Sunday, December 12, 2010

Bapa pertaruh nyawa

RAWAT... Henky bersama anaknya Tressa Tun Aleasah menerima rawatan di Hospital Tuaran.
RAWAT... Henky bersama anaknya Tressa Tun Aleasah menerima rawatan di Hospital Tuaran.

KIULU: “Ketika itu, saya tidak fikir apa-apa kecuali mengorek tanah lebih sejam untuk menyelamatkan anak saya daripada tertimbus selepas kakinya terhimpit pada sebatang kayu.” kata Henky Pinllan, 30, bapa kepada Tressa Tun Aleasah yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Logkou Kiulu awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, rumah yang didiami lima sekeluarga ranap akibat runtuhan tanah disebabkan hujan lebat sejak kelmarin, menyebabkan kanak-kanak berusia empat tahun itu patah kaki kiri.

Rumah didiami keluarga Henky yang terletak di pinggir bukit menggelungsur kira-kira lima meter pada kedudukan asal selepas dirempuh tanah runtuh.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Henky berkata, ketika kejadian, dia bersama isterinya Sulpa Pinllan, 30, serta Tressa, Reski Sapputera, 5, dan Safirah, 1, sedang tidur.“Ketika kejadian, saya terdengar bunyi yang kuat daripada luar dan tiba-tiba atap rumah kami runtuh dan saya menyelamatkan anak dan isteri saya.


“Dalam keadaan kelam kabut, saya hanya menemui isteri, Reski dan Safirah manakala Tressa tidak diketahui. Bagaimanapun, ketika hendak melangkah keluar, saya terdengar jeritan Tressa meminta tolong.

“Selepas itu, saya mendapati hampir sebahagian badannya sudah tertimbus dan kakinya tersepit pada sebatang kayu menyebabkan saya sukar untuk menariknya keluar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia berkata, ketika berusaha menyelamatkan ahli keluarga, nyawanya hampir melayang apabila satu daripada kayu menghempap kepalanya.

Henky tidak terfikir keadaan itu kerana dalam fikirannya, nyawa anak begitu penting.

“Saya sedih apabila Tressa menjerit supaya menyelamatkannya sambil meminta supaya tidak meninggalkannya bersendirian. Sudah beberapa kali saya cuba menariknya tapi gagal. Saya sempat menyuruhnya jangan bergerak kerana mahu mendapatkan bantuan orang ramai.

“Saya memanggil jiran untuk mendapat pertolongan bagi mengeluarkan Tressa yang tersepit dan tertimbus itu,” katanya.

Katanya, beberapa rakan turut membantu, namun gagal hinggalah seorang daripada mereka mengambil alat pemotong kayu untuk memotong kayu yang menghempap kaki anaknya itu.

“Selepas itu, barulah anak saya akhirnya berjaya dikeluarkan dan kemudian dibawa ke klinik Kiulu sebelum doktor menyuruh saya supaya merujuk ke Hospital Tuaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Suhaimi Wiro berkata, semua mangsa terselamat kecuali seorang kanak-kanak mengalami patah kaki berhampiran buku lalinya dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tuaran.

Menurutnya, keluarga Henky bernasib baik kerana mendapat bantuan penduduk kampung lalu menghubungi polis sebelum mangsa dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: