Tuesday, April 6, 2010

Spa Tanamera kekal tradisi Melayu


Ruang menunggu yang lapang dan kemas.


KEHIDUPAN di kota dengan seribu macam masalah dan beban membuatkan wanita bekerjaya sering berhadapan dengan tekanan atau stres.

Salah satu cara untuk melegakan stres ialah dengan mendapatkan kelegaan rawatan di spa.

Dalam satu kajian yang dipetik menunjukkan sebanyak 25 peratus pengunjung melawat spa sekali dalam sebulan manakala 13 peratus dua kali sebulan dan 13 peratus mengunjungi spa sekurang-kurangnya sekali dalam jangka masa setahun.

Ini membuktikan bahawa budaya berkunjung ke spa di kalangan rakyat Malaysia semakin menjadi pilihan terutama untuk merawat masalah berkaitan stres dan ketegangan.

Pemilik Spa Tanamera, Fazlisa Mohd Fazillah berkata, spa berupaya menyembuhkan penyakit dalaman, menyegarkan tubuh badan selain memberi tenaga dan oksigen pada tubuh badan sekali gus meningkatkan daya tahan daripada penyakit.

Daripada aspek kecantikan pula ia berupaya menghaluskan kulit, meningkatkan proses metabolisme, mengurangkan ketegangan dan menenangkan fikiran.

"Penyakit yang semakin meningkat dalam masyarakat moden hari ini terutama wanita ialah stres.

"Jadi rawatan spa adalah salah satu ubat untuk stres di mana ia memberikan kelegaan dari tekanan di samping menyegarkan tubuh dari kelesuan akibat bebanan kerja dan tanggung jawab seharian," jelasnya ketika berucap pada majlis pelancaran Spa Tanamera miliknya yang terletak di Dataran Pelangi, Bandar Utama, Kuala Lumpur.

Menurut Fazlisa, spanya menawarkan gabungan beberapa jenis kaedah perawatan termasuk terapi gelombang air, stim, terapi urutan, refleksologi, ramuan tumbuhan atau jamu, terapi zat makanan, meditasi dan rawatan mengikut pendekatan agama.

Bergantung kepada keperluan dan tubuh pengunjung individu, semua kaedah rawatan di spa dapat memberikan kesan positif jika dilakukan dengan cara yang betul.

Seperkara istimewa tentang Spa Tanamera ini ialah ia menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan spa yang terdapat di hotel namun dengan harga perkhidmatan yang jauh lebih berpatutan.

Selain itu ia juga memainkan peranan dalam memelihara khazanah warisan urutan tradisional Melayu yang kini terpinggir.

"Kami juga ingin memperkenalkan barisan ahli terapi yang berdedikasi dan berpengalaman," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: