Friday, April 2, 2010

Tumpuan si pelumba cantik




Kalau bercakap tentang kejayaan dan kemenangan, sudah banyak yang telah dicapai wanita ini. Milka Duno boleh dianggap antara pemandu wanita terkemuka dalam generasinya kerana pencapaian bersejarahnya dalam sukan lumba kereta yang didominasi kaum lelaki.

Selepas menamatkan musim ketiga berturut-turut siri IndyCar yang menyaksikan beliau mengorak langkah dengan siri perlumbaan terbuka popular, open-wheel, pada 2007, Duno menjadi wanita pertama dalam sejarah untuk memenangi perlumbaan Ferrari Challenge di Amerika Syarikat.

Beliau juga menduduki tempat kedua keseluruhan di perlumbaan legenda 24 Hours of Daytona, iaitu catatan kedudukan tertinggi oleh seorang pelumba wanita dalam sejarah 45 tahun perlumbaan itu.

Pada perlumbaan akhir 2008 di Chicagoland Speedway, Duno muncul sebagai wanita Amerika Latin pertama dalam sejarah untuk mendahului dalam perlumbaan IndyCar.


POPULARITI Duno secara tidak langsung membuatkannya meraih perhatian dan ikutan ramai golongan muda, termasuk kanak-kanak di negara ini.


Lebih menarik, Duno juga merupakan pemandu wanita yang mendahului kebanyakan pusingan perlumbaan pada musim 2008, dan satu-satunya pemandu yang menamatkan perlumbaan di 2008 Indy 500.

Haluan hidup

Dilahirkan di Caracas, Venezuela, Duno menarik perhatian dunia kerana bakatnya sebagai pelumba dan latar belakang pendidikan beliau.

Beliau merupakan jurutera marin bertauliah dengan memegang ijazah Pembangunan Organisasi, Senibina Marin, Perniagaan Maritim dan Biologi Marin. Beliau memperoleh ketiga-tiga pentauliahan akademik itu serentak.

"Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pemandu kereta lumba. Ketika saya mula-mula berlumba dulu, saya tidak pun tahu tentang Formula 1!," katanya tersenyum.

Duno berada di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai antara penceramah dalam persidangan Wanita Berdikari sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Mengimbas lagi latar belakang pendidikannya, Duno mendapat ijazah sarjana pertama beliau dalam jurusan Pembangunan Organisasi di Venezuela.


BAWAH: Duno menggunakan tarikan sukan pemotoran sebagai peluang membuat kerja-kerja kebajikan untuk kanak-kanak.


Beliau kemudian menerima biasiswa untuk ke Sepanyol di mana beliau mendapat tiga ijazah sarjana secara serentak daripada dua universiti - Institut Maritim Sepanyol dan Technical Superior School of Naval Engineers.

"Saya mahu belajar sebanyak yang boleh di negara lain untuk muncul sebagai jurutera terbaik," kata beliau.

Pada 1998, semasa bertugas sebagai jurutera tentera laut, seorang rakan menjemput Duno untuk mengambil bahagian di klinik pemanduan dan di sinilah bermulanya pembabitan beliau dalam acara ini.

Duno berkata, ramai yang beranggapan bahawa beliau ketagih memandu laju tetapi apa yang menggamit Duno adalah aspek ketepatan dan cabaran hebat dalam sukan ini.

"Ia sukan yang mencabar. Terdapat banyak faktor yang anda perlu kuasai jika anda mahu memenangi perlumbaan," kata Duno yang boleh memandu sehingga kelajuan 300 kilometer (km) sejam, iaitu 2.5 km dalam 30 saat.

"Untuk memastikan pencapaian yang baik, anda memerlukan persediaan fizikal. Anda perlu banyak membuat senaman kardiovaskular, mempunyai tahap tumpuan yang baik, daya ketahanan dan stamina. Anda perlu berlatih dan belajar mengenai kereta yang dipandu, selain trek.

"Anda juga perlu berusaha bersama pasukan anda, jurutera, mekanik dan ramai lagi," kata beliau yang kini sudah berlumba menggunakan 14 jenis kereta lumba di kebanyakan sirkit perlumbaan terkemuka dunia.

Berlumba untuk menang

"Saya suka dengan cabaran dan perkara yang sukar. Moto saya ialah berlumba untuk menang. Sering kali, minda yang mengekang usaha kita. Ya, adakalanya ia bukan mudah, tapi bukan mustahil. Anda perlu bersiap sedia," tegas beliau.

Bapa Duno merupakan seorang pengurus jualan manakala ibunya pula seorang peguam. Anak kedua itu dibesarkan bersama dua orang lagi adik-beradiknya. Dalam keluarga, mereka diajar bahawa kunci kejayaa ialah pendidikan.


KIRI: WALAU di mana pun Duno bertanding, nasib kanak-kanak setempat menjadi agenda utamanya selain daripada azam memenangi perlumbaan.


"Tiada rahsia. Perlu ke sekolah dan dapatkan pendidikan. Pendidikan sangat berkuasa dalam menentukan nasib kita," kata beliau.

Duno yang kini menetap di Miami, Florida memperuntukkan masa luangnya untuk menyampaikan ceramah kepada kanak-kanak dari semua peringkat umur mengenai pentingnya pendidikan menerusi program Milka Way yang beliau tubuhkan enam tahun lepas.

Ia merupakan satu misi untuk mencetuskan inspirasi kanak-kanak dan belia dalam mengejar kecemerlangan akademik.

Duno membawa mesej beliau untuk membantu memotivasi penuntut bagi membantu mereka memahami mengapa pendidikan penting dan bagaimana latar belakang akademik yang utuh boleh membawa manfaat sepanjang hayat.

"Saya sangat meminati pendidikan dan saya mahu lakukan segala yang boleh untuk mencetuskan inspirasi untuk rajin belajar dalam kalangan golongan muda dan mereka yang bercita-cita tinggi," kata Duno.

Minat dan azam Duno bukan sahaja terhad kepada aktiviti atas trek. Tetapi juga di luar trek. Di sepanjang kerjaya beliau sebagai pelumba, Duno banyak kali menawarkan diri secara sukarela untuk bertemu kanak-kanak di setiap tempat acara lumba yang beliau sertai.

Beliau kini merupakan 'pemandu duta' bagi program Racing for Kid yang mengambil kesempatan daripada populariti sukan pemotoran dengan mencuri perhatian umum bagi membiayai keperluan penjagaan kesihatan bagi kanak-kanak.

Duno juga menerbitkan sebuah buku mengenai kepentingan meneruskan sesi pendidikan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, selain menjelajah ke serata tempat untuk mempromosi manfaat akademik.

Buku dwibahasa bertajuk Go Milka Go! yang menampilkan beliau dalam watak kartun telah dianugerahkan sebagai Best Young Adult Sport/Recreation Book of 2009 sempena Anugerah Tahunan Buku Latino Antarabangsa ke-11.

Duno juga sangat popular dan menjadi personalti pilihan bagi acara ceramah dan tetamu jemputan oleh kerana pencapaian akademik, sukan dan peribadi beliau yang cemerlang. Mesej karismatik beliau yang mencetuskan inspirasi banyak diperdengarkan di syarikat-syarikat dan institusi berpengaruh.

"Saya sedar yang satu hari nanti saya perlu meninggalkan perlumbaan profesional. Saya akan menumpukan pada program saya dan mungkin menulis lebih banyak buku kanak-kanak.

"Sebelum tiba detik itu, saya mahu memenangi lebih banyak perlumbaan. Ya, saya memang bercita-cita tinggi untuk melakukan apa sahaja," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: