Wednesday, June 9, 2010

Shiqin teruk dibelasah Que

KESIMPULAN daripada temubual dengannya, tidak keterlaluan dikatakan gadis manis ini sangat bertuah. Kenapa diandaikan sebegitu?

pix_middle



Tanpa sebarang pengalaman Nur Ashiqin Mohd Kamal, 19, atau mesra disapa Shiqin sudah membintangi empat filem yang mana semuanya menampilkan Shiqin sebagai watak penting.


Bermula dengan Uncle Hussain, Shiqin dipilih menerajui filem Lagenda Budak Setan diikuti Mantera seterusnya Dilarang Masuk, bahkan filem Lagenda Budak Setan (LBS) yang diadaptasi daripada novel karya Ahadiat Akashah arahan Sharad Sharan yang sedang hangat ditayangkan.


Menerusi filem itu, Shiqin membawakan watak Emilia iaitu kesinambungan kepada watak Ayu selepas menjalani pembedahan wajah. Emilia dan Ayu (lakonan Lisa Surihani) adalah orang yang sama namun, Ayu melakukan pembedahan plastik selepas mengalami kemalangan teruk wajahnya musnah.

"Emilia adalah Ayu dan Ayu adalah Emilia. Yang membezakan mereka hanyalah wajah namun bahasa tubuh, perlakuan serta pertuturan mereka masih sama. Cabaran saya di sini untuk menghidupkan karektor Emilia sebagaimana Lisa Surihani menjiwai Ayu.


"Justeru semasa sesi latihan saya dan Lisa banyak berbincang malah dia sendiri memberikan tunjuk ajar selain menjelaskan bagaimana reaksinya apabila berdepan dengan situasi-situasi tertentu yang dihadapi Emilia.


"Ternyata, 'input' yang diperoleh dari Lisa memudahkan saya menghayati karektor Emilia. Cabaran lain perlu saya hadapi sepanjang penggambaran filem ini babak pertengkaran dengan Que Haidar yang melakonkan watak Azmi iaitu suami kepada Emilia-Ayu.


"Dia memukul saya sepenuh hati hingga membuatkan saya tergamam walaupun sedar itu cuma satu lakonan. Walau bagaimanapun saya amat berbangga dan terharu dapat membintangi filem ini bersama-sama pelakon lebih berpengalaman seperti Farid Kamil, Lisa, Que Haidar dan Raja Farah.


"Saya juga rasa amat bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada Fauziah Ahmad Daud yang bertindak sebagai pelatih kami untuk filem ini," katanya.


Sebagai seorang yang belum pernah berkahwin dan bergelar ibu, Shiqin turut menyifatkan babak melahirkan bayi antara paling sukar dilakukannya.


"Dalam keadaan kaki digantungkan diatas besi sambil meneran, terus-terang dapat merasakan kesakitannya. Tidak dapat saya bayangkan keperitan yang dialami ibu yang melahirkan bayi mereka. Masa melakonkan babak itu saya juga tiba-tiba rasa tidak selesa apabila Farid Kamil ada di sebelah sedangkan dalam babak lain tiada masalah," katanya.


Bagi yang sudah menonton filem ini, pastinya mereka tertanya-tanya mengapa intonasi suara Shiqin mirip benar suara Lisa Surihani. Memang jelas, di dalam filem itu Lisa terpaksa meminjamkan suaranya kepada watak Emilia.


Ditanya apakah reaksi Shiqin mengenai hal ini, akui penuntut jurusan Sains Aktuari, Universiti Teknologi Mara UiTM Shah Alam ini dia menghormati keputusan pengarah."Tanyalah pada mana-mana pelakon sekalipun, pasti jawapan mereka sama dengan saya iaitu... tidak puas. Walau bagaimanapun saya tidak kisah kerana jalan ceritanya sudah ditentukan seperti itu.

"Seperti yang dikatakan tadi Emilia dan Ayu adalah orang yang sama justeru ada logiknya apabila suara Lisa digunakan untuk watak Emilia. Mungkin juga emosi saya semasa mengucapkan satu persatu dialog itu salah tetapi ia nampak betul selepas proses 'dubbing'," katanya.

Memasang angan menjadi pelakon sejak kecil lagi, pemilik wajah unik ini membina keberanian serta mengasah bakat lakonannya ketika di bangku sekolah.

"Dari sekolah lagi saya memang sudah minat. Asal ada pertandingan teater antara kelas saja, saya akan tawarkan diri. Tidak kiralah walau ia cuma 'public speaking' pun saya belasah juga kerana saya memang minat berlakon.

"Lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya terbabit dalam penggambaran filem Magika sebagai pelakon aksi. Saya buat 'stunts' untuk Ziana Zain yang melakonkan watak nenek kebayan.

"Kalau ikutkan pelakon sepatutnya melakukan 'stunts' mereka sendiri namun disebabkan masa itu Ziana Zain sedang mengandung jadi sayalah yang terpaksa menggantikan posisi Ziana untuk babak-babak lasak.


"Tidak sangka pula, bakat saya diperhatikan oleh pengurus produksi filem itu yang meminta saya menghadiri uji bakat Uncle Hussain kerana pihak produksi filem itu sedang mencari heroin filem berkenaan," katanya dilahirkan bukan dari kalangan keluarga seni.


Bercerita lanjut pengalaman membintangi Uncle Hussain, ia bukanlah sebuah filem yang terlalu mencabar kerana filem komedi ringan.


"Cuma ada satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan apabila dalam satu babak, seorang kru produksi meletakkan seekor katak betul untuk membuatkan babak itu nampak riuh. Dari awal lagi saya sudah nampak, dia sedang memegang beg plastik berisikan sesuatu yang sedang bergerak-gerak.


"Tetapi bila ditanya, abang kru menjawab tiada apa-apa. Nak dijadikan cerita apabila katak itu dilepaskan dalam set penggambaran saya pun teruslah lari bertempiaran," katanya.

Mengenai wataknya sebagai Dina dalam Mantera yang turut dibintangi Tomok sebagai pelakon utama, nyata membawakan peranan sebagai penganalisa robot dalam filem sains fiksyen memerlukan Shiqin kelihatan bijak.

Manakala untuk filem Di Larang Masuk pula, Shiqin merasakan lakonannya sebagai Fatia untuk filem itu lebih mencabar kerana menjadi pesakit jantung.


Sudah bersedia menghadapi asam garam dunia seni, Shiqin memasang impian untuk menjadi pelakon yang berilmu dan boleh dijadikan idola kepada masyarakat. Melihat penampilan luaran, memang gadis ini mempunyai pesona tersendiri yang mampu membuatkan mana-mana produser terpikat untuk mengambilnya sebagai pelakon utama.


"Saya tidak pernah rasa disebabkan rupa, saya memperoleh semua tawaran ini. Saya percaya mereka menilai bakat saya apatah lagi untuk mendapatkan semua peluang ini saya melalui proses uji bakat yang turut disertai puluhan gadis," katanya.

>PROFIL
NAMA: Nur Ashiqin Mohd Kamal
NAMA KOMERSIL: Shiqin Kamal
TARIKH LAHIR: 25 November 1991
UMUR: 19 tahun
ZODIAK: Sagitarius
ANAK: Bongsu daripada tujuh beradik
IDOLA: Elly Suriati
HOBI: Aktiviti lasak
FILEM KEGEMARAN (tempatan): Hingga Hujung Nyawa
FILEM DIBINTANGI: Uncle Hussain, Lagenda Budak Setan, Mantera dan Dilarang Masuk
KOMERSIAL: Sunsilk bersama Ashraf Muslim
KERJAYA: Penuntut jurusan Sains Aktuari, UiTM Shah Alam dan pelakon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: