Friday, June 11, 2010

Personaliti: Kecantikan seiring kecerdasan

DIA bukan sahaja cantik, tetapi berilmu. Berbual hampir dua jam dengan gadis berdarah kacukan India dan Cina, Jezamine Lim, 27, pasti ramai yang tidak menyangka wanita berkulit sawo matang ini memegang gelaran doktor pada pangkal namanya.

pix_middle
pix_topright
Mungkin dengan kejelitaannya dia lebih sesuai bergelar peragawati sepenuh masa atau sebaris selebriti lain. Dia hanya tersenyum apabila diajukan soalan demikian.

"Memang saya meminati bidang peragaan. Bayangkan pada usia 16 tahun saya sudah bergelar model serta menghiasi majalah dan iklan komersial tempatan. Namun, tidak lama kerana kerjaya ini hanya suka-suka, sekadar mengisi masa terluang," kata anak tunggal dalam keluarga ini.

Lantaran kecantikan serta ilmu dimilikinya, tidak hairan dia diumumkan pemenang Wanita Paling Diidamkan Malaysia Nuvafemme pada Mac lalu.

Pemilihan Jezamine bukan hanya kerana kecantikannya, tetapi sifatnya yang begitu tenang dan kepintarannya mengutarakan pendapat menyebabkan juri sepakat memilihnya. Keunikan ini memberikan Nuvafemme visi untuk membantu wanita mendapatkan kecantikan luaran dan dalaman.

"Anugerah ini mengiktiraf ramai wanita yang kecantikannya bermula dari dalam iaitu kebahagiaan, bertolak ansur dan cara pembawaan di rumah. Tidak dinafikan, wanita cantik terpaksa membuktikan diri mereka bukanlah wanita cantik yang lazimnya dicap sebagai tidak seiring dengan kecerdikan.

"Saya berharap kemenangan saya memecahkan definisi wanita cantik dengan menjadi cantik dan cerdik," katanya yang mengikat kontrak dua tahun dengan Nuvafemme. Selain itu wajahnya akan menghiasi papan tanda, akhbar dan majalah untuk iklan jenama terbabit.

Jika sebelum ini dia tidak pernah menggunakan sebarang produk Nuvafemme, tetapi selepas menggunakan satu kotak, banyak perbezaan dirasainya."Produk ini mengandungi pati kacang soya dan sangat bagus untuk mengembalikan keseimbangan hormon serta mengurangkan tanda penuaan," katanya.

Menurut Jezamine kecantikan bukan hanya boleh dilihat menerusi wajah, apa yang penting penampilan serta cara bercakap serta meluahkan pendapat. Walaupun dilahirkan sebagai anak tunggal, dia bukanlah seperti sesetengah wanita yang masih mengharap bantuan keluarga.

Jezamine tidak pernah mengambil kesempatan atas kemewahan diberikan keluarga kerana dia lebih suka bersederhana.

"Memang saya manja dan menjadi kesayangan keluarga, namun tidak pernah mengambil kesempatan atas kemewahan diberikan mereka. Saya berusaha sendiri jika mahukan sesuatu," katanya yang mendapat pendidikan di Kolej Manipal Melaka yang menjalankan program berkembar dalam bidang perubatan.

Melihat peribadinya yang lemah lembut, ramai tidak menyangka Jezamine meminati aktiviti lasak. Pernah mewakili negeri untuk bola tampar dan malah ketika berusia 15 tahun, pemegang tali pinggang hitam taekwondo ini mewakili Malaysia dalam pertandingan taekwondo dan pernah memenangi pingat perak dan gangsa.

"Memang saya aktif dalam bidang kokurikulum. Semua ini untuk mengisi masa lapang di rumah. Bayangkan saya anak tunggal sudah pasti rasa sunyi dan bosan itu ada, jadi saya babitkan diri dalam sukan," katanya.

Siapa sangka wanita jelita ini juga tunang kepada pelakon dan pelawak Harith Iskander, 43. Menurut Jezamine perkenalan yang terjalin sejak setahun lalu membuahkan rasa cinta dan akhirnya mereka sepakat memilih 14 Februari lalu sebagai tanda mengikat cinta.

Menariknya, perkenalan mereka terjalin menerusi laman sosial facebook apabila Harith melihat wajah Jezamine yang kali pertama menghiasi muka depan majalah FHM. Selepas itu dia cuba mencarinya menerusi facebook. Selepas berjaya menjejaki Jezamine dia terus menghantar pesanan dan e-mel kepada Jezamine.

"Pada mulanya saya langsung tidak mengetahui dia pelakon kerana saya jarang menonton televisyen. Lalu kami menjadi rakan dengan saling bertukar pesanan dan berbual menerusi laman sembang. Malah kami bertukar nombor telefon dan Harith menghantar 200 SMS hampir setiap hari. Memang saya tertunggu-tunggu pesanan ringkas daripada Harith dan setiap kali menerimanya saya berasa sangat gembira dan ceria," katanya.

Suatu hari ketika Harith mengadakan penggambaran di kawasan sekitar rumahnya, Jezamine mengambil peluang bertemu Harith buat kali pertama. Perwatakannya amat berbeza. Namun, Jezamine tidak mampu menipu dirinya yang dia mulai menyukai Harith.

Menurut Jezamine, dia tidak pernah membayangkan akan melalui saat seperti ini, bercinta kemudian bertunang dan merancang mengadakan majlis perkahwinan yang selama ini tidak pernah diimpikannya.

"Ya, perjalanan hidup saya sangat sederhana. Semuanya bagai diatur keluarga dan mengikut kehendak mereka. Apabila soal jodoh ini datang, saya terpaksa membuat pilihan sendiri dan mengetepikan keluarga. Namun, bukan bermakna saya tidak sayangkan mereka, cuma saya mahu membuat pilihan hidup sendiri," katanya yang mula mencintai agama Islam sedikit demi sedikit.

Tidak seperti gadis lain yang sering memberikan jawapan stereotaip mengenai lelaki idaman mereka, tetapi tidak Jezamine. Sejak dulu lagi dia tidak menetapkan sebarang syarat kepada lelaki untuk menawan hatinya.

Apa yang penting, lelaki itu tidak perlu kacak dan mewah. Namun, jika memiliki ciri itu, ia satu bonus.

"Saya tidak pernah menetapkan kriteria tertentu dalam memilih teman hidup. Apa yang penting lelaki itu boleh menjaga saya sehingga ke akhir hayat. Apabila saya sudah membuat pilihan, rupa bukan lagi ukuran, tetapi personaliti dirinya yang membuatkan saya memilihnya sebagai pasangan hidup," ujar Jezamine jujur.

Bakal melangsungkan perkahwinan pada Julai depan, Jezamine tidak pernah mengimpikan sebuah perkahwinan mewah atau berkonsep seperti sesetengah pasangan. Baginya majlis itu tidak penting sebaliknya bagaimana pasangan mengekalkan perhubungan dan menjadikan perkahwinan itu membahagiakan sepanjang masa adalah sangat berharga.

"Setakat ini kami tidak mempunyai masalah. Bersama Harith, saya melalui proses pembelajaran setiap hari. Kami saling memahami, memberi tunjuk ajar antara satu sama lain, bersabar dan tidak cemburu buta. Saya menerima Harith seadanya dan begitu juga dirinya. Pada saya semua ini sangat penting dalam hubungan suami isteri," katanya.

Selain aktif dalam peragaan, Jezamine dan Harith juga kini membuka restoran Samsaara di Sri Hartamas. Restoran ini menyediakan menu istimewa masakan kampung dan barat. Idea untuk membuka restoran ini datangnya daripada Jezamine sendiri yang gemar makan. Sebab itu menu istimewa yang disediakan di Samsaara adalah cita rasa Harith sendiri.

Ketika ditanya perancangannya selepas mendirikan rumah tangga, pantas Jezamine memberitahu ingin menjadi isteri yang baik serta menyambung perkhidmatan sebagai doktor di hospital kerajaan.

"Selain suami, kerjaya berada pada tempat kedua. Sebab itu saya mahu berkongsi kegembiraan dengan semua pesakit saya. Saya mahu menabur bakti kepada mereka yang memerlukan," kata Jezamine yang memilih hospital kerajaan untuk bekerja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: