Sunday, December 5, 2010

Dayang berani kembali


DAYANG pulang ke tanah air selepas puas menimba pengalaman di luar negara.


LAMA sudah telinga peminat tidak didendangkan dengan kisah terbaru Dayang Noraini Awang Sahari yang menggunakan nama pentas Dayang Noraini.

Bukan bermakna anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu lenyap daripada lapangan seni bahkan kecintaannya pada bidang itu tidak sedikit pun surut.

Sepanjang tempoh ‘kehilangannya’ beberapa tahun lalu, Dayang Noraini sebenarnya mengalunkan vokalnya di Newcastle dan Sunderland, Britain selama dua tahun bermula 2003.

Membina tapak selepas menjuarai Pertandingan Sinaran Passport Kegemilangan musim keenam anjuran TV3 pada tahun 1998, Dayang Noraini sengaja memanjangkan langkahnya ke negara asing selepas dipelawa oleh seorang rakan yang sekarang bergelar suaminya, Roslee Wahid.

Sambil menjayakan undangan nyanyian di restoran jazz, pada waktu sama, ibu kepada tiga cahaya mata – Dayang Damia Heidi, 4, Ivan Mikael, 3, dan Dayang Damia Danielle, 2, sempat membikin sebuah single, Kelawar Oh Kelawar yang turut dirakamkan di Britain.

“Sebaik pulang ke tanah air pada 2006, saya senyap daripada publisiti. Ini kerana saya mahu menumpukan perhatian terhadap rumah tangga yang dibina pada tahun 2002. Tambahan pula kami kena memulakan kehidupan berkeluarga daripada awal.

“Idea album Kelawar Oh Kelawar sudah lama terlintas. Dengan hanya menambah beberapa lagu, saya berusaha mencari material secara perlahan-lahan.

“Alhamdulillah, album solo pertama saya di bawah terbitan dan edaran Dayang Noraini Production mula dipasarkan sejak awal Mac lalu,” jelas Dayang Noraini.

Apa yang berbeza tentang albumnya kali ini terserlah dari segi pemprosesan dan hasil kerja.

Daripada awal hinggalah ke titik terakhir, segala material serta rakaman dilakukan dengan kudrat dan biaya sendiri.

Album mengangkat judul Dayang Noraini itu berisi enam buah lagu iaitu Hipokrit, Sesayup, Kelawar Oh Kelawar, Kau Tak Akan Pernah Tahu, Di Ulang Tahun Mu dan Demi Dekat Pada Mu. Tiga berbunyi progresif rock manakala selebihnya balada.

Dalam atmosfera penyanyi lain yang enggan mengambil risiko menghadirkan album penuh kerana lebih senang muncul dengan single, guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Inanam 2, Kota Kinabalu itu mengaku dia tidak pernah mengenal erti takut.

“Saya sudah lalui banyak perkara setelah 12 tahun bergelar artis. Saya mula menyanyi sewaktu berusia 24 tahun dan sejak itu, saya menjadi matang.

“Niat di hati, saya sekadar mahu memuaskan hati peminat yang selama ini sentiasa menyokong,” katanya.

Menurut Dayang Noraini, dia bercita-cita untuk menerbitkan album single dalam bahasa Inggeris selepas ini.

“Mengapa tidak saya lakukan kelainan kalau ia dapat menembusi pasaran negara jiran. Jika tiada keberanian, siapa lagi boleh buat melainkan diri sendiri,” soalnya.

Dayang Noraini sempat mengerling ke arah sang suami yang duduk berhampiran. Roslee juga mengepalai tugas mengurus kerjaya seninya.

“Sejujurnya, sebelum ini saya pernah kecewa dan berputus asa dengan situasi kerjaya seni.

“Pernah rasa macam tidak dihargai kerana saya seharusnya dapat lebih daripada apa yang diperjuangkan sepanjang lebih 10 tahun lalu.

“Namun, selepas difikirkan kembali, saya mahu sentiasa bersikap optimis. Saya berpegang pada prinsip, jangan biarkan keadaan menguasai kita. Situasi yang berlaku sebenarnya boleh diubah jika kita berusaha lebih gigih,” ujar Dayang Noraini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: