|
|
ZAITON Sameon merupakan penyanyi pop yang pernah berada di zaman kemuncak popularitinya dalam persada seni suara tanah air pada tahun-tahun 1980-an.
Ketika era kegemilangannya, dia telah mempopularkan banyak lagu seperti berjudul Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar yang masih diminati sehingga ke hari ini.
Sayangnya, selepas terbabit dalam kemalangan jalanraya pada 1990 yang mengorbankan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, 13, bakat dan populariti Zaiton seakan-akan semakin pudar.
Selepas kemalangan itu yang menyebabkannya koma tiga bulan, dia bukan sahaja tidak menyerlah dalam bidang nyanyian, malah tidak banyak pihak yang mengambil kisah perjalanan hidupnya.
Zaiton bagaimanapun masih mampu melahirkan rasa syukurnya apabila syarikat produksi Bruang Film Sdn. Bhd. (BFSB) bersimpati dengan memberikan sumbangan kewangan kepadanya.
Menurut penyanyi berusia 53 tahun ini, dia berasa terkejut apabila BFSB berminat untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Zaiton Ceritaku yang berkisar tentang dirinya.
"Saya memang terkejut dengan usaha untuk menerbitkan filem ini. Saya ingatkan orang sudah lupakan saya," komen Zaiton ringkas semasa ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru.
Pada pertemuan di majlis pelancaran filem itu, Zaiton berkata, dia tidak berlakon dalam Zaiton Ceritaku.
Sebaliknya, Zaiton hanya melakukan kemunculan cameo (kemunculan istimewa) selain bersetuju membenarkan kisah hidupnya diangkat ke layar filem.
Watak Zaiton akan dilakonkan oleh Mislina Mustaffa yang berkisar mengenai perjalanan hidupnya sewaktu menjadi penyanyi popular dan selepas kemalangan tersebut.
Penyanyi kontroversi yang masih menjanda itu menaruh kepercayaan terhadap kemampuan Mislina yang akan melakonkan wataknya dalam filem arahan Fauziah Nawi itu kelak.
"Saya puas hati dengan pemilihan Mislina. Pada masa sama, saya juga sudah bersedia untuk menerima maklum balas sama ada positif atau negatif daripada penonton.
"Biarpun tidak berlakon tetapi saya akan muncul sebagai cameo pada penghujung filem ini iaitu dalam satu adegan konsert dengan menyanyikan lagu Menaruh Harapan," ujarnya.
Sumbangan RM10,000 kepada Zaiton
SELAKU penerbit Zaiton Ceritaku, BFSB menerbitkan filem itu sebagai salah cara mereka mendedahkan penderitaan hidup yang pernah dilalui oleh penghibur negara itu.
Penerbit BFSB, Ainon Ariff berkata, pada masa yang sama pihaknya juga tidak lupa menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Zaiton.
"Saya amat bersimpati dan sangat kasihan dengan kesusahan hidup yang dilalui oleh Zaiton.
"Saya pernah terbaca di akhbar mengatakan dia terpaksa menyanyi untuk mencari duit dalam keadaan dirinya yang tidak terurus.
"Salah satu cara membantu Zaiton ialah dengan menerbitkan filem ini. Kami beri dia RM10,000 untuk menjual kisah suka dukanya sebagai penyanyi dalam filem ini.
"Kalau sambutan filem ini bagus, kami akan beri lagi bayaran kepada Zaiton. Idea ini pun bukan baru tetapi ia sudah tercetus sejak 2008 tetapi baru sekarang baru terlaksana," katanya.
Jelasnya, penerbitan filem Zaiton Ceritaku bukan bermaksud mengeksploitasikan kisah peribadi Zaiton tetapi ia bagi renungan para penonton supaya lebih bersimpati terhadap penyanyi itu.
Beliau yang menulis skrip Zaiton Ceritaku dengan bantuan Fauziah Nawi turut mengumpul sendiri bahan-bahannya hasil temu bualnya dengan Zaiton bagi dipaparkan menerusi filem itu.
"Antara tujuan saya menerbitkan filem ini adalah bagi memberitahu para penonton bahawa Zaiton sudah tidak boleh menyanyi seperti dulu lagi. Masyarakat kena menerimanya seadanya.
"Saya tidak akan memaparkan perkara-perkara sensitif yang pernah dilalui oleh Zaiton dalam filem ini. Semuanya adalah kisah benar yang diceritakannya kepada saya," jelasnya.
Zaiton Ceritaku yang turut menampilkan pelakon Ako Mustapha, Watie Sadali dan Harun Salim Bachik akan memulakan penggambarannya pada 15 Jun ini di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Mislina yang ditemui pada majlis tersebut berasa teruja untuk berlakon dalam filem yang mengisahkan hidup bekas penyanyi popular era 1980-an itu.
Jelas pelakon filem Talentime dan Karaoke ini, dia akan cuba memikul tanggungjawab itu selepas dipilih dalam sesi uji bakat bagi melakonkan watak Zaiton dalam filem tersebut.
"Saya teruja kerana diberi kepercayaan melakonkan watak Zaiton. Selain muka saya yang dikatakan iras Zaiton Sameon saya juga melalui uji bakat sebelum terpilih berlakon filem ini.
"Saya melalui uji bakat tiga hingga empat kali untuk melakonkan watak Zaiton dengan bermonolog. Antara pelakon yang menyertai uji bakat itu ialah Nurul (bekas isteri Ajai) dan Farawahidah.
"Saya sertai uji bakat ini pun selepas Ning Baizura cadangkan saya mencuba semasa saya berlakon dengannya dalam filem Cun arahan Osman Ali. Dia (Ning) kata muka saya macam Zaiton," katanya.
Pada majlis yang sama, Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (LCPSB) yang sebumbung dengan BFSB turut melancarkan filem terbaru mereka berjudul Laksamana Upin & Ipin.
Pengarah Urusannya, Burhanuddin Md. Radzi berkata, penerbitan filem itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan filem Geng: Pengembaraan Bermula pada tahun lalu.
Filem Geng yang mencatat kutipan tiket lebih RM6 juta menambahkan keyakinannya untuk menerbitkan Laksamana Upin & Ipin yang mencecah kos RM6 juta.
"Saya menerbitkan filem ini berdasarkan sambutan Geng di mana saya merancang untuk menayangkan Laksamana Upin & Ipin bukan sahaja di Malaysia tetapi juga luar negara.
"Indonesia adalah antara negara sasaran kami. Sambutan itu dapat dilihat berdasarkan daripada respons di laman sosial Facebook kami yang dikunjungi lebih 1.3 juta pengunjung.
"Seramai 80 peratus daripada pengunjungnya terdiri daripada masyarakat Indonesia. Ramai yang suka dengan watak Upin dan Ipin dalam Geng. Sebab itu kami yakin filem terbaru kami ini juga akan diterima," ujarnya.
Filem arahan Usamah Zaid itu kini dalam pembikinan dan dijangka akan ditayangkan pada 2012 dengan menyelitkan pelbagai cerita mitos dari Malaysia dan Indonesia.
Agak mengejutkan apabila peminjam suara watak Upin dan Ipin iaitu Nur Fathiah tidak diserapkan dalam Laksamana Upin & Ipin, sebaliknya ia digantikan dengan Asyiela Putri Azhar, 10.
Burhanuddin berkata, peranan Nur Fathiah direhatkan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada pelakon kanak-kanak perempuan itu memberi tumpuan kepada pelajarannya.
"Tahun depan Nur Fathian akan menjalani Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah jadi biarlah dia beri tumpuan pada pelajarannya. Kalau ada peluang kita akan undang dia lagi," komennya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: