Saturday, December 4, 2010

Akibat gaya hidup tidak sihat




KIU Kwong Teck tidak gusar apabila orang di sekeliling mempersoalkan tentang kehadiran rambut beruban di kepalanya. Ini kerana jejaka yang baru berusia 20 tahun sudah lali dengan rambut putih di kepalanya sejak di bangku sekolah atau lebih tepat sekitar usia 13 tahun lagi. Katanya ketika itu, kira-kira 30 peratus daripada rambutnya itu sudah beruban.

"Saya tidak pernah terfikir untuk merawat rambut beruban. Ini kerana saya tahu ia disebabkan keturunan dan bukan kerana masalah penyakit yang serius. Lagipun rambut beruban sememangnya tidak boleh dirawat. Kita perlu menerimanya.

"Mungkin mewarna rambut itu satu alternatif menyembunyikan rambut beruban tetapi saya berbuat demikian disebabkan fesyen," kata Kwong Teck yang mengakui uban di kepalanya itu berpunca daripada masalah keturunan di sebelah ibunya.

Jelas Kwong Teck lagi, ibunya yang kini berusia 53 tahun juga memiliki uban pada usia yang muda, "Saya ingat lagi, selepas balik dari sekolah rendah, ibu akan minta saya cabutkan rambut ubannya. Ia mungkin 15 tahun lalu," katanya mengimbas ingatan lama. Kwong Teck yang kini bekerja sebagai pendandan rambut bagaimanapun tidak perlu risau mengenai rambutnya memandangkan dia tahu apa yang harus dilakukan untuk menjaga imej.

"Sekarang apa yang saya lakukan hanya mewarna rambut. Biasanya saya akan memilih warna gelap seperti perang gelap," katanya yang bekerja di salon rambut Derrick and Team di cawangan Maju Junction di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Tidak pernah dihina

Ditanya tentang kekerapan mewarnakan rambut, dia memberitahu Kosmo! bahawa ia dilakukan agak kerap iaitu setiap bulan. Namun ia tidak melibatkan apa-apa belanja kerana dia dibenarkan berbuat demikian secara percuma di salon tempat kerja oleh majikan Kwong Teck. Jika tidak, ia mungkin menyebabkan Kwong Teck perlu menghabiskan lebih kurang RM1,176 setahun kerana produk rawatan itu menelan belanja RM98 untuk satu sesi.


MEWARNAKAN rambut adalah cara yang paling mudah menangani masalah rambut beruban.


"Ramai kawan yang rasa hairan bagaimana saya boleh mendapat rambut beruban pada usia yang sangat muda ini. Tetapi apabila saya terangkan kepada mereka, mereka faham. Sehingga sekarang saya tiada pengalaman dihina atau memalukan kerana rambut beruban, malah saya menjalankan hari-hari saya seperti orang lain," terang Kwong Teck lagi.

Walaupun rambut beruban sesuatu yang tidak boleh diatasi, Kwong Teck percaya tekanan hidup yang melampau atau banyak berfikir sebagai salah satu punca masalah itu menyerang orang muda selain sebab keturunan.

Dia juga memberitahu, uban yang dicabut juga boleh menggandakan uban baru. Oleh yang demikian, dia akan cuba menghalang dirinya daripada mencabut rambut uban yang lebih tertumpu di bahagian kanan kepalanya.

Dr. Desmond Tobin, seorang profesor sel biologi dari Universiti Bradford di England, memberitahu folikel rambut memiliki jam melanogentik yang akan memperlahankan atau menghentikan terus aktiviti melanocyte. Ia akan mengurangkan jumlah penerimaan pigmen rambut.

Tobin berpendapat, rambut menjadi beruban disebabkan usia dan genetik.

"Gen mengawal potensi kemudaratan pigmentasi setiap folikel rambut. Ia berlaku dalam kiraan yang berbeza bagi setiap folikel rambut. Bagi sesetengah orang, ia berlaku dengan pantas, manakala sebilangan lagi secara perlahan iaitu mengambil masa berpuluh tahun," katanya. Tambah beliau lagi kegagalan stem sel melanocyte untuk mengekalkan produksi melanocyte mungkin juga menyebabkan rambut beruban.

Selaku perunding imej Phua Lih Yun dari Y Image Consultancy mempunyai nasihat peribadi kepada orang muda seperti Kwong Teck yang mempunyai masalah rambut beruban.

Bagaimanapun sebagai perunding profesional beliau perlu menganalisis diri seseorang dari aspek warna kulit, warna rambut atau tahap uban pada kepala, kawasan uban itu bertumpu, personaliti, kerjaya dan usia sebelum memberikan nasihat.

"Daripada analisis itu, kita akan membuat keputusan jenis pakaian yang sesuai, warna pakaian, potongan, jenis cermin mata dan segala aksesori lain yang sesuai untuk tampak yakin walaupun rambut beruban," jelas Lih Yun.


SEMAKIN ramai orang muda hari ini yang berdepan dengan masalah rambut beruban pada usia muda.


Jelas beliau, mereka juga perlu menganalisis dari aspek gender kerana wanita biasanya mempunyai imej dengan rambut panjang.

Apabila rambut mula beruban, tanda-tanda yang paling ketara ialah kegatalan pada kulit kepala. Namun seseorang itu tidak perlu merawat rambut sehingga mereka mendapat rambut beruban tetapi rawatan itu boleh dilakukan sebelum dan selepas mendapat rambut uban.

Itu nasihat pengelola perniagaan salon Derrick and Team, Derrick Ho Fook Choy. "Salon Derrick and Team misalnya menggunakan produk Time Reset Redken yang terdiri daripada empat varian iaitu syampu, perapi, penentang dan pengisi (filler). Ia bukan berfungsi menghentikan rambut beruban tetapi memastikan rambut yang bakal beruban itu sihat," katanya.

Ramai orang muda beruban

Kajian menunjukkan penggunaan bahan rawatan itu mampu meningkatkan pengurusan rambut sehingga 94 peratus, kepadatan rambut sehingga 77 peratus dan meningkatkan kilauan rambut sehingga 88 peratus.

Lazimnya, rambut uban mempunyai tekstur yang lebih kering, rosak, pudar serta mudah putus.

Sebagai pemilik kepada lebih lapan buah salon di sekitar Lembah Klang, Derrick mengakui pelanggan dengan rambut beruban semakin bertambah sebanyak 60 hingga 70 peratus sejak beliau berniaga 10 tahun lalu. Ia berdasarkan kehadiran pelanggan ke salonnya untuk mewarnakan rambut.

Ini membuktikan betapa gaya hidup sekarang banyak mengubah faktor semula jadi uban rambut kepada pelbagai faktor lain. Ramai orang hari ini yang hidup dalam keadaan tertekan selain kekurangan pengambilan zat makanan yang seimbang.

Vitamin B sihatkan rambut

Beliau percaya, dengan gaya hidup yang baik, rambut uban mampu diselaraskan pada usia sebenar berbanding usia muda seperti di bangku sekolah lagi.

Beliau juga mendedahkan ramai artis atau selebriti tempatan tidak terlepas daripada masalah itu. Mereka mendapatkan rawatan mewarna rambut bagi mengatasi rambut beruban yang mampu memberi impak kepada imej mereka.

"Ramai artis tempatan yang saya temui dengan masalah itu. Ia sudah menjadi satu masalah yang biasa tetapi dengan mengamalkan gaya hidup sihat, kita mampu memperbaikinya," kongsi lelaki itu.

Derrick juga mencadangkan beberapa jenis suplemen diambil bagi menyokong kesihatan rambut. Antara yang dicadangkan ialah biotin yang berupaya mengekalkan kesihatan rambut optimum. Biotin adalah sejenis zat daripada vitamin B terkandung dalam makanan seperti kacang hijau, gandum, soya, walnut, biji bunga matahari dan beras perang.

Malah, penggunaan syampu dan minyak herba tertentu juga dipercayai mengurangkan masalah rambut uban, namun, Derrick sendiri tidak pernah mencuba kaedah tradisional itu.

"Pada usia pertengahan 50-an ini, saya hanya menggunakan teknik mewarna rambut. Kerana saya tahu rambut uban tidak boleh dihalang atau dihentikan pertumbuhan. Apa yang perlu kita lakukan ia memastikan rambut uban itu sihat dan dilindungi jika mahu diwarnai secara kerap."

Sungguhpun mewarna rambut dilihat sebagai satu-satunya langkah paling mudah menyelesaikan masalah beruban namun, mengikut hukan Islam, mewarna rambut mempunyai hukumnya sendiri.


LELAKI beruban boleh tampak segak jika bijak memadan diri dengan imej yang sepatutnya.


Menurut seorang pensyarah dari Jabatan Fikh, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Datuk Mahmood Zuhdi, mewarna rambut dalam konteks Islam mempunyai definisi sendiri.

"Mengikut prinsip dalam hadis, kita tidak dibenarkan memperlihatkan sesuatu yang tidak benar secara tidak jujur. Rambut yang putih tidak perlu dihitamkan," katanya membuka bicara. Ulas beliau lagi, tokoh-tokoh Islam mengharamkan rambut dihitamkan, walau bagaimanapun fatwa di Malaysia pula hanya mengharamkan rambut dihitamkan bukan diwarnai menggunakan warna-warna lain.

"Maksudnya, seseorang itu hanya tidak dibenar menghitamkan rambut tetapi boleh mewarna kuning, biru, merah atau warna lain. Namun bagi saya, saya hanya melihat pada objektif iaitu memperlihatkan sesuatu yang tidak benar secara tidak jujur. Maka dalam konteks itu, apa juga warna yang digunakan untuk menukar warna asal rambut tidak diterima," jelas beliau.

"Tetapi, pada masa sekarang hal mewarna rambut dipandang satu isu remeh. Pandangan seperti mewarna menggunakan daun inai diterima kerana ia tidak menghitamkan rambut dan tidak menghilangkan terus warna asal rambut itu. Jadi selagi seseorang itu berperibadi baik, mempunyai jati diri, kemited dengan kebenaran dan sebagainya, hal mewarna rambut menjadi pilihan peribadi," kata Mahmood lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: