MAZDA merevolusikan banyak perkara dalam dunia automotif. Walaupun sebagai pemain industri yang kecil, Mazda telah mengabadikan segala pengetahuan yang mereka ada, melabur dan akhirnya hampir-hampir muflis kerana keghairahan barisan jurutera mereka mencipta idea baru dalam industri.
Ada dua perkara yang sering dikaitkan dengan revolusi Mazda. Pertama, Mazda merupakan satu-satunya pengeluar kereta di dunia yang kekal menggunakan enjin jenis rotary wankel pada model RX-8. Kedua, penghasilan model roadster MX5 Miata.
Pada tahun 1989, Mazda memperkenalkan Mazda MX5 Miata, roadster pertama seumpamanya yang bersaiz kompak dengan komposisi enjin hadapan pacuan roda belakang. Ia jelas mengejutkan industri secara keseluruhannya kerana pengeluar kenderaan di Eropah mengaku mereka tidak menyangka bahawa roadster ini datangnya daripada pembuat kereta di Asia dan pembuatnya ialah Mazda. Lazimnya, roadster dua pintu dengan kapasiti dua tempat duduk dan sistem pacuan roda belakang hanyalah untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Sekali lagi, pada tahun 1999, Mazda memperkenalkan Premacy. Ia satu-satunya kenderaan pelbagai guna (MPV) bersaiz sederhana yang muncul entah dari dunia mana dengan konsep pemanduan kereta. Maksud saya, kerangka monocoque dengan sistem suspensi bebas.
Ketika itu, pengeluar Jepun tidak begitu memberi tumpuan kepada segmen ini. Sedangkan wujud model yang hampir serupa dengannya seperti Nissan Liberty dan Toyota Ipsum. Namun, model-model tersebut direka untuk membawa penumpang semata-mata. Premacy menang besar dari sudut pengendalian kerana kerangkanya dikongsi bersama platform CP yang turut melahirkan model Mazda 323 Protege dan Ford Lynx.
Pada masa itu juga, Mazda bergabung dengan Ford. Justeru, Premacy dijual dengan meluas di pasaran AS, China, Taiwan dan Hong Kong menerusi model Ford Ixion serta Haima Freema. Ia ditawarkan dengan varian dengan ruang untuk tujuh dan lima tempat duduk.
Di pasaran Jepun, Premacy sangat berjaya pada awal pengeluarannya. Sehinggalah setahun selepas itu, Honda membuat keputusan untuk menghasilkan produk yang sama. Honda menggunakan platform Civic dan terciptalah model Stream. Sementara Toyota yang tidak begitu sukses dengan Ipsum pula mula mengeluarkan model Wish. Akhirnya, Premacy tewas.
Generasi kedua Premacy yang kini dikenali sebagai Mazda5 muncul pada 2005. Pada kali ini, sekali lagi Mazda membuat revolusi dengan melahirkan MPV saiz sederhana dengan pintu gelongsor di bahagian belakangnya. Mazda melihat model Premacy harus berbeza dengan pesaingnya terutama apabila Wish dan Stream turut memperkenalkan konsep tempat duduk yang dipanggil karakuri.
Jadi, Mazda5 diterima baik dalam kalangan peminatnya. Ia sebuah MPV bersaiz sederhana, pintu gelongsor kawalan automatik, bumbung suria, pilihan enam beg udara dan satu-satunya MPV Jepun dalam kelasnya yang lulus lima bintang ujian Euro NCAP.
Setelah lima tahun berada di pasaran, Mazda5 generasi ketiga muncul. Ia dilancarkan pada 1 Disember tahun lalu di bawah edaran Bermaz. Lebih mengagumkan, ia merupakan model baru yang sama dilancarkan di Jepun tahun ini.
Mazda5 generasi ketiga itu meneruskan tradisi dan konsep yang ada pada model generasi kedua. Ia berpaksikan kepada konsep Nagare yang terdapat pada rangkaian model Mazda6 dan Mazda3. Prinsip Nagare adalah aliran yang diterjemahkan menjadi reka bentuk aerodinamik yang berbeza berbanding pengeluar kereta Jepun lain.
Anda boleh lihat sisi kereta itu yang mempunyai garis bahu yang sangat pelik. Idea rekaan ketua reka bentuk Mazda, Franz von Holhausen meletakkan Mazda menjadi sebuah kereta berbeza pada hari ini.
Mazda5 dijual pada harga RM154,000 di atas jalan dengan pilihan tujuh warna. Ia terdiri daripada Clear Water Blue, Copper Red, Aluminium Metallic, Stromy Blue, Crystal White Pearl, Metropolitan Grey dan Brilliantly Black. Mazda5 diimport sepenuhnya dari kilang Mazda di Hiroshima, Jepun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: