![]() |
| Sayed Masri Sayed Ibrahim menerima sumbangan daripada Harujan Sulaiman di surau sekolah itu di Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini. |
KUALA TERENGGANU 4 April - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor menerima sumbangan wang bernilai RM10,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) Terengganu, bagi membantu membiayai penambahbaikan pembinaan surau sekolah itu di sini baru-baru ini.
Majlis penyerahan cek sumbangan diberikan oleh Pegawai Eksekutif MAIDAM, Harujan Sulaiman kepada Pengetua sekolah, Sayed Masri Sayed Ibrahim di surau sekolah itu.
Sayed Masri berkata, sumbangan tersebut amat bermakna kepada sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) kerana selama ini, surau dijadikan tempat utama bagi menjalankan program sekolah seperti kem akademik, kem motivasi, program kerohanian dan sahsiah pelajar kerana ketiadaan dewan.
"Pihak PIBG juga sedang mengumpul dana bagi membesarkan surau sekolah dan kepada individu, pihak swasta atau badan korporat yang ingin memberi sumbangan bolehlah menghubungi pihak sekolah," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu, sekolah itu turut mengadakan program perjumpaan ibu bapa pelajar elit Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.
Program itu dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Zaidi Muda dan dihadiri oleh seramai 80 orang penjaga serta ibu bapa pelajar cemerlang berkenaan.
Ibu bapa pelajar turut diberikan motivasi berkaitan kepentingan menjadi ibu bapa yang cemerlang oleh kaunselor sekolah, Yusof zaki Mohamad.
Beliau menekankan kepentingan menjadi ibu bapa cemerlang bagi mendidik anak-anak yang berpengetahuan tinggi dan cara mendidik yang sesuai dengan keupayaan mereka.
Antara yang disentuh ialah menjadi pendengar yang cekap, menegur secara berhemah, mendidik dengan kesabaran, amal ibadah, berfikiran positif dan banyak lagi.
Pihak sekolah turut mengharapkan ibu bapa yang hadir menyedari potensi anak-anak mereka sekiranya mahu menjadikan anak mereka sebagai insan yang cemerlang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: