Wednesday, June 2, 2010

Ngeri bersalin di India

MENGIKUT perhitungan Neelam Diyal, kandungannya sudah memasuki tempoh sembilan bulan. Ini bermakna bayinya sudah cukup matang dan boleh dilahirkan pada bila-bila masa sahaja.

Namun apa yang menjadi dilemanya ialah bayi dalam perut itu seakan tidak bergerak dan Neelam tahu dia harus segera meminta nasihat doktor.

"Saya mendapat tahu daripada seorang petugas kesihatan di kampung saya bahawa jika bayi dalam kandungan tidak bergerak ia satu petanda buruk," ujar ibu berusia 30 tahun itu pemberita di sebuah perkampungan Hardoi yang terletak di utara negeri Uttar Pradesh, India.

Neelam tidak menunggu lama terus ke hospital dan benar sangkaannya, bayi dalam kandungannya tidak bergerak dan berada dalam kedudukan songsang.

Hanya pembedahan kecemasan yang boleh dilakukan untuk mengeluarkan bayi tersebut demi menyelamatkan nyawa bayi dan ibu.

Neelam bersyukur kerana dapat melahirkan seorang anak lelaki yang sihat melalui pembedahan caesarian.

India catat kematian ibu dan bayi tertinggi

Boleh dikatakan India adalah tempat paling 'ngeri' bagi mereka yang bakal bergelar ibu. Perangkaan menunjukkan satu perempat daripada jumlah kelahiran di negara tersebut mencatatkan kematian pada ibu ataupun bayi yang baru dilahirkan.

"Sejumlah 78,000 ibu meninggal dunia ketika melahirkan bayi setiap tahun dan berjuta bayi yang baru dilahirkan meninggal dalam tempoh sebulan selepas dilahirkan," ujar ketua projek Sure Start, Shilpa Nair.

Projek yang diberi nama Sure Start ini mendapat peruntukan dana oleh yayasan yang dimiliki oleh jutawan perisian Bill dan Melinda Gates. Projek ini sedang bergiat aktif dalam memberi ilmu kepada pekerja kesihatan dan penduduk kampung yang miskin di India tentang tanda-tanda bahaya bagi ibu mengandung dan bayi mereka.

Projek tersebut telah dilancarkan pada tahun 2006 di Uttar Pradesh dan Maharashtra, di barat India.

Motif utamanya ialah untuk memberikan latihan kepada pekerja kesihatan kerajaan supaya mereka boleh membantu dalam mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi ketika kelahiran bayi.

"Kami bukanlah mahu mengubah semua polisi cuma mahu bekerja dalam sistem yang sama dan menambah baik keadaan tersebut supaya langkah pencegahan boleh diambil sebelum terjadi kemudaratan kepada ibu dan bayi yang akan dilahirkan.

"Malah kami juga akan menggunakan sumber sedia ada yang ternyata lebih kos efektif," ujar Shilpa lagi.

Projek bernilai 25 dolar juta ini tertumpu pada perkampungan miskin di mana tiada laluan rasmi untuk masuk ke situ dan rumahnya pula memang daif seperti pondok beratap daun dan berlantai tanah sahaja.

Antara kandungan latihan yang diberikan kepada pekerja kesihatan tersebut ialah untuk mengenalpasti kelainan yang berlaku pada diri seseorang ibu mengandung itu.

Sebagai contoh, keluar lelehan tidak normal pada bahagian vagina, kurang pergerakan bayi dalam perut, pening kepala atau demam yang tinggi.

"Sebelum ini memang ramai yang menganggap perkara ini sebagai perkara mudah yang biasa terjadi di kalangan wanita mengandung padahal akhir kepada sikap ini ialah kematian ibu atau bayi atau boleh jadi kematian kedua-duanya," ujar Shilpa lagi.

Sebagai satu usaha permulaan, Sure Start menggalakkan wanita mengandung untuk mendapatkan kit asas tentang kelahiran bayi.

"Saya telah pun mendapatkan satu set untuk bayi saya," ujar seorang bakal ibu Krishna Manohar, 20, yang kini sedang sarat mengandungkan anak sulungnya.

Krishna yang kelihatan berseri dengan sari berwarna merah jambu tidak teragak-agak menunjukkan kepada pemberita isi kandungan kit asas tersebut.

Ia mengandungi sebuku sabun, sebilah pisau kecil yang telah disteril untuk memotong tali pusat bayi dan kain bersih untuk membalut bayi selepas kelahiran.

Skim ini juga menggalakkan wanita untuk memperuntukkan sedikit wang sebagai persediaan apabila kelahiran kelak. Walau miskin sekalipun usaha menyimpan wang tersebut perlu ada dan jika tidak cukup biasanya komuniti akan membantu.

Krishna juga telah menyimpan kira-kira 150 rupi (ASD 3) dalam dompet merahnya.

Kempen yang dianjurkan projek ini juga dibuat dalam cara yang menyeronokkan kerana bukan mudah bagi mereka untuk mengubah tanggapan dan amalan tradisi yang diwarisi oleh nenek moyang mereka.

Justeru pendekatan yang digunakan ahli Sure Start lebih berbentuk mesyuarat, permainan, sesi perbincangan dan beberapa kempen menarik.

Salah satu budaya masyarakat India tentang mengandung ialah untuk tidak menghebahkan kepada orang ramai. Ini bermakna tidak ramailah wanita mengandung yang mendapatkan khidmat pemeriksaan pra natal. Satu lagi tanggapan ialah wanita India hanya mahukan bayi lelaki berbanding wanita.

"Ada banyak juga kes kematian bayi kerana tali pusat mereka dilumur minyak tradisi yang tidak bersih dan akhirnya jangkitan kuman berlaku. Hal ini tidak patut terjadi kerana tali pusat sepatutnya dibiarkan kering sendiri dan tidak perlu dilumur minyak," ujar Shilpa.

Ada juga kes kematian di mana jangkitan berlaku apabila bayi tersebut diberi minum susu kambing atau madu berbanding susu ibu itu sendiri.

Salah satu pendekatan projek Sure Start ialah dengan mengumpulkan bakal-bakal ibu ini dalam satu bulatan dan bertukar-tukar kisah kehamilan masing-masing.

Mereka juga diberikan anak patung dan diajar cara memegang bayi dengan betul sambil mendengar nasihat pekerja kesihatan. Malah mereka turut diajar menyanyikan lagu tentang bagaimana mendapatkan anak yang sihat.

"Ramai orang miskin di India berpendapat, proses kelahiran adalah satu proses kotor jadi mereka juga memilih tempat 'kotor' seperti kandang lembu untuk melahirkan bayi mereka," ujar seorang penduduk kampung, Kalma Devi, 35.

Kalma hanya berpeluang melahirkan anak ketiga di hospital, manakala anak pertama dan keduanya dilahirkan di rumahnya sahaja.

Satu lagi projek kesedaran yang diberi nama Save the Children pula melaporkan kira-kira 74 peratus kematian ibu ketika melahirkan boleh dicegah sekiranya mereka mendapat penjagaan dan rawatan kecemasan sewaktu bersalin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: