DIA tiba di Balai Berita The New Straits Times Press (NSTP) Berhad di Jalan Riong, Bangsar, dengan hanya mengenakan kemeja-T berwarna merah dan 'legging' denim. Memang cukup ringkas penampilan itu jika digayakan wanita lain tetapi tidak buat tubuh pelakon sensasi, Yasmin Khanif.
"Semua baju yang saya bawa hari ini, sudah disaring dan mendapat kebenaran daripada emak saya. Kalau seksi juga tidak tahulah nak kata apa lagi," kata Yasmin berseloroh sebelum fotografi dimulakan.
Hampir tiga jam menyelaras fotografi bersamanya, Yasmin sebenarnya seorang tinggi budi bahasa, tutur katanya di atur lembut dan jauh sekali sifat-sifat watak 'jalang' yang dipaparkan melalui filem Jalang tidak lama dulu.
Bagaimanapun temubual petang Jumaat lalu, bukanlah untuk mencatat kembali pembabitan dalam Jalang akan tetapi menyorot perkembangan terbaru pemilik nama sebenar Rosyasmin Mohd Khanif ini.
"Saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri 60 episod iaitu Aalia. Saya memegang watak sebagai Nina perempuan upahan untuk merosakkan hubungan Aalia dan suaminya, Shahril.
"Disebabkan Nina juga mengejar kebendaan, dia menggunakan peluang itu untuk menggoda Shahril sekali gus mengenakan semula Yati, isteri lelaki itu yang sebenarnya mengupah dia memisahkan Aalia dan Shahril," katanya.
Yasmin berkata lagi, dua drama yang dijayakannya sebelum itu turut disogok dengan perwatakan perempuan yang bergelora.
"Menerusi telemovie Kasut Emas saya membawakan watak sebagai Noryn seorang isteri yang obses dengan kecantikan. Kerana terlalu sayangkan Noryn, suaminya (lakonan Rusdi Ramly) berusaha memenuhi apa saja kemahuan Noryn. Namun satu hari rahsia Noryn pernah mengahwini Datuk terbongkar.
"Manakala drama Rafael pula, saya mainkan watak Diana teman wanita kepada Iqram Dinzly. Dalam cerita ini saya jadi kekasih mata duitan.
"Nampaknya semua karakter yang diberikan kepada saya setakat ini adalah watak-watak gelap atau saya lebih suka menyebutnya sebagai 'daring'," katanya.Mengakui teringin sekali melakonkan watak sedih, gadis kampung, komedi termasuk aksi, namun, apakan daya kata Yasmin, rezeki belum menyebelahi.
Ditanya, apakah kebarangkalian lakonan 'panas' di dalam filem Jalang meletakkannya dalam kelompok pelakon 'antagonis'?
"Saya pun rasa begitu tapi kalau ikutkan, sejak awal pembabitan dalam bidang lakonan iaitu sebelum membintangi filem Jalang lagi saya sudah disogok watak sebegini.
"Villa Maya misalnya, perwatakan saya lebih kurang sama dengan drama-drama disebut tadi. Entahlah, hampir semua pengarah kata muka saya tidak sesuai bawa watak gadis baik.
"Tapi saya percaya kalau diberi peluang saya mampu menggalas cabaran itu. Gunakan solekan yang nipis dan berbaju kurung saya pasti mereka akan nampak sisi berbeza seorang Yasmin.
"Sewaktu terbabit dengan penggambaran Aalia, hal ini saya bualkan dengan Faradhiya yang memegang watak Yati. Dia sendiri pun mengeluh kerana selalu sangat diberikan watak jahat.
"Tapi itulah, nak kata watak begini teruk pun tidak juga kerana saya pernah disapa seorang remaja yang cakap selepas menonton Jalang akui berasa kesal sehingga terbuka pintu hatinya kembali bersembahyang," katanya.
Perbualan petang itu tidak terbatas soal keinginannya mendalami pelbagai peranan tetapi juga menyorot perancangan masa depan.
Pernah dihambat kontroversi kononnya 'ditaja' seorang Datuk gara-gara menubuhkan Yasmin Khanif Production (YKP) sekali gus bergelar produser kepada sebuah filem walhal baru membintangi satu filem iaitu Jalang, Yasmin sememangnya mempunyai cita-cita besar untuk direalisasikan.
"Untuk membuka sebuah produksi tidaklah menelan kos yang tinggi. Malah, ketika saya memaklumkan perancangan menerbitkan filem Dua Alam, saya sudah jelaskan kos pembikinan filem ini bukan dibiayai sepenuhnya oleh saya.
"Sebaliknya ada pelabur yang berminat terbabit dalam filem itu. Justeru isu ditaja itu adalah tidak benar sama sekali. Kenapa saya memilih perniagaan dalam bidang ini sebabnya saya suka berlakon dan lebih baik saya laburkan wang pada perkara yang saya suka.
"Lagipun, sejak berkecimpung dalam bidang komersial seawal 14 tahun saya memang bercita-cita mahu mempunyai produksi sendiri dan mula menabung wang dari hasil iklan yang pertama. Selepas projek Dua Alam tak jadi, sekarang ini saya masih menantikan skrip yang menarik. Kalau boleh saya mahu buat filem yang terus meletup.
"Saya adalah penggemar filem seram dan tentunya seronok dapat menerbitkan filem dari genre itu. Melalui YKP, Insya-Allah saya juga akan menerbitkan sebuah program hiburan.
"Selain itu saya turut mengusahakan perniagaan sekolah tadika yang dikendalikan keluarga. Tadika ini saya beli secara 'francais' daripada ibu saudara dan insya-Allah ia akan beroperasi pada Januari 2011," katanya akan membuka pendaftaran masuk pelajar Ogos nanti.
Sebelum mengakhiri perbualan, Yasmin juga mengakui jadualnya semakin sibuk apabila dilantik sebagai duta hemofilia oleh Pusat Darah Negara.
Hemofilia adalah sejenis penyakit keturunan atau genetik yang menyebabkan darah penghidap sukar membeku hingga mengakibatkan pendarahan yang teruk apabila mengalami luka.
"Saya juga salah seorang pengidap hemofilia tetapi doktor mengesahkan keadaan saya tidak serius. Peranan saya sebagai duta adalah untuk memberi kesedaran, menyampaikan maklumat termasuk memberi semangat kepada pengidap hemofilia bahawa mereka juga boleh berjaya seperti orang lain," katanya.
PROFIL
NAMA: Rosyasmin Mohd Khanif
NAMA KOMERSIAL: Yasmin Khanif
LAHIR: 29 November 1988
ASAL: Kuala Lumpur
ZODIAK: Sagittarius
FILEM: Jalang DRAMA: Villa Maya, Mataku Nampak Hantu, Rafael, Kasut Emas, Aalia KOMERSIAL: Nescafe dan VIP (Pakistan), Dubai Tower, Head & Shoulder (Arab Saudi), Petronas dan Bank Muamalat
ehehe..muka dy nampak jah*t jer...
ReplyDelete