Wednesday, December 15, 2010

PSN didik sains secara tidak formal


FASILITATOR turut membantu pengunjung memahami konsep sains dan teknologi.


TENTU ramai yang pernah mendengar tentang Pusat Sains Negara (PSN) tetapi tidak sedar tentang fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Malah, jangan terkejut jika dikatakan ada di antara kita tidak mengetahui langsung tentang kewujudan pusat yang kaya dengan maklumat sains itu.

PSN mungkin tidak mempunyai populariti seperti Zoo Negara mahupun Muzium Negara yang pasti menjadi destinasi wajib bagi membawa anak-anak berjalan ketika musim cuti sekolah.

Namun, tanpa kita sedari, destinasi ilmiah tersebut sebenarnya menawarkan peluang penerokaan dunia sains dan teknologi terbaik kepada para pengunjung terutama kanak-kanak.

Dibuka secara rasmi pada 29 November 1996, pusat berkenaan berperanan sebagai institusi pembelajaran tidak formal untuk pelajar-pelajar sekolah dan juga institusi pendidikan.

Menurut Pengarah PSN, Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli, kandungan bahan pameran di PSN dibina khas untuk menarik minat serta merangsang para pengunjung mendalami ilmu tersebut.

“Matlamatnya adalah untuk memupuk kesedaran dan kefahaman orang ramai terhadap kepentingan ilmu sains dan teknologi.

“Galeri pameran di PSN ini dibangunkan dengan bantuan kepakaran tempatan menerusi penerapan beberapa konsep yang bersesuaian dengan industri sains negara,’’ katanya.

Sesuatu yang unik mengenai PSN, ia sering mengetengahkan konsep pameran bertema secara berkala.

Di samping itu, aktiviti-aktivitinya turut dijalankan secara interaktif bagi membolehkan pengunjung memahami konsep-konsep sains yang dipamerkan secara menyeluruh.

Menerusi cara itu, ia akan dapat membantu para pengunjung melatih minda dan menjana idea-idea kreatif serta inovatif seterusnya berani untuk mendekati dunia sains.

Ruang pameran di dalam PSN dilengkapi dengan sokongan pelbagai peralatan mengikut modul asas fizik, kimia, biologi dan matematik selain bantuan daripada fasilitator.

Di bahagian luarnya pula, terdapat sebuah taman konsep dilengkapi pelbagai komponen alam sekitar seperti tumbuhan herba, kaktus dan serangga bagi memberi peluang kepada pengunjung mempelajari serta menikmati keindahan biodiversiti secara asli.

Bagi menarik lebih ramai pengunjung melawat PSN, pusat tersebut kini sedang dalam rangka kerja meningkatkan perkhidmatan dan penambahbaikan aktivitinya dari sudut galeri dan ruang pameran.

Maklumat lanjut mengenai PSN boleh diperolehi daripada laman web www.psn.gov.my atau hubungi talian 03-20921150.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: