![]() |
| Adibah Noor |
SEBELUM memulakan bicara kami petang itu, saya terlebih dahulu memberikan ucapan tahniah kepada Adibah Noor di atas kelahiran album keduanya, Teman.
Tidak cukup dengan itu, saya memuji penghasilan album Teman yang saya sifatkan sebagai sebuah produk yang berkualiti.
Kualiti, kata saya kepada Adibah, adalah dari segi seleksi lagu-lagunya yang membuatkan saya leka dan asyik mendengarnya bermula dari trek pertama sehinggalah ke akhir.
Dengan mata yang berkaca sambil tersenyum, Adibah membalasnya dengan ucapan terima kasih dalam nada terharu.
“Syukur Alhamdulillah. Saya benar-benar menghargainya dan terima kasih banyak-banyak. Bukan anda seorang sahaja, tetapi saya menerima respons yang positif daripada peminat saya yang menggemari album ini.
“Saya harus akui proses menghasilkan album Teman bukanlah semudah yang disangka kerana saya mahu mencari sesuatu yang dapat meninggalkan kesan kepada pendengar.
“Dalam erti kata lain, album Teman merupakan album yang begitu personal buat diri saya kerana ia merupakan satu penghormatan dan dedikasi buat teman-teman seperjuangan saya,” tutur Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohd. Omar ini lagi.
Kelahiran Teman merupakan kesinambungan kejayaan album Terlalu Istimewa yang diterbitkan oleh syarikatnya, Adibah Noor Entertainment pada tahun 2005.
Biarpun tidak dinaungi oleh mana-mana syarikat rakaman dalam pembikinan albumnya itu, namun Terlalu Istimewa berjaya mencatatkan penjualan sebanyak 10,000 salinan.
Untuk album Teman pula, sebagai permulaan, Adibah hanya mengeluarkan 5,000 salinan sahaja dan angka itu akan bertambah seandainya ia terus mendapat sambutan menggalakkan.
“Alhamdulillah, sambutan yang saya terima memang menggalakkan terutama sekali apabila saya menjualnya sendiri dalam mana-mana persembahan yang saya lakukan.
“Kadang-kala, kasihan juga melihat mereka pulang dengan muka hampa apabila tidak dapat membeli album saya.
“Bukan apa. Kalau saya bawa lebih, tidak habis pula dijual. Tetapi, kalau saya bawa dalam kuantiti yang sedikit, laris pula jualannya,” cerita Adibah sambil ketawa.
Jika album Terlalu Istimewa disifatkan Adibah sebagai album eksperimen bagi memperkenalkan dirinya kepada peminat muzik, namun untuk Teman, dia sudah mula mendapat rentaknya.
“Muzik dan lagunya lebih terarah dan ada cerita yang saya mahu sampaikan,” katanya ringkas tentang album yang menelan belanja hampir RM130,000 itu.
Tambahnya, dia mahu menghasilkan album yang dapat menceritakan ekspresi dan luahan jiwanya terhadap insan-insan yang memainkan peranan besar dalam hidupnya.
Biarpun mereka telah lama meninggalkan dirinya, namun untuk Adibah, semangat dan jiwa mereka masih lagi wujud dalam dirinya.
Lagu Cahaya yang diletakkan sebagai trek pertama dalam album Teman misalnya, adalah tribute Adibah untuk seniwati legenda yang cukup dikaguminya iaitu Allahyarham Normadiah.
“Saya memang tertarik dengan lagu Cahaya yang merupakan lagu asal nyanyian Allahyarham apabila kali pertama mendengarnya.
“Dengan susunan muzik oleh Sze Wan untuk versi baru lagu ini, saya mahu ia dihargai oleh masyarakat khususnya generasi baru.
“Saya mahu mereka tahu bahawa kita memiliki lagu-lagu lama yang merupakan khazanah berharga yang harus dipelihara,” ujarnya yang turut merakamkan sebuah lagi lagu lama, Siapa Dia nyanyian Zainab Majid.
Saya bertanya kepada Adibah lagi tentang lagu yang paling digemarinya di dalam album ini dan dengan pantas, dia memilih Bulan dan Mentariku.
Bagi Adibah, lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan ditambah pula dengan kekuatan lirik oleh Habsah Hassan benar-benar menyentuh jiwanya.
Apatah lagi, karya indah itu memang dihasilkan bagi mengenang jasa Allahyarham Surya Booty dan Allahyarham Munir Sheikh Mahmud atau lebih dikenali sebagai Moon dari sitkom Jangan Ketawa.
Cerita Adibah lagi, jalan cerita Bulan dan Mentariku sudah cukup jelas untuk menceritakan betapa kehadiran mereka telah banyak mewarnai dan menerangi hidupnya.
“Moon merupakan seorang sahabat yang setia bersama saya di kala susah dan senang. Terlalu banyak yang saya harungi bersamanya sepanjang saya mengenalinya.
“Bagi Surya pula, dia adalah pendorong dan pembakar semangat untuk saya meneruskan perjuangan saya dalam bidang seni kerana dia percaya dengan bakat saya.
“Lalu, saya ceritakan semuanya kepada Kak Chah (panggilan untuk Habsah Hassan) tentang apa yang saya mahukan dan hasilnya bagi saya terlalu istimewa.
“Saya sifatkan lagu ini sebagai sebuah lagu yang universal kerana kita boleh menujukannya kepada orang yang kita sayangi dan cintai. Tanpa mereka dalam hidup kita, ia akan menjadi gelap umpama tiada bintang dan matahari,” ujarnya bersungguh-sungguh menceritakan keindahan lagu Bulan dan Mentariku.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: