DEKORASI memainkan peranan penting bagi sesebuah restoran untuk menarik minat pelanggan untuk berkunjung dan menikmati setiap hidangan istimewa yang disediakan. Itulah yang cuba dipraktikkan sebuah restoran yang terletak di Pusat Membeli-belah Bangsar (BSC), selain hidangan makanan yang menarik dekorasi trendi berjaya menyerlahkan tarikan restoran itu.
Keunikan mengenai House&Co yang terletak di tingkat tiga BSC adalah ia digabungkan di dalam sebuah kedai yang menjual barangan perhiasan rumah dari jenama sama.
Bercerita mengenai konsep restoran itu, Pengurus Restoran, Pauline Liu berkata, tiada sebarang konsep khusus yang cuba diterapkan terhadap dekorasi restoran itu tetapi mengutamakan kepada keselesaan pelanggan yang berkunjung ke restoran itu.
"Seperti yang anda dapat lihat, pelbagai konsep digabungkan tetapi masih mengekalkan beberapa identiti seperti hiasan meja dan perabot yang digunakan.
"Kami sengaja menggunakan semua barangan dalam kedai ini daripada jenama sama supaya jika pelanggan berminat, mereka boleh mendapatkan untuk rumah mereka," katanya ketika ditemui Mingguan mStar di sini baru-baru ini.
Menurut Pauline, restoran yang berkeluasan 7,000 kaki persegi itu dibahagikan kepada lima bahagian iaitu ruang santai terbuka, ruang makan, ruang merokok, ruang bekerja dan ruang di atas dek yang setiap satu memberi aura berbeza kepada pengunjung yang hadir ke situ.
Menariknya mengenai ruang makan di atas dek itu, aliran air dijadikan sebagai tarikan untuk pelanggan yang mahukan ketenangan semasa menjamu selera di situ.
Tidak ketinggalan ruang santai terbuka yang terletak di bahagian luar restoran, ia sering menjadi tumpuan ramai yang inginkan suasana tidak formal.
Restoran yang telah beroperasi selama sejak lapan tahun lalu itu, cukup sesuai untuk keluarga dan rakan-rakan bersantai bagi yang ingin mencarikan kelainan.
Menyediakan pelbagai menu tempatan dan barat, House&Co menjadi pilihan warga kota terutama yang tinggal di Bangsar untuk menikmati hidangan di situ dengan harga berpatutan.
Restoran House&Co yang dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam, menyajikan hidangan yang menarik seperti nasi lemak, salad pir avokado, pasta harlot, karipap dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: