Wednesday, June 23, 2010
Suri rumah ditinggal suami gagal bayar hutang ah long
KUALA LUMPUR – Kegembiraan seorang suri rumah serta tiga anaknya yang baru pulang bertemu saudara tidak bertahan lama, apabila mereka tiba-tiba diserbu sekumpulan ah long yang datang menuntut hutang yang dipinjam suaminya.
Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Madam Lau Y K, 55, berkata, dia dan tiga anaknya berusia antara 17 hingga 26 tahun berkunjung ke rumah saudara mereka di Bukit Tinggi, Bentong pagi Sabtu lalu, sebelum kembali semula ke rumah kira-kira jam 7 malam hari yang sama.
Menurutnya, ketika pulang tiada perkara pelik yang berlaku sehinggalah dia menemui sekeping nota bertulis dalam bahasa Cina yang ditinggalkan suami, Liew Eng Far, 55, memberitahu terpaksa meninggalkan rumah kerana tidak mampu membayar hutang ah long selain berpesan agar tidak mencarinya.
“Dia (suami) sudah menghilangkan diri dan hanya memohon maaf serta memberitahu akan pulang sekiranya keadaan mengizinkan.
“Tidak lama kemudian, datang tiga lelaki cuba membuat kacau di hadapan rumah sambil bertanyakan di mana suami saya bersembunyi selain mahu menuntut kembali hutang yang dipinjam suami,” katanya dalam nada sebak pada sidang akhbar di Wisma MCA, semalam.
Lau Y K berkata, ketiga-tiga lelaki itu enggan menyatakan jumlah wang yang dipinjam namun mendesak meminta wang dibayar segera atau mereka sekeluarga akan menerima padah.
“Saya tak tahu ke mana suami saya pergi dan sangat kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawabnya. Tahun lalu saja, saya terpaksa meminjam wang daripada saudara mara termasuk mengorbankan wang simpanan sebanyak RM80,000 untuk membantu suami membayar semua hutangnya,” katanya.
Beliau berkata, suaminya gila berjudi dan tidak menolak kemungkinan dia (suami) turut terbabit dalam perjudian bola Piala Dunia 2010.
Katanya, sehingga kelmarin lebih daripada 10 ah long datang ke rumahnya menuntut hutang namun setakat ini, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Lau Y K berkata, dia bagaimanapun sudah membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya, Sabtu lalu berhubung kejadian kerana bimbang akan keselamatan dirinya dan anak.
Menurutnya, dia turut memberi amaran kepada suaminya untuk menyelesaikan sendiri semua hutang terbabit selain memutuskan hubungan mereka sebagai suami isteri sejak 30 tahun lalu.
“Saya minta juga kepada ah long agar menjejaki suami untuk mendapatkan duit mereka dan jangan mengganggu keselamatan kami sekeluarga kerana kami tidak terbabit,”katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau sedih dengan perkara yang berlaku kerana orang awam masih tidak serik untuk berhutang dengan ah long dan meninggalkan masalah kepada keluarga apabila gagal menyelesaikan hutang.
“Dalam tempoh enam bulan ini, sebanyak 130 aduan berhubung kes ah long kami (MCA) terima membabitkan kerugian mencecah RM13 juta.
“Kaum Cina mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 75 peratus membabitkan 72 lelaki dan 29 wanita. Selain itu, Melayu turut dilaporkan membuat pinjaman dengan ah long membabitkan 22 kes manakala India tujuh kes,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: