|
|
DUNIA yang penuh tidak semestinya akan mengisi setiap pelosok ruang hati. Kekayaan material juga tidak selalu membawa kepada kebahagiaan yang didambakan oleh seseorang manusia.
Agaknya, perkara ini sama juga dengan agama. Dengan pemahaman dan perasaan manusia yang tidak bangkit, agama yang sepatutnya menghidupkan semangat dan roh manusia juga tidak mungkin menjadi penawar dalam mencerahkan hati.
Untuk itu, kita berasa teramat sinonim dengan nama Siddhartha. Seorang anak muda yang memulakan perjalanan spiritual sendiri untuk mengisi kekosongan jiwa. Kisah yang ditulis Hermann Hesse pada 1922 selepas beliau kembali dari India sekitar 1910-an dalam maksud lain memang diilhamkan oleh sosok yang bernama Siddhartha Gautama Buddha.
Melalui novel ini, Hesse tidak berkhutbah tentang kebaikan mana-mana agama. Sebaliknya, beliau menceritakan perkara yang merentas segala perbezaan antara manusia dan mencari kebahagiaan dalam diri yang abadi.
Ada perkara-perkara menarik yang tercermin di sebalik penghasilan karya agung klasik ini. Seperti watak yang diceritakannya, Hesse sendiri berkelana jauh ke dunia yang baginya mempunyai pertalian spiritual yang kuat berbanding bangsa kulit putih sepertinya.
Hesse, seorang Jerman, tidak hanya sampai ke India untuk belajar dan memerhatikan hal ini. Dia bahkan sampai ke Asia Tenggara, tidak ketinggalan ke Malaya (pada waktu itu) untuk menyerap amalan dan cara hidup orang di merata tempat.
Dari India, dia sampai ke Pulau Pinang, Singapura, Sumatera dan Borneo, tempat yang menurutnya didiami oleh kelompok manusia yang mempunyai pertalian dengan amalan tradisi spiritual ketuhanan.
Siddhartha, anak muda keturunan Brahmin itu mula merasa kekurangan dalam hidupnya. Kemewahan dunia menurutnya tidak banyak yang menarik perhatian. Begitu juga dengan ajaran Brahmin lama. Siddhartha percaya kepada keyakinan individu yang mampu melampaui semua perkara yang sudah terbiasa bagi dirinya ketika itu.
Kembara spiritual
Tetapi, keyakinan yang dimaksudkannya itu belum ditemukan. Dia sedar bahawa dia perlu 'keluar' dari dirinya dan menjelajah perjalanan dan pemahaman spiritual yang tidak mungkin ramai orang akan faham. Maka kisah inilah yang diceritakan semula oleh Hesse, berdasarkan pemerhatian dan pencariannya sendiri.
Jika direnung, penghasilan Siddhartha pada tahun 1920-an sebenarnya bukan sekadar suka-suka. Daripada pemerhatian yang teliti, Hesse sendiri seperti memberikan isyarat yang cukup jelas berkenaan perkembangan budaya dan tradisi masyarakat dunia waktu itu.
|
|
Barat sedang berusaha untuk memodenkan dunia mereka. Dalam maksud lain, budaya Barat menurut Hesse ketika itu sedang bersungguh-sungguh membangunkan hal-hal materialisme sebagai satu-satunya tanda pengukur kejayaan dalam hidup manusia.
Sisi agama dalam masyarakat Barat waktu itu amat diragui, termasuklah oleh kelompok masyarakatnya sendiri. Antara isu yang terselit sekali dari latar novel ini adalah penyalahgunaan agama oleh orang berpengaruh agama-agama itu sendiri.
Ia cukup berbeza dengan dunia Timur waktu itu. Bagi Hesse, Timur adalah bahagian dunia yang kontra sekali dengan persekitaran hidupnya sebagai orang Barat.
Dia melihat orang-orang Timur masih lagi tidak ghairah kepada harta-benda duniawi. Pada masa yang sama merupakan masyarakat yang secara umumnya mempunyai pegangan spiritual kuat. Menurut pengamatan Hesse melalui novel ini, orang Timur masih tetap bahagia walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Mungkin bertolak daripada pemerhatian sebeginilah yang telah membuatkan Hesse terpesona dengan spiritualiti dan memulakan sendiri perjalanannya ke Asia. Kemudiannya, melalui watak Siddhartha dia mencipta satu lagi perjalanan spiritual - mungkin perjalanan dirinya sendiri untuk dibukukan.
Atas alasan inilah novel berkenaan menjadi sangat berpengaruh. Paparan secara tidak langsung berkenaan pertembungan pandangan dan nilai-nilai hidup Barat dan Timur yang secara jelas menjadi begitu besar jurangnya.
Buku ini sepatutnya menjadi antara bahan bacaan penting buat masyarakat di Asia, sepertimana ia pernah meledak dalam kalangan khalayak di Barat dulu. Kini, masyarakat rantau ini pula yang sedang menganut fahaman modernisme keterlaluan sehingga meminggirkan sisi spiritualiti sebuah kehidupan.
Kuala Lumpur sendiri sudah melupakan kelembutan diri dari dalam melalui jalan spiritualisme. Agama juga tidak lagi berperanan menjadi pegangan yang sewajarnya, melainkan hanya menjadi alat untuk mencapai kesenangan dan menindas.
Siddhartha adalah kisah diri manusia melawan keangkuhan diri sendiri. Ia juga kisah seorang manusia yang mahu menggunakan akal dan setiap satu deria rasa untuk mencari jalan agar kehidupan manusia menjadi lebih indah. Melalui perjalanan spiritual itulah Siddhartha menemukan makna yang mungkin selama ini dicarinya; tentang hidup, dunia dan diri seorang manusia.
Kita juga tidak perlu merasa malu untuk membaca semula catatan kisah Siddhartha dengan hati dan akal yang lebih tenang dan terbuka. Semoga semua yang membaca menemui jalan ketenangan tersendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: