DITUGASKAN membuat liputan perlumbaan GT Jepun semasa berkhidmat sebagai wartawan di sebuah syarikat televisyen swasta lapan tahun lalu berjaya menarik minat Azrina Jane Abdullah, 33, untuk berjinak-jinak dalam sukan drift.
Menyedari dirinya kurang berkemampuan untuk memiliki kereta drift sendiri dan kos yang diperlukan begitu tinggi, Azrina terpaksa melupakan hasrat untuk mendekati sukan lasak itu lebih awal.
Namun, keghairahan wanita kecil molek itu terhadap sukan yang rata-ratanya didominasi golongan lelaki tidak terhenti begitu saja.
Pertemuan dengan suaminya, Ariff Johanis Ahmad pada pelancaran perlumbaan GT Jepun pada 2002 menjadi lebih bermakna apabila ia menjadi detik permulaan bagi Azrina untuk mendekati sukan drift.
Lebih manis, perkenalan yang bermula sebagai sahabat itu akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta. Persamaan dan keserasian yang wujud di antara mereka dinoktahkan menerusi ikatan perkahwinan pada 2004.
Berbicara mengenai pembabitannya dalam sukan drift, Azrina memberitahu awalnya dia sekadar menemani Ariff yang baru berkecimpung dalam aktiviti itu berlatih di litar.
"Selalunya saya akan duduk di sebelah Ariff sambil memerhatikan teknik-teknik yang dilakukan ketika di atas trek terutamanya penggunaan brek tangan dan menekan klac. Dari situ perasaan teruja untuk mencuba memandu kereta drift mula timbul," kata wanita kelahiran Pulau Pinang itu ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.
Masa yang diluangkan bersama Ariff sepanjang di litar ibarat satu bonus buat Azrina. Mereka bukan saja dapat mengeratkan lagi hubungan malah anak bongsu daripada empat beradik ini berpeluang mengetengahkan bakat terpendamnya, empat tahun lalu.
"Saya berlatih menggunakan kereta pertama iaitu model C33, Nissan Laurel milik Ariff selepas dia membeli kereta keduanya. Sama seperti saya, anda boleh mendapatkan kereta untuk sukan drift pada harga serendah RM8,000," ujarnya.
Selepas disahkan hamil anak pertama, Johanna Ariff Johanis, wanita yang fasih bertutur dalam bahasa Mandarin, Hokkien, Kantonis dan Jepun itu memutuskan untuk berhenti sementara waktu atas nasihat suami bagi menjaga kandungannya.
Dia kembali semula ke litar dan melepaskan gian memandu pada tahun lalu selepas berehat selama dua tahun. Meskipun bergelar pelumba pasukan Goodyear Malaysia di samping suaminya, Michael Gan dan Hanizam Hamzah, Azrina tidak pernah puas dengan pencapaiannya.
"Saya masih boleh dikatakan baru dalam sukan ini. Namun saya bernasib baik kerana Ariff banyak menurunkan ilmu mengenai teknik asas dalam sukan drift dan pengalamannya semasa menyertai perlumbaan sirkit dan drag untuk melatih saya," jelas wanita yang gemarkan aktiviti lasak itu.
Mengakui pada mulanya, dia sedikit gementar untuk melakukan aksi lasak dan merbahaya itu terutamanya ketika menggelongsor laju di selekoh tajam. Namun lama-kelamaan Azrina sudah terbiasa beraksi di samping pelumba lelaki lain dan sentiasa mendapat sokongan padu daripada suaminya yang juga merupakan salah seorang pelumba formula drift amatur di negara ini.
Bagaikan mengerti minat isterinya, Ariff sentiasa menggalakkan Azrina untuk mencuba meskipun dia terlebih dahulu mencipta nama dalam sukan drift. Malah pelumba berusia 40 tahun itu menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana isteri tercinta akan turut serta dalam setiap aktiviti kegemarannya.
Bagi Ariff, tiada apa yang mustahil jika golongan wanita mahu mencuba sukan lasak.
Dia menggalakkan lebih ramai wanita terlibat dalam sukan drift kerana ia tidak memerlukan banyak tenaga tetapi melibatkan koordinasi mental dan menekankan teknik-teknik asas.
"Sukan drift berbeza dengan perlumbaan Formula Satu (F1). Sejujurnya, tiada apa yang mustahil jika wanita ingin menyertai sukan ini kerana setiap perlumbaan hanya berlangsung selama 40 saat. Ia tidak melibatkan kekuatan fizikal semata-mata sebaliknya fikiran perlulah tenang," ujarnya.
Untuk melakukan aksi drift pelumba perlu memahami dinamik kenderaan yang dipandu dan cara ia bertindak balas. Jika kereta dipandu pada kelajuan tinggi ketika membelok, kereta akan mudah menggelongsor dan kelihatan seolah-olah mahu terbabas.
Jadi untuk menangani situasi itu, kemahiran dan ketangkasan perlu diterapkan secara berterusan.
Berita baik bagi peminat sukan drift, anda berpeluang menyaksikan kebolehan pasangan suami isteri itu dalam perlumbaan edisi kedua, Goodyear Formula Drift Malaysia 2010 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 hingga 19 Disember ini.
Selain Azrina dan Ariff, kehadiran juara dunia 2004, Ryugi Miyuki (Jepun), Charles Ng (Hong Kong), Rifat Sungkar (Indonesia), Daigo Saito (Jepun) dan Tengku Djan (Malaysia) pastinya menghangatkan suasana di perkarangan bangunan bersejarah di ibu kota kelak.
Selepas gagal pada edisi tahun lalu, Azrina, satu-satunya pelumba wanita tunggal pada kejuaraan yang menarik penyertaan pelumba dari Singpura, Filipina, Jepun, China, New Zealand dan Thailand itu kini memiliki keazaman tinggi untuk melayakkan diri ke perlumbaan akhir.
Sementara itu, pasangan yang berkongsi minat sama itu akan menguruskan perniagaan memasarkan peralatan penyiaran jika tidak terlibat dengan sebarang pertandingan.
Jadual kerja yang fleksibel membolehkan Azrina membahagikan masa untuk keluarga, kerjaya dan aktiviti kegemarannya.
"Segalanya sudah berubah sejak kehadiran Johanna. Jika dulu tumpuan lebih kepada sukan drift, kini keluarga menjadi keutamaan. Melihat Johanna semakin membesar amat mengujakan. Dia begitu seronok jika mengikuti kami berlumba di negara luar," kata Azrina yang menduduki tempat ketiga kategori Novis pada Merdeka Speedway Drift Battle 2006.
Demi memenuhi permintaan ramai yang berminat mempelajari sukan drift, pasangan suami isteri itu tidak lokek berkongsi pengalaman memandangkan mereka merupakan tenaga pengajar di Akademi Drift Sync Optima.
Baru-baru ini, mereka turut mengadakan klinik drift untuk media di perkarangan Stadium Melawati, Shah Alam. Antara teknik asas yang ditekankan ialah aksi donut, figure 8, R dan S.
Ariff berkata, pelumba drift yang masih baru boleh memahirkan diri dalam masa satu hingga dua bulan dengan latihan intensif berterusan.
"Saya lihat kebanyakan pelajar yang mempunyai pengetahuan asas memandu bergelut dengan sedikit kesukaran. Perlu diambil kira, drift sebenarnya melibatkan kawalan kereta dan ia boleh diaplikasikan dalam apa jua sukan bermotor atau pemanduan harian," jelasnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: