Tuesday, June 8, 2010

Berakhirnya sengsara estet




JIKA Tun V.T. Sambanthan masih hidup pada hari ini, tentu sekali negarawan itu cukup bangga melihat transformasi kehidupan penduduk di Ladang Sungai Choh yang terletak di Rawang, Selangor.

Manakan tidak, kira-kira lima dekad yang lalu, warga India yang bermigrasi ke Tanah Melayu dan menetap di ladang itu hidup sengsara sebagai kuli harian untuk menyara nasib keluarga masing-masing.

Mendiang Sambanthan yang juga salah seorang tokoh kemerdekaan Malaysia itu pasti semasa hayat beliau pernah melihat sendiri betapa daifnya keadaan rumah-rumah ladang yang dihuni oleh para kuli India dan keluarga mereka.

Disediakan pemilik ladang yang tidak memikirkan soal kebajikan penuh, keadaan rumah-rumah itu tidak keterlaluan kalau dilihat lebih buruk daripada pusat pelarian imigran asing.

Rumah-rumah setingkat yang dengan binaan kayu dan papan gred rendah itu tiada bilik tidur atau pun bilik mandi. Keluasan yang terhad sekadar dibahagikan kepada ruang utama dan sebuah dapur kecil. Kalau hendak mandi pula, pekerja-pekerja ladang terpaksa berebut giliran di tandas awam yang ditempatkan jauh dari kediaman mereka itu.

Nasib malang penduduk ladang itu tidak terhenti di situ. Harapan untuk mengecap hidup lebih baik semakin tipis gara-gara tindakan tuan estet yang mengambil keputusan untuk menjual ladang mereka.

Bukan sahaja pekerja-pekerja ladang itu kehilangan punca pendapatan, malah rumah tempat mereka berteduh juga sudah bukan lagi milik mereka!

Namun hari ini segala-galanya telah berubah. Kuli-kuli harian yang pernah hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang telah pun menjadi pemilik rumah-rumah ladang tersebut.

Lebih membanggakan, kawasan Ladang Sungai Choh itu turut dinaik taraf kepada Taman Bukit Teratai. Ia juga beroperasi di bawah pengurusan Majlis daerah Hulu Selangor dan mempunyai kira-kira 300 buah keluarga.

"Pembangunan dan kemudahan baik yang dinikmati ini semuanya disebabkan National Land and Finance Cooperative Society (NLFCS). Usaha gigih koperasi kebangsaan itu berjaya membuka jalan kehidupan baru kepada masyarakat India terutama yang dibelenggu kemiskinan di estet-estet.


BALASUNDRAM bersama pekerjanya mengusahakan ladang kelapa sawit seluas 58 hektar.


"Saya dan seluruh penduduk Taman Bukit Teratai ini sememangnya antara yang bertuah. Suasana kehidupan di sini serba sempurna dan dilengkapi dengan kemudahan asas yang cukup baik," demikian kata Balasundram Kumarasamy, 47, kepada Kosmo!.

Beliau merupakan salah seorang daripada 70,000 orang ahli koperasi NLFCS yang menjana manfaat dan pendapatan sejak ditubuhkan pada 14 Mei 1960.

Selepas insiden 13 Mei 1969, ramai pemilik estet berbangsa Inggeris menjual tanah mereka kerana ingin kembali ke negara asal. Ketika itu ramai orang India menetap di dalam estet dan bekerja sebagai pekerja ladang dan penoreh getah. Oleh kerana bimbang mereka hilang mata pencarian, Sambanthan telah menubuhkan sebuah koperasi.

Beliau telah mengutip RM10 daripada setiap pekerja estet di seluruh negara dan kemudian berjaya membeli ladang-ladang itu. Dengan jumlah terkumpul sebanyak RM170,000 dan dibantu pinjaman bank, koperasi itu telah membeli aset pertama iaitu Estet Bukit Sidim di Kedah yang ketika itu bernilai RM3.3 juta. Tahun demi tahun, beberapa lagi estet berjaya dibeli dan para pekerja estet secara berperingkat telah menjadi pemilik ladang-ladang tersebut.

Ladang Sungai Choh (Taman Bukit Teratai) juga merupakan antara estet terawal yang tersenarai dalam projek pembelian estet-estet dilelong oleh orang Inggeris. Kawasan ladang seluas 1,497 hektar itu yang dihuni kira-kira 150 buah keluarga pekerja ketika itu tidak mempunyai kemudahan elektrik, air, sekolah, tempat ibadat dan sebagainya.

Skim perumahan

Katanya, setelah koperasi NLFCS membeli kawasan ladang itu pembangunan ulung yang dijalankan adalah projek perumahan di bawah skim perumahan ahli pekerja. Dengan ini, para pekerja ladang telah mendapat peluang membeli rumah sendiri sebagai ahli koperasi kebangsaan itu. Beliau juga telah membeli sebuah rumah teres melalui pinjaman perumahan yang disediakan oleh koperasi tersebut.

Semasa projek perumahan itu dibangunkan, Sambanthan selalu berkunjung ke ladang itu untuk melihat sendiri proses pembangunan yang dijalankan di situ.

Beliau juga pernah menyatakan: "Saya mahu semua rumah-rumah di estet ini mempunyai banyak jendela supaya pekerja-pekerja yang pulang ke rumah setelah penat bekerja di ladang boleh mendapat udara segar."

Kata-kata Sambanthan yang disebutkan dalam satu perjumpaan khas bersama penduduk ladang itu masih segar dalam ingatan Balasundram atau lebih mesra dengan panggilan Bala yang ketika itu masih seorang remaja.

Menurut Bala yang menitiskan air mata saat mengimbas detik tersebut, pemimpin berjiwa rakyat itu amat menitikberatkan kebajikan golongan yang dibelanya. Tidak hairanlah, satu demi satu visinya direalisasikan demi kepentingan komuniti estet. Antaranya adalah pembinaan sekolah Tamil, kuil, bekalan elektrik dan air, tadika dan kedai-kedai.

Selain mendapat pinjaman perumahan, Bala juga turut memperoleh duit pinjaman untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang pendidikan.

Kini berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah di ibu negara, Bala memberitahu, pinjaman pendidikan tanpa bunga itu memang membantunya merealisasikan cita-citanya.


SAMBIL menunjukkan buletin NLFCS, Patamahvadi memberitahu bahawa bantuan pinjaman kewangan koperasi berjaya melanjutkan pelajaran dua orang anaknya untuk bergelar doktor.


Bukan itu sahaja. Melalui kemudahan peluang perniagaan, Bala juga mendapat pajakan kelapa sawit seluas 58 hektar yang bernilai RM10,000. Dengan bantuan lapan orang pekerja asing dan seorang penyelia India tempatan, dia berjaya menjalankan perniagaan pajakan tersebut.

Keuntungan sebanyak RM3,000 yang diterima saban bulan itu pula turut digunakan untuk pelbagai aktiviti kebajikan penduduk ladang itu.

Pendidikan anak-anak

Dalam pada itu, R. Patamahvadi, 59, yang juga seorang ahli lama koperasi NLFCS itu memberitahu anak sulungnya berkhidmat sebagai doktor manakala anak lelaki bongsu pula sedang mengikuti pengajian perubatan di India. Kedua-dua impian akademik anaknya itu tercapai kerana bantuan pinjaman kewangan daripada koperasi tersebut.

"NLFCS merupakan sebuah hadiah yang paling berharga kepada ahli-ahli dan keseluruhan kaum India. Faedah yang telah dirancang oleh pihak pentabdiran untuk kebajikan ahli-ahli sesuatu yang sukar ditemui dalam koperasi yang lain.

"Manfaat yang diterima oleh ahli-ahli bukan sahaja sekadar pulangan dividen untuk saham yang dibeli, sebaliknya terdapat pula faedah dari segi perubatan, perniagaan, pendidikan, pembelian rumah dan sebagainya," kata wanita yang telah menjadi ahli NLFCS selama 18 tahun bersama suaminya.

Wanita yang lebih mesra dengan panggilan Patma itu memberitahu sebelum suaminya ditawar menjadi pegawai di ibu pejabat NLFCS di Wisma Tun Sambanthan, mereka belum ada rumah sendiri. Selama suaminya yang berkhidmat sebagai ketua kerani di estet-estet milik koperasi itu, koperasi ada menyediakan kemudahan rumah untuk mereka.

Walau bagaimanapun, apabila pasangan ini berhijrah ke bandar, mereka berjaya mendapat pinjaman perumahan untuk membeli rumah di Bandar Baru Selayang tanpa banyak masalah. Rumah yang didiami sehingga kini itu adalah sebagai lambang betapa koperasi itu telah membantu menaik taraf kehidupan mereka.


SEERANGASAMY melihat sendiri bagaimana jerih payah Sambanthan menubuhkan koperasi NLFCS apabila menjelajah ke seluruh negara bagi mengumpul dana.


Sementara itu, bekas pegawai dan ahli lama NLFCS iaitu Seerangasamy Vellappan, 72, mengatakan bahawa kejayaan dan kegemilangan NLFCS sejak lima dekad itu hasil daripada pentadbiran dan pengurusan yang efektif, efisien dan konsisten.

Barisan pemimpin yang mengurus koperasi itu dipercayai begitu mendalami misi dan tujuan sebenar penubuhannya. Setelah Tun Sambanthan meninggal dunia pada 1979, pentadbiran NLFCS diteruskan di bawah tampuk kepimpinan pengerusinya, Tan Sri Datuk Dr. K.R. Somasundram.

Di bawah naungan pengerusi baru itu, koperasi itu mengorak langkah lebih jauh dengan melabur dalam pelbagai bidang yang lain untuk menjana pendapatan lebihan yang memanfaatkan para ahli.

Menurut Seerangasamy yang sudah 34 tahun menjadi ahli NLFCS, kebijaksanaan Somasundram telah mengukuhkan kepercayaan kaum India terhadapnya. Sekitar 1985 apabila negara sedang dilanda kegawatan ekonomi, beliau tanpa gusar meneruskan kerja-kerja pembinaan bangunan Wisma Tun Sambanthan yang menelan belanja sebanyak RM35 juta. Bangunan 27 tingkat itu sempurna dibina pada tahun 1988.

Beliau juga mendapat sokongan padu daripada Ketua Pegawai Eksekutif NLFCS, Datuk B. Sahadevan yang turut bertungkus-lumus menjayakan koperasi yang pernah memenangi pelbagai anugerah daripada pihak kerajaan termasuk Anugerah Kualiti Koperasi Peringkat Nasional, Anugerah Koperasi Negeri dan Anugerah Khas Aktiviti Perladangan.

"Bagi menjaga kebajikan para ahli tumpuan NLFCS telah beralih kepada bidang pembangunan perumahan dan hartanah. Ini jelas dilihat dengan dua projek perumahan yang dijalankan di Seremban, Negeri Sembilan dan Rinching, Selangor.

"Kira-kira 1,500 orang pekerja yang bekerja di 15 buah ladang milik koperasi ini juga menerima gaji bulanan sebanyak RM350 sejak tahun 1999.

"Sementara itu, pihak koperasi menyediakan kemudahan sekolah dan tempat ibadah mengikut keperluan pekerja di ladang-ladang ini," kata Seerangasamy yang turut menjelajah bersama Sambanthan ke seluruh negara dalam misi mengumpul dana untuk koperasi itu.

Koperasi itu juga sedar tanggungjawabnya terhadap perkembangan seni dan kebudayaan India. Sebagai galakan, Auditorium Tan Sri Datuk K.R. Soma telah dibangunkan pada 1989. Ia berperanan sebagai tulang belakang bagi pelbagai agenda kesenian, kebudayaan dan keagamaan.

Apa yang pasti kegemilangan NLFCS selama lima dekad itu dipercayai satu pencapaian membanggakan yang sarat dengan nilai sentimen kaum India di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: