SHEBEEN di Afrika Selatan, iaitu bar haram yang biasanya tersembunyi, semakin meningkat jumlahnya menjelang Piala Dunia dengan harapan pengunjung dari luar akan menyertai penduduk tempatan untuk meraikan kejohanan bola sepak itu.
Kebanyakan shebeen menjalankan perniagaan tidak sah, yang pada awalnya diadakan di rumah-rumah bagi mengelakkan tindakan keras kerajaan aparteid satu ketika dulu.
Namun, kini pemiliknya menerima bantuan dari pengeluar bir negara iaitu South African Breweries yang merupakan sebahagian daripada syarikat gergasi minuman keras SABMiller, yang melaburkan sebanyak 40 juta rand (RM17 juta) untuk kerja mengubah suai shebeen yang kini beroperasi secara sah.
"Kami percaya kurang daripada sejuta rakyat Afrika Selatan mempunyai peluang untuk menonton perlawanan secara langsung," kata jurucakap SAB, Benedict Maaga, bermakna shebeen akan menjadi tumpuan ramai untuk menyaksikan acara sepak mula Jumaat lalu.
SAB telah membantu 40 bar kecil di seluruh pekan Umlazi di luar Durban, yang menempatkan tujuh perlawanan Piala Dunia, dengan harapan pelancong asing turut berkunjung.
"Kami percaya persekitaran lama akan memberi pengalaman menakjubkan bagi pelawat yang mahu menikmati gaya hidup dan hidangan sebenar kami," ujar Maaga.
Pemilik bar juga teruja untuk membuktikan perkara tersebut.
"Kedatangan anda dialu-alukan! Oh, anda sangat dialu-alukan!" kata seorang pelayan bar kepada sekumpulan peminat bola sepak dari luar negara.
Sekitar 20 tahun dulu, golongan kulit putih tidak akan menjejakkan kaki ke dalam shebeen berikutan ia dikelaskan sebagai haram. Namun bagi orang tempatan, ia berfungsi sebagai saluran sosial yang juga tempat pertemuan politik di kalangan pekerja kulit hitam.
Selepas pilihan raya melibatkan semua kaum yang pertama pada 1994, shebeen dibenarkan undang-undang dan mula beroperasi secara terbuka, seterusnya menjadi tumpuan pada hujung minggu.
Dulu pemilik shebeen membuat arak sendiri dalam tembikar di belakang rumah. Hal itu kini sudah berubah apabila mereka sepakat menyertai pasaran menguntungkan dengan jenama alkohol terkenal menaja peti sejuk besar mereka.
Trend pelanggan juga berubah dengan munculnya kunjungan kelas pertengahan yang biasanya tinggal di bandar kecil bekas kediaman kulit putih namun dikelilingi pekan-pekan dan kawasan perumahan kelas bawahan.
"Tempat tinggal saya hanyalah untuk tidur. Mereka menggunakan bahasa Inggeris dan saya bercakap dalam bahasa Zulu. Mereka suka ragbi, manakala saya gemarkan bola sepak," kata Zwile Mchize yang bekerja dalam sektor kewangan namun datang ke shebeen bernama Metro Tavern di Umlazi untuk minum bersama rakan-rakan.
Setiap malam Jumaat, dia meninggalkan jalan raya yang lengang di kejiranan barunya dengan memecut kenderaan pacuan empat roda miliknya. Mchize perlu ke pekan terbesar di wilayah KwaZulu-Natal untuk mencari teman yang sealiran minat dengannya.
|
|
Pondok-pondok masih memenuhi kaki lima jalan raya pekan terebut yang mempunyai kadar 50 peratus pengangguran.
"Alkohol akan membunuh negara kita," kata seorang lelaki berusia 40-an berkenaan penduduk setempat yang membelanjakan terlalu banyak wang untuk arak. Ironinya, dia sendiri turut serta meneguk minuman keras itu.
Pemilik bar juga tidak ragu-ragu mengenai jangka hayat perniagaan mereka. Suasana bisnes mereka itu diwarnakan pemandangan tempat letak kereta yang penuh dengan kenderaan yang bingit memainkan lagu-lagu tempatan.
"Saya tidak menipu anda. Saya dapat banyak wang melalui perniagaan ini," katanya sambil meluahkan hasratnya untuk menambah bilik permainan biliard dan ruang dalaman.
Walaupun optimis, dia tidak begitu mengharapkan pelancong asing untuk bertandang ke shebeen miliknya. Menurutnya, bilangan pelanggan kulit putih yang hadir ke situ boleh dibilang dengan jari sejak 20 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: