Tuesday, June 22, 2010

Taruhan judi bola cecah RM300.7j



KUALA LUMPUR – Sebanyak 156 serbuan dilakukan di seluruh negara dengan 120 orang ditahan melibatkan nilai pertaruhan sindekt hudi bola sepak Piala Dunia berjumlah RM300.7 juta sepanjang dua minggu Ops Soga yang dijalankan bermula 11 Jun hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, daripada jumlah itu, Bukit Aman sendiri melalui operasi yang dijalankan oleh Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) telah menahan 30 orang melibatkan nilai pertaruhan sebanyak RM200 juta.

“Seramai 100 lelaki, 20 wanita dan sembilan warga asing berusia lingkungan 15 hingga 73 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh kontinjen seperti Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Bukit Aman sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Aman, semalam.

Menurutnya, tiga sindiket dikesan telah melarikan diri keluar negara ekoran bimbang kegiatan mereka dihidu polis.

“Mereka kini beroperasi di luar negara dengan menggunakan mata wang Amerika Syarikat (USD) dalam pertaruhan yang dibuat,” katanya.

“Kita juga ada bukti bahawa sindiket ah long turut terlibat dalam sindiket pertaruhan judi bola sepak ini dalam memberi pinjaman kepada orang yang ingin berjudi.

“Nilai pertaruhan bagi setiap individu dipercayai antara RM50 dan RM2,000 bagi setiap perlawanan,” katanya.

Mohd Bakri berkata nilai pertaruhan bagi setiap satu sindiket boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 bagi satu perlawanan dan boleh mencapai sehingga RM100,000 bagi tiga perlawanan sehari.

Katanya, Ops Soga akan diteruskan sehingga tamat Piala Dunia, 12 Julai, namun polis akan meneruskan operasi pemantauan terhadap sindiket perjudian bola sepak yang melibatkan liga-liga bola sepak yang lain.

“Kita akan terus memantau kegiatan perjudian bola sepak ini dan polis tidak akan berganjak daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap sindiket yang terlibat,” tegasnya.

Menurutnya, pertaruhan boleh dibuat sama ada secara manual ataupun talian (online)

Katanya, setiap individu dikatakan membuat pertaruhan sekurang-kurangnya sebanyak RM50 hingga mencecah RM2,000 manakala sindiket dikesan mengumpul nilai pertaruhan mencecah RM100,000 sehari membabitkan tiga perlawanan.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan ‘ah long’ terlibat dalam kegiatan perjudian itu kerana terdapat ramai kaki judi yang memerlukan sumber kewangan.

“Terdapat ‘ah long’ dikesan terlibat dalam kegiatan pertaruhan ini adalah dari rangkaian yang sama memberi pinjaman ceti haram,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis telah mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk merancang strategi menangani pertaruhan bola secara online.

Mohd Bakri berkata, polis percaya lebih 200,000 rakyat negara ini terlibat dengan pertaruhan judi bola sepak itu sejak Piala Dunia bermula pada 11 Jun.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya berjaya menahan lima bookie sindiket perjudian membabitkan pertaruhan bernilai RM6 juta dalam empat serbuan berasingan antara 15 hingga 18 Jun lalu.

“Kami tak larang nak tonton bola, tapi jangan cari penyakit dengan berjudi, kepada masyarakat di luar sana jangan terpedaya dengan bookie ‘online’, ini semua menyalahi undang-undang,” katanya, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Di TEMERLOH, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, seorang pemasang jubin berusia 48 tahun yang menjadikan rumahnya di Kampung Baru Mentakab sebagai pusat operasi pertaruhan melibatkan jumlah RM25,000 sehari.

Manakala di MELAKA, 14 lelaki lelaki ditahan dipercayai terbabit dengan kegiatan judi bola sepak Piala Dunia secara online dalam serbuan berasingan di tiga daerah, di negeri ini membabitkan wang pertaruhan sebanyak RM50,000.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata, semua yang ditahan berumur di antara 23 dan 40 tahun itu ditahan dalam Operasi Soga Unit Pencegahan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7).

Di SEREMBAN, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, pihaknya sudah menahan lapan ‘kaki judi’ kerana terbabit dengan pertaruhan haram bola sepak Piala Dunia dengan nilai pertaruhan keseluruhan mencecah RM2.8 juta.

“Kesemua mereka ditahan di kawasan perumahan, kafe siber dan restoran sekitar Seremban dan Simpang Pertang, Jelebu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri, di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: