Friday, April 9, 2010

Tangisan penyelidik cantik




PENCAPAIAN yang ditempanya hari ini bukan semudah yang disangka. Banyak perkara yang telah dilaluinya sebelum dia dapat merasai nikmat sebuah kejayaan.

Gadis kecil molek yang berasal dari Kedah ini membuka cerita bahawa dahulu dia kerap menangis dan hampir putus asa berikutan kegagalannya di makmal ketika menjalankan eksperimen.

Dunia akademik seumpama mencabarnya. Kegagalan demi kegagalan dihadapi namun pemilik nama Tan Yifen, 30, ini tidak mahu mengalah.

Bak kata pepatah Cina, lebih baik menyalakan lilin daripada menyalahkan kegelapan. Yifen tidak mudah berputus asa sebaliknya mengekalkan daya tumpuan dan semangatnya.

Mungkin pengertian falsafah itu diserap dalam jiwanya. Setelah puas mengalirkan air mata, nyata akhirnya tidak sia-sia. Kemuncak kisah kesedihan itu, Yifen dihadiahkan sebuah ganjaran besar.

Pengorbanan berbalas

Dia telah terpilih sebagai penerima Anugerah Fellowship untuk Wanita dan Sains (FWIS) UNESCO-L'Oreal 2010 di Paris.

Tidak dia sangka, pilihan fokus kajian yang berbicara secara terperinci tentang hubungan genetik dan penyakit manusia itu telah membuka pintu kebahagiaan buat dirinya.

Yifen yang kini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Biologi Molekular di Universiti Sains Malaysia mengaku amat teruja apabila mendapat khabar tentang pengiktirafan tersebut.


KETELITIAN adalah faktor yang diperlukan Yifen ketika bertugas di dalam makmal agar dia mendapat hasil yang dimahukan.


Pemilihan anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu telah melayakkannya untuk tersenarai antara 15 saintis wanita seluruh dunia bagi tahun 2010, sekali gus membawa pulang biasiswa bernilai AS$40,000 (RM129,899) bagi meneruskan penyelidikan.

"Jangan malu untuk menangis, kerana ia bagus untuk membebaskan emosi. Selepas menangis, anda akan kembali gembira dan melupakan kegagalan lalu sekali gus meneruskan usaha yang baru pula," kongsi Yifen.

Menurutnya, dia pernah menangis di depan pensyarahnya berikutan kegagalan yang dihadapi. Dia mudah dihimpit rasa kecewa apabila menemui kebuntuan ketika melakukan sesebuah eksperimen.

"Tanyalah sesiapa sahaja yang berada dalam makmal yang sama dengan saya. Mereka kerap melihat saya menangis," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Namun, antara kekuatan yang menjadi sebahagian besar dalam dirinya adalah wanita bernama Khoo Lai Lee. Ibu Yifen itu hanya seorang kerani hospital, namun Yifen amat berbangga kerana idola kesayangannya itulah yang menyedarkan dirinya tentang peri penting menimba ilmu.

"Dia tidak pernah jemu berkongsi maklumat atau ilmu pada saya selain memberikan kata-kata semangat. Katanya, bahasa dan sains amat penting dalam kehidupan," imbas Yifen tentang kata-kata keramat ibunya.

Penglibatan Yifen dalam bidang sains diharap akan mencetus minat dalam kalangan anak muda terhadap yang kini lebih berminat berkecimpung dalam dunia hiburan.


YIFEN meraikan kejayaan bersama rakan-rakan makmalnya.


Inspirasi sains

Bagi anak-anak muda, subjek sains mungkin membosankan. Namun berbeza bagi Yifen yang mencintai subjek itu sejak kecil.

Yifen mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dalam Jurusan Biologi di Universiti Malaya (UM) selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sebagaimana dia menggemari muzik dan tarian, Yifen berpendapat bahawa sains perlu diterokai dengan penuh minat kerana pelbagai misteri kehidupan yang sekian lama menjadi rahsia dapat ditemukan jawapannya.

Bagi merungkai misteri itu, seseorang saintis itu perlu ada minat mendalam, ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Kejayaan Yifen menunjukkan wanita juga boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan golongan lelaki, malah boleh menjadi lebih baik lagi.

Pemilihan Yifen membuktikan wanita Malaysia mempunyai potensi dalam ilmu sains meskipun kerjaya itu didominasi lelaki.

Bercerita mengenai penyelidikannya, dia menjalankan kajian mengenai fungsi small noncoding RNAs (sRNAs) yang wujud ketika pembentukan biofilm iaitu sejenis lapisan nipis yang dibentuk oleh jutaan bakteria pada fasa pseudomonas aeruginosa.

"Apabila anda rendam baju selama seminggu, kita akan mendapati terhasilnya satu lapisan pada permukaan air dengan bau yang kurang menyenangkan. Lapisan tersebut terjadi apabila benda asing menembusinya.


Tan Yifen (dua dari kiri) diapit Naib Presiden L'Oreal, Beatrice Dautresme dan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, Walter Erdelen ketika menerima Anugerah Fellowship di Paris.


"Berdasarkan penemuan itulah, saya mengkaji sama ada ia dapat diaplikasikan pada tubuh manusia atau tidak," terangnya.

Jelas penyelidik jelita tersebut, berpandukan tindak balas itulah, dia terpanggil untuk mencari alternatif mengenai kaedah menembusi lapisan biofilm.

"Jika ia (lapisan) tidak ditembusi, bagaimanakah badan manusia dapat menerima ubat atau antibiotik bagi membolehkan rawatan yang dijalankan berkesan?

"Kajian ini penting, supaya pada masa akan datang, kita boleh memastikan jenis ubat yang bersesuaian dengan sistem imuniti," jelasnya yang bakal menyambung penyelidikan di Jabatan Mikrobiologi dan Genetik Molekular di Harvard Medical School, Boston, Amerika Syarikat September ini.

"Jangan halang diri atau membiarkan sesuatu merantai anda daripada melakukan perkara yang diminati," pesan Yifen yang ditujukan khusus kepada golongan wanita yang berminat menceburkan diri dalam bidang sains.

Yifen juga mengingatkan agar seseorang tidak sesekali membiarkan orang lain mempengaruhi dirinya.

"Jangan tunduk pada mereka yang mengatakan bahawa anda tidak boleh berjaya hanya kerana anda seorang wanita.

" Sains memang sukar, sama juga seperti pekerjaan lain dalam dunia ini. Persiapkan diri dengan kesabaran, ketabahan dan minat. Anda akan lihat sisi keseronokannya dan berjaya suatu hari nanti," katanya yakin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: