Sunday, December 12, 2010

Karya tempatan setanding luar

pix_middle

IRONI! Raut wajahnya serius, tampak angkuh namun karektor di sebalik itu mampu menggeletek teman sekeliling. Sekali pandang, Shaheizy Sam Abdul Samad dianggap sukar didampingi, bagaimanapun selepas lima minit berborak, andaian itu meleset. Dia sebenarnya kelakar dan mudah mesra.

Pesona aktor hebat berkarisma cukup mudah dikesan pada kelibatnya. Tidak hanya mempertaruhkan bakat lakonan malah Shaheizy Sam yang mesra disapa Sam ini punya daya tarikan yang kuat bagi merantai perhatian peminat untuk setia menagih kemunculannya.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Bagaimanapun, terlintas pula persoalan, acap kali bintang berusia 28 tahun ini selesa diulit pujian, adakah dengan persepsi positif itu mampu memimpinnya untuk memacu langkah ke hadapan? Membawa nama Malaysia dengan senyuman bangga dan pulang dengan tangisan syukur adalah impiannya yang sudah lama disimpan kemas.

Bisiknya bertalu-talu tatkala menggesek biola di bahunya, usah berangan-angan terlalu tinggi jika tiada asas yang sempurna kerana bimbang tersungkur seperti Mat Jenin. Justeru di sebalik kata-katanya itu, Sam percaya dengan dirinya untuk tidak terus duduk diam sebaliknya bangkit membuktikan mana yang masih terperuk."Tiada siapa anak seni yang tidak pandang jauh ke depan. Stigma itu ada kalanya disimpul sebagai semangat namun tidak kurang yang hanya sekadar kata tanpa tindakan. Sama seperti saya, sekian lama mengukir nama, mengintai peluang tetapi baru kini rezeki itu tiba dan satu kerugian jika peluang itu dipersiakan," katanya tersenyum.


Percaturan jejaka kacak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini bermula pada usia seawal 12 tahun menerusi filem Sama Tapi Tak Serupa sebelum membintangi telefilem popular, Pa'e tiga tahun kemudian. Namun entah mana silapnya, Sam masih gagal mencipta nama. Lenyapnya nama Sam bukan seketika.

Andai sudah tertulis rezeki buatnya, biar bertahun lamanya terlepas tempias publisiti, tuah itu akan kembali berpaut. Lebih sepuluh tahun menyendiri memerhati dari jauh kegemilangan kakaknya, Zizie Ezette, kini bintang filem Ngangkung, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta, Adnan Sempit, Niyang Rapik dan Bohsia ini bangkit menyusun langkah.

Indahnya, 'sekembalinya' Sam itu terus menerima pengiktirafan menerusi Evolusi KL Drift 2 dengan dianugerahkan Aktor Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 baru-baru ini.

Sesekali butir bicaranya terhenti seakan melayang meninggalkan perbualan. Walau disogok seribu pujian, Sam akui tidak sekali terbang merasakan dirinya terbaik. Lantas, persoalan angan-angannya diterjah masuk. Menang anugerah, deretan judul filem pecah panggung dan memiliki wajah komersial sepertinya, adakah semua itu cukup ditukar sebagai lesen buatnya ke pentas yang lebih tinggi di luar sana?

Meneliti bahasa tubuh dan tidak lekang menyumbang senyuman dalam karektornya yang sukar diramal, anak bongsu dramatis Khaty Fauziah mula berkongsi cerita dan pandangannya.

"Pegangan hidup saya mudah, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan. Justeru sekira ada suara yang bertanya persoalan yang sama, saya yakin dan percaya yang jika ada peluang dan rezeki, tidak mustahil saya atau mana-mana bintang tempatan yang boleh beraksi di layar antarabangsa. Tidak hanya kerana baru dinobatkan anugerah dan berlakon dalam beberapa filem yang dijadikan lesen sebaliknya jati diri dan keberanian dalaman. Itu semua boleh berlaku jika usaha dan semangat tidak terhenti.

"Bukan kerana naskhah kita tidak setanding pasaran luar kerana jujurnya saya melihat kebanyakan filem tempatan atau bakat yang kita ada hari ini jauh lebih baik. Namun sayangnya, sikap orang kita sendiri yang rasa cuak dengan serangan kreativiti luar atau sentiasa rasa rendah diri yang membelenggu industri kita.

"Soalnya adalah kekangan kewangan dan sokongan pelbagai pihak saja. Jika masalah itu ada penyelesaian, industri perfileman kita mampu bersaing hingga ke pentas Hollywood sekalipun. Karya kita dikatakan longgar dan kurangnya penelitian kerana masalah peruntukan juga. Kita masih dihimpit pelbagai masalah berkaitan isu terhad dan batas.

"Adat, agama, budaya dan gaya hidup orang kita adalah elemen penting yang perlu diambil kira meskipun ada kalanya tahap kreativiti idea tempatan lebih baik dan sempurna jika dibariskan dengan karya luar. Itulah hakikat kita hari ini," katanya.

Lancang dan telus jiwa anak muda ini bersuara. Meskipun selesa menggenggam trofi dan bersedia menanti beberapa judul filem lakonannya yang bakal menjengah pawagam tahun depan termasuk Sekali Lagi, Kongsi, Aku Bukan Tomboy dan Songlap, Sam masih sibuk merencana perjalanannya agar tidak tersungkur kerana kisah negatif atau kekhilafan sendiri.

Terlanjur bercerita soal industri perfileman dan arah tujunya dengan pelakon yang cukup mengagumi aktor Eman Manan dan Khalid Salleh ini, lantas sembang itu dipanjangkan kepada pandangannya secara menyeluruh mengenai penganjuran FFM lalu. Relevan dan masuk akal?

"Jika saya tidak berjaya menggenggam anugerah sekalipun pada FFM itu, tidak sekali saya berkecil hati atau mempertikaikan mana-mana pihak terutamanya penjurian. Keputusan itu adalah mutlak dan kredibiliti barisan juri tidak perlu dipersoal. Mereka punya alasan dan mata penilaian sendiri siapa yang patut menang dan siapa yang tidak. Alhamdulillah rezeki berpihak pada saya dan trofi itu saya sifatkan sebagai hadiah atas usaha dan penat lelah selama ini. Itu saja.

"Istilah terbaik dan paling bagus tidak pernah wujud dalam kamus hidup saya. Keutamaan adalah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan usah meletak lakaran anugerah sebagai kiblat. Saya ikhlas dan jujur berlakon, bukannya mengejar pengiktirafan," katanya.

Puas melihat peluhnya menitis tatkala menyusun bicara membincangkan soal FFM yang bagai sebuah payung kepada pelakon muda sepertinya, nyata Sam berhati-hati kerana bimbang kenyataan dan pandangannya bisa memalit rasa marah dan terkilan di kalangan penggiat seni lain yang sememangnya teman seperjuangan.

Jauh matanya meliar memerhati keindahan Panggung Sari di Istana Budaya yang menjadi lokasi pertemuan dengan SELEBRITI sambil mulutnya mengomel sesuatu. Apabila disergah, Sam yang sebelum ini pernah menubuhkan kumpulan M.O.B bingkas memuji seni reka klasik institusi seni negara itu. Namun bagaimana pula dengan seni reka dalaman jiwa Sam yang jarang sekali dikaitkan dengan mana-mana wanita?

"Entahlah kenapa tapi hakikatnya, saya masih lagi tiada kekasih dan sendirian hingga hari ini. Mungkin ketika ini, rezeki dalam lapangan lakonan datang memburu, justeru saya tidak mahu mempersia-siakan peluang ini. Apa yang penting, jadual harian dipenuhi dengan kerja. Saya tidak mahu memikirkan soal cinta buat masa sekarang. Jika ada yang datang dan menambat hati, saya terima," selorohnya.

Menongkah apa saja halangan di depan mata, Sam percaya satu hari nanti bakatnya dapat ditinjau daripada jauh, di tengah pentas antarabangsa. Letak apa saja watak buatnya, pasti ia tidak mengecewakan malah ada kalanya, emosi dan ekspresi wajah yang menjadi kekuatan diberi melangkaui imaginasi penonton. Itulah Shaheizy Sam dengan pesona tersendiri.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: