Tuesday, June 1, 2010

COPD pembunuh senyap


Dr. Aziah ahmad mahyiddin bersama Pengerusi COPD, Prof. Liam Chong Kin (kiri), Presiden Pertubuhan Torasik Malaysia, Prof. Dr. Roslina Manap (dua dari kanan), Pengurus Perhubungan Perubatan, Dr.Sivabalan Sivanesan (kanan) pada Forum dan Pelancaran COPD Assesment Test di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


APABILA menyebut mengenai penyakit paru-paru kronik (chronic obstructive pulmonary - COPD) mungkin ramai yang terpinga-pinga malah kemungkinan besar ada yang menganggap ia adalah penyakit yang baru dikenal pasti.

Realitinya COPD adalah penyakit yang kebanyakannya dialami oleh penghisap rokok tegar di seluruh dunia dengan nisbah dua daripada lima perokok akan menderita penyakit ini.

COPD juga penyebab keempat kematian, setanding dengan HIV/AIDS

Kajian yang dijalankan di rantau Asia Pasifik mendapati lelaki yang menghidap penyakit paru-paru kronik berkemungkinan mati lebih awal berbanding wanita yang menghidap penyakit sama.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr. Aziah Ahmad Mahyiddin berkata, kesedaran masyarakat kita mengenai bahaya penyakit ini masih rendah.

''Ramai menganggap penyakit ini sekadar batuk-batuk ringan sedangkan ia boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat di peringkat awal.

"Malah ramai yang membuat andaian penyakit ini adalah sesuatu yang mudah sedangkan ia boleh meragut nyawa jika lambat dikesan,'' ujarnya.

Menurut anggaran terbaru Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 210 juta orang sengsara ekoran diserang penyakit ini dan tiga juta orang mati kerana COPD.

Ia dijangka sebagai penyebab utama kepada kematian dan ketidakupayaan akibat masalah penyakit pernafasan menjelang tahun 2020.

Menurut Aziah, COPD hakikatnya sudah menjadi penyumbang kematian yang setaraf dengan HIV/AIDS, penyakit jantung dan kanser.

Menurut laporan WHO, pembunuh senyap ini telah membunuh hampir tiga juta nyawa setiap tahun.

Tegasnya, ia sejenis penyakit yang jarang didiagnos dan menggugat sistem respiratori seseorang secara perlahan-lahan tanpa disedari sehinggalah semuanya sudah terlambat.

''Ia juga menyebabkan pesakit mengalami penderitaan yang akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan, seterusnya terdedah kepada risiko maut,'' katanyai.

Terangnya, penyebab utama kepada COPD ialah rokok. Lebih 90 peratus daripada penderita penyakit ini ialah perokok atau bekas perokok.

Punca lain penyakit sekatan pulmonari kronik ini termasuklah persekitaran seperti pencemaran udara atau asap kimia dan juga faktor genetik.

''COPD ialah sejenis penyakit kronik kerana ia kekal untuk tempoh yang sangat lama dengan pelbagai simptom yang kerap. Ia juga dianggap menyekat, kerana ia memberi kesan kepada aliran udara yang melalui paru-paru.

'' Sekatan ini menyebabkan pesakit menderita kerana gangguan pernafasan termasuklah ketika melakukan kerja harian yang mudah," ujarnya.

Tegas Aziah, merokok adalah satu daripada risiko umum COPD. Tabiat tidak sihat itu menyebabkan keradangan saluran pernafasan. Ia menambahkan pengeluaran mukus yang menyebabkan halangan kronik pada saluran pernafasan," jelasnya.

Katanya lagi, ramai di kalangan orang awam masih tidak mengetahui tanda-tanda awal penyakit ini yang kebiasaannya mempamerkan simptom tidak berbahaya seperti batuk, kesukaran bernafas, keletihan dan peningkatan pengeluaran mukus.

Lebih menggerunkan, jika lima orang merokok, dua daripada mereka berpotensi besar untuk dijangkiti penyakit ini.

''Jika tidak dirawat, COPD boleh membawa kepada sesak nafas yang teruk ketika melakukan aktiviti seharian sehingga kadang kala untuk memakai baju pun tidak mampu dilakukan oleh pesakit COPD," jelas Aziah.

Beliau berkata, penghidap penyakit COPD kebiasaannya berusia 40 tahun ke atas yang akan mengalami kesukaran bernafas dan batuk berkahak.

''Jangan beranggapan jika anda sudah berhenti merokok sejak usia muda, anda terkecuali menghidap penyakit ini. Sedikit sebanyak kesan merokok pada usia muda akan memberi kesan selepas umur 40 tahun ke atas.

Namun bagi mengurangi simptom COPD dan membenarkan pesakit hidup dengan lebih berkualiti, kaedah COPD Assesment Test (CAT) boleh dilakukan.

Pihaknya menyedari tahap kesedaran mengenai COPD di kalangan rakyat Malaysia amat rendah. Oleh itu, IPR berusaha mendidik orang ramai secara aktif mengenai bahaya penyakit tersebut.

''Kami sedia membantu dan memberikan rawatan tetapi segalanya terpulang kepada tekad pesakit itu sama ada mahu meninggalkan terus tabiat merokok atau sebaliknya,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: