|
|
MAYA Karin memulakan kariernya dalam bidang seni hampir 10 tahun lalu. Dia bermula dengan bidang peragaan sebelum bergelar penyanyi, pelakon dan pengacara rancangan televisyen. Kini Maya antara aktres yang menjadi perhatian ramai peminatnya.
Selain menjadikan bidang-bidang seni tersebut sebagai karier, selebriti kacukan Jerman dan Melayu itu kini melangkah lebih jauh. Dia kini berani menceburi dunia pelaburan hartanah melibatkan premis perniagaan serta kediaman sebagai untuk aset masa depan.
Menurut Maya, dia kini sibuk menguruskan lot kedai dan kediaman termasuklah sebuah rumah agam dan kondominium yang dibeli untuk disewakan sejak beberapa tahun yang lalu.
“Semua aset saya itu terletak di kawasan Damansara Perdana, Petaling Jaya dan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur,” katanya kepada Hits sewaktu ditemui selepas mengadakan kempen Mayalovenature di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Maya menyifatkan, premis kediaman dan perniagaan yang dibeli itu sedikit sebanyak memberi pulangan kepadanya.
Jelas pelakon filem Duyung dan Picau Cukur itu, dia berharap semua aset tersebut boleh menjadi salah satu sumber pendapatan pada masa depan apabila sudah tua dan tidak terbabit lagi dalam bidang seni.
“Sebagai selebriti saya harus beringat. Hari ini orang minat dengan saya. Esok lusa apabila sudah tua mungkin orang akan lupakan saya. Jadi, ini adalah salah satu persiapan untuk masa depan saya. Malah, sekarang ini pun saya sudah menikmati pulangannya.
“Setakat ini, saya menyewakan premis-presmis saya itu daripada RM2,000 sebulan sehinggalah RM10,000 sebulan. Kalau ada rezeki lebih saya akan beli lagi hartanah terutamanya premis kediaman untuk disewakan,” ujarnya.
Sungguhpun memberi sumber pendapatan baru buat Maya, namun selebriti itu tidak menafikan berdepan dengan pelbagai cabaran dalam menguruskan premis kediaman dan perniagaan yang disewakannya itu.
Antaranya dalam menambah modal bagi memperbaiki kerosakan atau menambah baik aset-aset miliknya itu selain berdepan dengan pelbagai karenah penyewa yang datangnya daripada latarbelakang berbeza.
“Dalam hal ini, saya biasanya akan melihat latarbelakang atau mengadakan sedikit temu bual terlebih dahulu sebelum membenarkan premis saya disewa. Ia bagi mengelakkan saya mendapat penyewa yang kurang bertanggungjawab.
“Misalnya, ada di kalangan penyewa yang meninggalkan kekotoran atau melakukan kerosakan selepas kontrak sewaan mereka tamat. Sebagai tuan rumah saya terpaksa mengatasi masalah tersebut,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: