POINTE-NOIRE, Congo - Sekurang-kurangnya 76 orang disahkan terbunuh apabila sebuah kereta api yang sarat dengan penumpang tergelincir dari landasan di Yanga, Congo-Brazzaville, pada Isnin lalu dan disifatkan sebagai nahas kedua terburuk sejak tahun 1991.
Angka maut itu dijangka meningkat kerana gerakan untuk mencari mangsa yang hidup masih diteruskan. Pihak unit krisis Pointe-Noire menganggarkan lebih 400 orang cedera dalam kemalangan tersebut.
Timbalan ketua syarikat kereta api Chemin de fer Congo-ocean (CFCO), Raoul Essou berkata, jumlah mangsa yang maut belum dimuktamadkan sehingga kerja-kerja membersihkan semua gerabak yang tergelincir itu selesai dalam minggu ini.
Beberapa saksi berkata, mereka melihat kereta api itu bergerak terlalu laju. Ia diakui oleh ketua CFCO, Joseph Sauveur El Bez yang mendakwa nahas mungkin berpunca akibat kecuaian pemandu.
"Jumlah mangsa terbunuh amat tinggi kerana kereta api itu membawa lebih muatan penumpang. Sedangkan keadaan kereta api dan landasan berada dalam keadaan baik," katanya.
Pada September 1991, satu kemalangan terburuk dalam sejarah negara itu berlaku di landasan yang sama apabila dua buah kereta api bertembung dan mengakibatkan 100 terbunuh dan 300 yang lain cedera.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: