Wednesday, December 15, 2010

Pelajar digesa promosi keindahan negara


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (duduk, tengah) menunjukkan menu masakan Perlis semasa melancarkan promosi masakan Perlis di Penang Malaysian Chinese Restaurant, Adelaide, Australia, malam semalam. Turut hadir, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah (duduk, tiga kanan). – BERNAMA


MELBOURNE 14 Dis. – Pelajar Malaysia di luar negara digesa membantu mempromosikan keindahan dan keunikan Malaysia bagi memikat pelancong.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (gambar) bertitah, Perlis sebagai contoh mempunyai keindahan tersendiri antaranya landskap alam yang sesuai untuk kegiatan sukan lasak, produk inap desa, kegiatan pelancongan untuk belia, kos pelancongan yang rendah dan budaya hidup masyarakat setempat serta keenakan makanannya.

Pelajar sepatutnya mempunyai sebab untuk menggamit kehadiran rakan-rakan mereka ke Perlis, titah baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semasa melancarkan promosi masakan Perlis sempena program Jelajah Ilmu V1 UniMAP ke Australia di sini malam tadi.

Raja Muda Perlis bertitah, kedudukan Perlis sebagai negeri transit ke Thailand juga patut digambarkan secara kreatif oleh pelajar seperti peluang pelancong melawat dua negara hanya dalam satu sesi lawatan selain menjadi transit ke pulau Langkawi yang terkenal sebagai pulau pelancongan.

Baginda turut mengenengahkan 10 ikon Perlis yang sewajarnya terlakar dalam hati setiap pelajar Malaysia di luar negara untuk menarik pelancong iaitu Gua Kelam, Muzium Kota Kayang, ladang anggur, Taman Negeri Perlis, pekan Kuala Perlis, mempelam harumanis, Taman Herba, pasar Wang Kelian dan Padang Besar, Gunung Perlis dan permainan woodball.

Sempena pelancaran promosi masakan Perlis di restoran Sambal Kampung di sini malam tadi, delegasi Jelajah Ilmu V1 UniMAP terdiri daripada pegawai kanan universiti itu serta pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut memperkenalkan ikon-ikon pelancongan Perlis kepada tetamu yang terdiri daripada penduduk Melbourne.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan kesenian Perlis termasuk tarian canggung oleh pelajar UniMAP.

Restoran Sambal Kampung yang diusahakan oleh wanita berasal dari Johor, Vivian Lee, 20, menyajikan masakan Malaysia.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Ini adalah promosi kedua masakan Perlis di Australia oleh UniMAP selepas promosi di sebuah restoran di Adelaide.

Pada program Jelajah Ilmu V1 UniMAP selama seminggu sejak Khamis lepas, anggota delegasi program turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran Australia Selatan, Jay Weatherill dan melawat beberapa universiti di sekitar Adelaide dan Melbourne.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: