Bayangan tentang kegelapan dan perasaan takut sering ingin dijauhi. Begitu juga dengan perjalanan hidup tanpa upaya penglihatan. Pastinya ia bukan satu hajat bagi mana-mana insan pun di dunia ini. Namun, jika itulah yang telah tertulis dalam kitab takdir seseorang, maka tiada siapa yang mampu mengubahnya. Demikian nasib malang yang menimpa Stevens Chan, 47. Dahulu, sama seperti lelaki seusianya yang lain, dia meluangkan kira-kira 12 hingga 14 jam sehari untuk menguruskan perniagaan sendiri. Tidak mengenal erti letih, dia bekerja keras demi menyara hidup bersama isterinya. Pengorbanan itu termasuklah meninggalkan mereka atas urusan jelajah bisnes seluruh Malaysia hingga ke luar negara.
Dunia kesibukan Stevens itu hampir terjejas pada 2002 apabila dia diserang sakit kepala yang luar biasa secara tiba-tiba. Lantaran kesakitan yang melampau, perjalanan pagi ke firmanya yang terletak di ibu kota itu terpaksa berubah haluan ke hospital.
Dalam keadaan cemas dan penuh tanda tanya itu, Stevens mendapat khabar mengejutkan. Doktor yang melakukan pemeriksaan ke atasnya menjelaskan bahawa dia mengalami tekanan dalam mata secara tidak normal.
Dia juga menunjukkan petanda kecenderungan mendapat penyakit glaukoma yang boleh menjejaskan penglihatan seterusnya menyebabkan seseorang itu menjadi buta.
Bagaikan satu tamparan hebat, kata-kata itu bukanlah yang ingin dia dengari. Kusut dengan penjelasan berbunyi amaran itu, Stevens sudah membayangkan sesuatu yang buruk bakal berlaku dalam hidupnya.
|
|
Tekanan tinggi
Setelah ditahan beberapa hari di pusat perubatan tersebut, tiada tanda-tanda masalah yang menimpanya dapat diatasi. Rawatan yang diberikan gagal mengurangkan tekanan dalam matanya yang masih tinggi. Akhirnya, pihak hospital mengesahkan diagnosis glaukoma Stevens lalu mengesyorkan dia merujuk masalah itu ke pusat perubatan mata tempatan.
Stevens umpama masih bermimpi. Dia masih belum dapat menerima sepenuhnya keadaan yang menimpa dirinya. Dalam perasaan ragu dan cemas, dia benar-benar takut kehilangan upaya melihat sepanjang hidupnya.
“Saya rasa macam nak mati sahaja. Memang menakutkan. Segala yang sedang dilihat bakal menjadi gelap sepenuhnya secara perlahan-lahan. Keadaan itu boleh diibaratkan sama seperti detik-detik terakhir seseorang menanti dijatuhi hukuman mati.
“Sememangnya saya seorang pesakit diabetes. Namun, saya tidak menyangka ia cukup berisiko hingga menyebabkan saya mendapat penyakit glaukoma pula. Sesungguhnya hal itu suatu yang baru dan sukar buat saya dan isteri menghadapinya,” cerita Stevens yang ditemui Kosmo! di kediamannya di Seri Kembangan, Kuala Lumpur.
Tampil dalam persalinan kemeja dan ditemani isteri tercinta, Wong Kam Kiew, 43, terzahir perasaan sebak apabila melihat realiti bahawa lelaki itu terpaksa meninggalkan rutin dunia bisnes dan kerjayanya.
|
|
Bertahun-tahun berlalu, pasangan itu kini meniti episod kehidupan baru dengan keadaan Stevens yang sudah 100 peratus hilang upaya melihat.
Berkongsi pengalaman peribadinya, Stevens menyatakan bahawa glaukoma sudut tertutup yang dihidapinya biasanya menyerang salah satu mata bukan kedua-duanya sekali. Dalam kes itu, mata akan rasa sakit dan merah kadang-kadang disertai rasa sakit kepala, penglihatan kabur dan rasa mual.
Sebelum penglihatan Stevens hilang sepenuhnya pada tahun 2005, beliau telah menjalani kira-kira sembilan pembedahan mata di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH). Perjalanan bisnesnya juga lumpuh dan terpaksa menyusun semula wang simpanan untuk perbelanjaan perubatan, makanan, rumah, pengangkutan dan lain-lain lagi kepada isterinya.
“Satu perubahan ketara. Saya yang aktif dan cukup bertenaga ditakdirkan kini menghabiskan detik-detik hidup tanpa berbuat apa-apa. Pernah juga saya cuba membunuh diri kerana tidak ingin menjadi beban kepada isteri yang terpaksa mencari pendapatan melakukan kerja insurans untuk menyara keluarga.
“Kos perubatan untuk merawat glaukoma juga mahal maka dengan pendapatan yang kecil
Walaupun berasa sedih, Stevens masih memaafkan mereka yang mengambil kesempatan terhadap dirinya. Dia lebih menghargai semangat yang dibawa oleh rakan-rakan lain yang sering melawat dan memberi sokongan kewangan kepadanya.
Beban kewangan itu serba-sedikit dapat dikurangkan apabila isterinya mula menjalankan kerja menjual insurans secara separuh masa. Kehadiran isterinya yang setia itu jugalah yang membantunya makan, minum, mandi dan mengambil ubat-ubatan.
Adaptasi diri
Walaupun hilang daya penglihatan, Stevens mahu melakukan sendiri rutin hariannya di rumah. bermula dengan tunjuk ajar isterinya, dia akan berimaginasi mengenai segala objek yang ada di kediamannya seperti yang dilihat sebelum ini.
Bukan sahaja tertib di meja makan, setiap pergerakan di dalam rumah juga mempunyai kaedah tersendiri. Selain dibantu tongkatnya, teknik langkah dan pengiraan digunakan untuk memudahkannya bergerak. Lebih menarik, Stevens juga berupaya menghantar mesej ringkas dalam telefon bimbit melalui bantuan sistem audio.
Stevens memberitahu, tanpa ajaran agama, sokongan dan bimbingan isteri, memang sukar meneruskan hidup tanpa upaya penglihatan itu. Walaupun pengalaman upaya deria yang telah dicuri glaukoma itu menyeramkan pada mulanya, nyata peredaran masa selama tujuh tahun telah mendidik Stevens menilai situasi tersebut dengan fikiran terbuka dan positif.
Stevens kini bertindak sebagai Presiden Persatuan Glaukoma Malaysia. Ditubuhkan pada Mac tahun lepas, landasan usaha Steven dan beberapa orang rakannya itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang penyakit glaukoma di kalangan masyarakat negara ini.
Persatuan tersebut jelas telah mengubah hidupnya menjadi lebih bermakna kerana dapat membantu kira-kira 500 ahli persatuan di seluruh negara. Melalui persatuan itu juga beliau mengadakan projek bergerak untuk mengumpul dana dan memberi pemeriksaan percuma kepada orang ramai.
“Saya mahu menyedarkan orang ramai tentang glaukoma dan membantu orang yang senasib dengan saya agar dapat memahami dan menerima keadaan yang sedang mereka hadapi.
“Jika mereka mendapat rawatan yang sewajarnya, perhatian dan sokongan yang secukupnya serta terus tabah, mereka akan dapat mencari tujuan untuk mereka meneruskan hidup,” ulas Stevens.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: