dengan lebih bergaya. Selepas sukses dengan model-model seperti C 200 CGI dan E-Class, MBM tampil dengan dua model sekali gus.
Sekali lagi bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), MBM melancarkan varian C-Class yang jauh lebih berkuasa, apa lagi kalau bukan Mercedes-Benz C 300 Avantgarde dengan pakej sport AMG (C 300 Avantgarde Sport Package AMG).
Perlu dinyatakan di sini bahawa model C 300 menjadi penanda penting dalam sejarah varian yang dikilangkan secara tempatan. Ya, model ini tidak diimport dari mana-mana negara Eropah. Ia dibawa khas dari kilang Mercedes-Benz di Pekan Pahang dan merupakan model C-Class pertama yang dipasang dengan enjin 3.0 liter.
C 300 Avantgarde Sport Package AMG dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 3.0 liter V6. Maksimum kuasa yang mampu ditawarkannya ialah 231 bhp @ 6,000rpm. Sementara torknya mencecah 300Nm yang boleh diperoleh pada kebanyakan tahap kelajuan.
Motifnya, demi memastikan enjin ini sentiasa bersedia memberikan kuasa tork apabila diperlukan. Enjin ini dipadankan bersama kotak gear automatik tujuh kelajuan, 7G-TRONIC.
Biarpun dengan kuasa sebegitu tinggi, penggunaan bahan apinya masih boleh dianggap memuaskan. Hanya sekitar 9.4 hingga 9.6 liter bagi setiap 100 kilometer untuk perjalanan yang meliputi laluan di lebuh raya dan bandar.
Sebenarnya, kami diberi peluang untuk memandu model ini di litar Sepang bersama model C-Class yang lain seperti C 200 CGI dan C 200 Kompressor. Namun, memandangkan masa yang terhad, ditambah pula dengan rintik-rintik hujan mulai turun membuatkan ramai terlepas peluang memandunya termasuklah saya.
Apabila sudah ada huruf AMG di bahagian belakang namanya, anda boleh mengharapkan perbezaan yang ketara berbanding model C-Class biasa. Melihat pada bahagian luaran, jentera ini boleh dikenal pasti menerusi sepasang paip ekzos berkembar, skirt sisi, serta lencana AMG.
Dari aspek pemanduannya, AMG hadir bersama pakej pengendalian dinamik (Dynamic Handling Package). Pakej ini menawarkan pengguna pilihan dua program pemanduan sama ada sport atau comfort. Mode tersebut melibatkan perubahan kepada setting dan karekter sistem penyerap hentakan.
Maksudnya, jika anda menekan butang sport pada papan pemuka, tekanan hidraulik pada penyerap hentakan ditingkatkan bagi memberi kestabilan lebih baik ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Bukan itu sahaja, nisbah pusingan stereng dikurangkan daripada 14.5 kepada 13.5 meter. Malah, maklum balas enjin dapat dirasai dengan ketara apabila pedal minyak ditekan. Masa penukaran gear juga akan dipendekkan.
Dengan banyak lagi ciri tambahan, C 300 Avantgarde Sport Package AMG ditawarkan pada harga RM320,888 seunit.
Beralih kepada model kedua yang dilancarkan oleh MBM. Selepas empat tahun berada di pasaran, masa untuk model ini menerima proses facelift sudah tiba. Justeru, MBM memperkenalkan Mercedes-Benz R-Class generasi baru yang menerima banyak perubahan, terutama pada penampilannya.
|
|
Kenderaan mewah ini mendapat rekaan bahagian bampar hadapan yang telah diperbaharui. Bonet hadapannya juga kelihatan lebih lebar, seakan-akan mahu menterjemahkan dinamik pemanduannya yang penuh kuasa.
Gril radiator, lampu utama dan lampu LED yang menyala setiap kali ia dipandu (LED daytime running lights) juga membuatkan R-Class ini nampak kian menarik. Model ini disifatkan oleh MBM sebagai ‘Grand Touring’ berkapasiti tujuh tempat duduk.
Ia turut dilengkapi dengan pelbagai ciri baru termasuklah Blind Spot Assist yang membantu pemandu mengesan titik buta ketika memandu. Ia berfungsi menerusi radar yang diletakkan pada bampar belakang.
Dijana oleh unit enjin sama yang ada pada model C 300 AMG, hamburan kuasa dan tork adalah sama. Cuma, ia dipadankan dengan kotak gear 7G-TRONIC generasi kedua. Kotak gear ini beroperasi pada tahap tekanan minyak yang berbeza, mampu meningkatkan kecekapan dan menjimatkan penggunaan bahan api.
Di ruang kabinnya, apa yang paling ketara ialah kewujudan system hiburan untuk penumpang. Ia meliputi dua skrin LCD bersaiz lapan inci yang membolehkan penumpang menonton filem kegemaran masing-masing.
R-Class didatangkan dengan dua versi. Pelanggan boleh memilih sama ada varian dengan roda aloi bersaiz 18 inci atau yang lebih sporty, roda aloi AMG lima jejari bersaiz 20 inci. Harga yang ditawarkan ialah RM470,888 dan RM478,888 seunit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: