Thursday, June 17, 2010

Eksklusif filem hilang bila ke drama?




SABAN tahun, industri filem tempatan semakin ligat dan meriah dengan pertambahan jumlah filem yang agak ketara.

Setakat ini sebanyak 5 peratus peningkatan penerbitan filem dimana 28 buah filem pada tahun 2007, 26 (2008), 27 (2009) dan 35 buah filem bagi tahun 2010.

Malah tahun ini sahaja, sebanyak 29 filem yang menyertai Festival Filem Malaysia 2010 berbanding jumlah penyertaan sebelum ini iaitu sebanyak 23 filem.

Ternyata filem-filem kita semakin hebat kualitinya. Apa lagi apabila diberi respons yang agak membanggakan daripada para penonton dan semestinya para penerbit pasti akan bersaing secara sihat untuk menambahkan lagi kualiti filem tempatan negara.

Menarik lagi bila drama-drama bersiri yang pernah ditayangkan di televisyen, disambungkan kepada filem. Ia pasti lebih mudah untuk menarik penonton ke pawagam bagi menyaksikan filem tersebut.

Apatah lagi filem-filem daripada drama bersiri seperti Dunia Baru The Movie, Nur Kasih (bakal ditayangkan) dan Kami The Movie ia diibaratkan seperti sudah naik taraf kedudukannya apabila berjaya membawa penonton di rumah keluar ke pawagam untuk menyaksikan sekual drama tersebut.

Bagaimanapun kini trend terbaru bagi para penerbit tempatan bila filem yang telah mencapai tahap pecah panggung disambungkan dengan penerbitan drama bersiri pula menjadi ikutan.

Para penerbit filem kini membuka luas strategi pemasaran mereka untuk membesarkan lagi jenama sesebuah filem kepada cabang-cabang yang berbeza seperti penghasilan sekuel filem ke drama atau teater selain menjual filem tersebut kepada pihak stesen televisyen (TV) atau membuat penjualan DVD filem tersebut.

Permintaan stesen TV yang tinggi


FILEM Cuci yang dibawa ke dalam versi televisyen tanpa membariskan pelakon asal filem ini turut mendapat sambutan menggalakkan.


Sebagai perintis yang menggubah konsep filem ke drama, penerbit dan pengarah popular, Datuk Yusof Haslam berkata, ketika menerbitkan drama pertama yang diambil daripada filem, Maria Mariana, ia adalah satu percubaannya untuk melihat sejauh mana penerimaan umum pada drama tersebut.

Bagaimanapun ia menjadi sebuah drama yang mendapat sambutan ramai sehingga membuatkan Yusof memberanikan diri dengan menghasilkan drama bersiri daripada filem Sembilu.

"Dulu, saya ingin cuba memberi kelainan kepada para penonton dan ternyata ia berjaya. Bayangkan, untuk drama Sembilu sahaja, episodnya bersambung hingga mencecah empat tahun.

"Apa yang menarik tentang peralihan daripada filem ke drama ialah, plot cerita boleh dipanjangkan daripada 1 jam setengah minit (filem) kepada 13 jam ataupun 26 jam (drama.)

"Malah pihak stesen RTM mahu produksi kami (Skop Production) untuk menyambung lagi drama Sembilu. Tapi saya membuat keputusan untuk berhenti agar penonton tidak bosan.

"Saya gembira kerana menjadi penerbit pertama yang membuat perubahan ini dan kini ia menjadi ikutan para penerbit lain," katanya.

Tambah Yusof, adaptasi filem ke drama banyak membantu produksinya dari segi keuntungan yang diterima.

Begitu juga dengan stesen-stesen TV tempatan, kenaikan rating penonton membuatkan adaptasi sebegini mudah diterima oleh pihak tersebut.

Bagaimanapun, bagi Yusof, dia akan memastikan drama yang diadaptasikan itu menggunakan khidmat pelakon asal filem agar menampakkan perbezaannya.

"Tak mungkin nilai eksklusif filem saya akan hilang kerana saya akan pastikan pelakon-pelakonnya diubah.

"Apapun, itu semua hak masing-masing kerana setiap penerbit mempunyai cara tersendiri dalam strategi perniagaan produk filem mereka," ujarnya.

Jenama


KAPOWW juga menjadi siri yang popular di kaca televisyen.


Sebagai seorang ahli perniagaan, skop untuk menjual sesebuah produk pasti akan diperluaskan lebih-lebih lagi produk itu laku seperti 'menjual pisang goreng panas'.

Begitu juga dengan pelakon dan penerbit filem Cuci The Movie, Hans Isaac, jenama filem pertamanya itu diperbesarkan kepada teater dan seterusnya kepada drama.

"Sebenarnya, bila jenama filem kita kuat, ia agak mudah untuk dikembangkan kepada beberapa pecahan seperti yang dilakukan di Hollywood.

"Bagi saya, selagi jenama itu masih 'panas' kita harus menggunakan jenama produk kita sebaik yang mungkin. Begitu juga pada filem saya, Cuci kerana jika mahu mengharapkan keuntungan di panggung, ia tidaklah mencukupi.

"Lagipun banyak stesen TV suka bila kita adaptasikan dari filem ke drama kerana tidak perlu membuat strategi perniagaan seperti promosi kerana ia sudahpun popular melalui filem.

"Menariknya lagi, Cuci juga akan mempunyai pengikutnya tersendiri. Setakat ini rating penonton drama Cuci mencecah 2 juta untuk musim pertama.

"Apapun saya tidak akan hasilkan filem Cuci 2 untuk mengekalkan nilai eksklusifnya. Dan saya akan lebih fokuskan pada drama dan teater Cuci," katanya yang akan menjual DVD teater Cuci jika tiada lagi penyambungan musim seterusnya.

Tambah Hans, pengembangan sebuah produk filem ke drama atau teater akan dipastikan dengan memiliki filem yang berkualiti agar peminat sesebuah filem tidak akan lari dan akan terus menyaksikan sekuel filem tersebut.

Ringgit dan sen

Seperti yang diketahui umum sasaran penerbit Metrowealth Production (MIG) adalah untuk menerbitkan 10 hingga 12 filem setahun bermula tahun ini.

Seperti biasa, kebanyakan filem-filemnya pasti akan meraih keuntungan yang besar apabila ia berjaya sehingga pecah panggung.


MENURUT David Teo, sesebuah filem akan hilang nilai esklusif apabila ia ditayangkan di kaca televisyen terlebih dahulu.


Tanpa membuang masa, David Teo menerbitkan pula drama yang diadaptasi daripada filem yang berjaya yang antaranya seperti Jangan Pandang Belakang I dan II, Adnan Sempit The Series dan Jangan Tegur.

Menurut David, sebagai seorang ahli perniagaan, dia juga perlu berfikir strategi untuk memantapkan perniagaannya.

"Saya fikir pada ringgit dan sen. Sekiranya filem yang dihasilkan tidak laku, agak sukar untuk dijadikan ke drama kerana tiada nilai komersial.

"Lagipun penonton suka membuat follow up apa yang akan terjadi seterusnya pada sesebuah plot penceritaan filem tersebut.

"Malah penceritaannya akan terjawab secara terperinci. Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini jangan hasilkan drama sebelum filem ditayangkan seperti yang dibuat pada filem Lagenda Budak Setan dan Kapoww kerana kita tidak tahu sejauh mana nilai komersial filem itu boleh pergi. Ini mungkin boleh menjadi kerugian.

"Perlu diingat, nilai komersial sangatlah penting. Sebab itu kebanyakan drama terbitan pihak kami yang diadaptasi daripada filem berjaya mendapat rating penonton yang tinggi," katanya.

Beritahu David lagi, nilai eksklusif sudah pun ada apabila sesebuah filem ditayangkan.

"Nilai eksklusif sesebuah filem akan hilang jika drama ditayangkan dahulu. Pada pendapat saya, kalau menonton drama sudah tidak ada perasaan minat, sudah pasti filem tidak akan ditonton," tambah David.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: