Tuesday, June 22, 2010

Jet ski PDRM


UNIT jet ski bersiap sedia untuk operasi menyelamat sekiranya diperlukan di lokasi perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa di Putrajaya minggu lalu.


PARA peminat filem aksi pastinya akan terpegun apabila dihidangkan dengan adegan mengejar penjenayah di perairan membabitkan bot-bot berkuasa tinggi termasuk jet ski.

Tidak kira orang itu hero atau penjahat, sesiapa yang menunggang jet ski dengan kelajuan tinggi tentu tampak bergaya.

Ditambah pula aksi himpit-menghimpit sambil diiringi letupan dan berbalas tembakan yang sudah tentu menarik perhatian kebanyakan penggemar filem aksi.

Bagaimanapun, jet ski adalah lebih daripada dikaitkan dengan terma ‘gaya’ atau ‘aksi’.

Lazimnya, umum juga mempunyai persepsi jet ski adalah salah satu jentera sukan air, namun tanpa disedari penggunaannya sebenarnya tidak terhad kepada tujuan itu sahaja.

Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan penguat kuasa itu sedar cabaran menjaga keselamatan perairan negara yang kian mencabar.

Apa tidaknya, negara kita, Malaysia, dikelilingi lautan yang terbentang luas, antaranya Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Justeru, Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang merupakan tonggak dalam mengawal keselamatan perairan negara, dari semasa ke semasa telah menambah logistik untuk meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pasukan itu.

Salah satu unit tambahan dalam PGM yang mungkin tidak ketahui umum adalah kewujudan unit jet ski. Gaya Polis pada minggu ini ingin berkongsi mengenai kewujudan unit itu kepada pembaca.

Unit jet ski ditubuhkan pada 2008 dan ia berfungsi sebagai unit sokongan untuk memantapkan penugasan PGM dalam risikan, gerak gempur, rondaan, mengiring serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sama seperti bot-bot lain, jet ski boleh berfungsi dengan efektif di lautan, selat, tasik dan sungai.

Namun jika dibandingkan dengan bot-bot, jet ski mempunyai kelebihannya tersendiri kerana ia mudah diangkut ke mana-mana lokasi diperlukan khidmatnya kerana saiznya yang kecil dan ringan.

Dua tahun lalu, unit itu mula beroperasi dengan hanya 12 buah jet ski tetapi PGM telah membeli 22 buah lagi secara berperingkat, menjadikan jumlah keseluruhan kini 34 buah.

Kalau pada mulanya ia hanya ditempatkan di dua daripada lima wilayah kawalan PGM, kini kesemua wilayah sudah dilengkapi dengan jentera tersebut.

Jet ski jenama SEADOO RXT 215 kegunaan PGM yang dibeli pada harga RM116,000 setiap satu, bukanlah calang-calang jentera.

Menggunakan enjin 215 kuasa kuda Supercharged Intercooled Rotax 4-Tec, kelajuan maksimum jet ski ini boleh mencecah 60 knot iaitu kira-kira 110 kilometer sejam.

Kemampuan SEADOO RXT 215, antara lain, mampu digerakkan selama empat jam tanpa henti dengan tangki penuh petrol sebanyak 60 liter.

Namun satu aspek kelemahan adalah unit jet ski tidak digalakkan beroperasi pada waktu malam kerana tiada kelengkapan pelayaran dan lampu.

Bagaimanapun, seseorang pegawai berkuasa boleh membenarkan ia bergerak sekiranya ada keperluan dalam keadaan tertentu, tetapi hanya selepas mengambil kira segala faktor keselamatan.

Unit jet ski tidak mempunyai keanggotaan yang tetap, sebaliknya menggunakan khidmat anggota PGM sedia ada yang telah dilatih untuk mengendalikan jet ski.

PGM kini mempunyai dua pegawai dan 80 anggota terlatih yang sedia menerima arahan untuk bertugas sekiranya diperlukan.

Gaya Polis sempat menemu bual salah seorang daripada mereka iaitu Inspektor Khalid Mohamed Ali, 49, seorang pegawai pasukan PGM yang cukup berpengalaman.

Beliau kini memegang jawatan Penolong Pegawai Pemerintah Markas Operasi di PGM Putrajaya.

Khalid ialah salah seorang daripada kumpulan pertama seramai 22 anggota yang diserap masuk untuk menjalani latihan penunggang SEADOO RXT 215 di Pulau Pinang, dua tahun lalu.

Menurutnya, meskipun di awalnya wujud perasaan takut ketika mula berjinak dengan jet ski, namun hakikatnya ia sebenarnya bukan satu jentera yang sukar dikendalikan.

“Pada mulanya, perasaan takut timbul kerana kita takut tercampak daripada jet ski dan jatuh ke dalam air. Oleh itu semasa latihan dulu, kami disuruh untuk sengaja menjatuhkan diri untuk menghilangkan rasa takut.

“Lama-kelamaan, apabila kami sudah mahir dan biasa dengan tunggangan jet ski, kami diajar pula beberapa skil antaranya yang paling sukar ialah pusingan 360 darjah,” tambah Khalid.

Beliau memberitahu, sewaktu latihan dulu, mereka diperlukan menunggang jet ski mengelilingi seluruh Pulau Pinang dalam masa sejam setengah.

“Dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi, kami mengambil masa hanya 25 minit untuk sampai. Ini menunjukkan betapa pantas unit jet ski mampu bertindak dalam sebarang bentuk operasi atau penugasan,” katanya.

Ditanya mengenai cara unit jet ski beroperasi, katanya, ia wajib bertindak dalam satu pasangan (dua buah) dan bersama sebuah kapal induk.

“Mereka tidak akan bertindak bersendirian dan mesti bergerak dalam satu formasi yang terdiri daripada sebuah kapal induk dan sepasang jet ski,” katanya.

Menurut Khalid lagi, unit jet ski sangat membantu dalam satu-satu operasi SAR. Ini kerana setiap jet ski dilengkapi dengan satu platform penyelamat yang mampu menyelamatkan lapan nyawa sekiranya berlaku sebarang kejadian bot terbalik.

“Seramai lapan mangsa boleh berpaut pada platform yang dikenali sebagai ‘wake board’ itu pada setiap masa sementara menunggu ketibaan bantuan lain. Kalau sekadar seorang mangsa, dia boleh dinaikkan ke atas platform untuk dibawa ke tebing,” ujar beliau.

Mengenai tugasan yang disempurnakan atas bantuan unit jet ski, Khalid berkata, jet ski banyak digunakan untuk mengiringi golongan orang kenamaan (VIP), membuat pemantauan di pertandingan sukan air serta pusat peranginan.

“Saya percaya unit jet ski akan terus berjasa untuk PGM,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: