PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyambut baik langkah Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) untuk membataskan elemen kontroversi dalam semua rancangan berbentuk hiburan terbitan mereka.
Presidennya, Harun Salim Bachik berkata, sesuatu kritikan yang persembahkan dalam sebarang program hiburan itu biarlah sesuatu yang boleh membawa kepada kebaikan.
"Industri ini kecil sahaja. Jika jejaskan imej seseorang artis, ini seolah-olah memperkecilkan industri kita sendiri. Kalau jatuh seseorang artis, lumpuhlah industri kita," katanya kepada mStar Online.
Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, sempena menyambut ulang tahun TV3 yang ke-26 pada 1 Jun lalu, stesen televisyen itu akan lebih mementingkan sensitiviti penonton dalam program-program hiburan yang diterbitkan.
Sebelum ini, Seniman pernah mengemukakan bantahan terhadap TV3 kerana rancangan Terjah yang diterbitkan oleh Nas Ahmad dianggap memaparkan elemen yang mengetepikan budaya dan adab sopan Melayu.
Rancangan itu bagaimanapun telah ditamatkan siarannya beberapa bulan lalu.
Sambil mengimbau episod bantahan tersebut, Harun yang juga seorang pelakon dan pengarah drama berkata, pihak Seniman ketika itu bukan meminta TV3 menghentikan rancangan Terjah.
Sebaliknya, mereka sekadar meminta format rancangan itu diubah supaya ia tidak keterlaluan.
"Apabila libatkan maruah seseorang, ia adalah perkara yang sensitif terutama kita adalah orang Timur. Kita perlu menjaga sensitiviti apabila ia menyentuh keperibadian seseorang," jelasnya.
Harun turut menggesa setiap rancangan hiburan supaya memuatkan isi kandungan yang menyeru para artis meningkatkan prestasi kerja serta usaha untuk memperbaiki industri hiburan.
Mengenai cadangan TV3 untuk menyiarkan mana-mana segmen kontroversi yang tidak disiarkan di televisyen untuk dimuatkan di internat, Harun berkata, pihaknya tidak membantah tindakan itu.
"Cuma kami berharap ia tidak dieksploitasikan oleh pihak tertentu sehingga mendatangkan keburukan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: