Wednesday, December 15, 2010

Sistem komunikasi


Mohd. Farhan Kamaruzaman (kanan) menunjukkan rekaciptanya yang memenangi pertandingan inovasi Karnival Malaysia Inovatif (MI2010) kategori orang kelainan upaya (OKU) Zon Tengah di Melaka, baru-baru ini.


SETIAP insan yang diciptakan Tuhan memiliki keistimewaan tertentu biarpun terdapat di kalangan kita yang memiliki sedikit kekurangan. Namun setiap kekurangan tersebut bukan penghalang untuk seseorang itu meluahkan daya kreativiti mereka.

Pelajar Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Mohd. Farhan Kamaruzaman membuktikan biarpun bergelar orang kurang upaya (OKU) akibat masalah pendengaran namun beliau mampu menghasilkan sesuatu yang amat berguna kepada masyarakat OKU seperti beliau.

Mohd. Farhan yang mengalami masalah pendengaran sejak dilahirkan sedikit pun tidak merasa kecewa dengan kekurangan diri beliau namun terus bertekad untuk membantu golongan seperti beliau dengan mencipta Sistem Komunikasi Video.

Beliau yang mendapat idea mencipta sistem tersebut setelah melihat kedua-dua ibu bapanya yang juga mengalami masalah pendengaran sukar untuk berkomunikasi dengan pekerja bawahan ketika melakukan kerja di kilang milik keluarganya.

Menurut Mohd. Farhan, pekerja bapa beliau juga terdiri daripada mereka yang mengalami masalah pendengaran justeru agak sukar untuk memanggil mana-mana pekerja dalam masa yang singkat.

Justeru, melalui sistem panggilan video memudahkan mereka untuk berkomunikasi.

Jelas Mohd. Farhan, ia seperti mana berhubung menggunakan video melalui Internet namun menggunakan jaringan video tempatan seperti CCTV dua hala.

Setiap jabatan dalam kilang bapanya akan di sediakan dengan sebuah televisyen serta video kamera.

Manakala, sebuah lagi sistem yang sama disediakan di dalam bilik kawalan yang diuruskan oleh pengurus kilang atau bapanya.

Untuk menarik perhatian pekerja ketika pangilan video dilakukan, beliau menyediakan lampu khas berwarna merah.

Lampu tersebut akan menyala sekiranya panggilan dibuat, kemudian pekerja yang berhampiran akan menghidupkan kamera serta televisyen untuk menjawab panggilan.

Komunikasi akan dilakukan melalui bahasa isyarat.

Rekaan Mohd. Farhan tersebut membolehkan beliau memenangi Pertandingan Inovasi sempena Karnival Malaysia Inovatif (MI) 2010 bagi Zon Tengah di Melaka baru-baru ini.

Beliau beraya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 serta trofi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: