Saturday, April 10, 2010

Siapa Juara Bintang Ai-Minnal esok?


10 finalis yang akan mempamerkan bakat untuk meraih Juara bintang Ai-minnal di Auditorium Perdana Angkasapuri, kuala lumpur, esok.


DATUK David Arumugam, Francesca Peter, Jaclyn Victor, Winnie K dan Vince adalah antara artis bukan Melayu yang cukup popular menyanyi lagu-lagu Melayu. Ternyata penggemar lagu Melayu bukan dari kalangan orang Melayu sahaja tetapi digemari oleh pelbagai kaum di negara ini.

Selaras dengan konsep 1Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) buat pertama kalinya menganjurkan pertandingan nyanyian lagu Melayu khas untuk bukan Melayu iaitu pertandingan Bintang Ai-Minnal.

Telah memulakan uji bakat pada bulan November tahun lepas, enam orang peserta dari kaum Cina dan empat orang peserta India akan berentap di peringkat akhir yang akan berlangsung esok (11 April) pada pukul 8.30 malam di Auditorium Perdana Angkasapuri.

10 finalis yang dipilih ialah Angela Chua An Qi, Iris Perine Vethamoni Asirvatham, Jess Lee Kar Wei, Marian Shanti Danaraj Jackson, Bonny Lin Vun Seng, Patmasri Dewi Jothiswaran, Emily Tan Yen Ming, Philip Martin Devidass, Vincent Khor Wei Shin, dan Lee Cheng Wen.

Disiarkan secara langsung menerusi TV2, Radio Malaysia Ai FM dan Radio Malaysia Minnal FM, pertandingan Bintang Ai-Minnal akan menyaksikan peserta akhir ini mengalunkan lagu-lagu Melayu.

Ujar penerbit pertandingan Bintang Ai-Minnal, Mohd. Yusni Mohamad Ali, setiap peserta akan mendendangkan dua buah lagu ciptaan tempatan dalam bahasa Melayu secara medley dan pastinya ia bakal menguji kemantapan vokal setiap peserta.

"Sambutan pertandingan ini amat menggalakkan kerana walaupun ini merupakan pertama kali dan ujibakat hanya dibuka di lima zon, hampir 1,000 orang yang hadir mencuba nasib," ujarnya ketika ditemui di Angkasapuri baru-baru ini.

Dinilai oleh juri-juri professional, johan akan menerima wang tunai berjumlah RM20,000, naib johan RM15,000 dan tempat ketiga pula akan menerima RM10,000.

Tujuh hadiah saguhati sebanyak RM2,000 seorang, trofi dan sijil penyertaan akan diberikan kepada peserta sebanyak.

Anugerah Bintang Popular yang berdasarkan undian SMS tertinggi pula akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Untuk memilih bintang popular, taip aiminnal diikuti dengan nama peserta pilihan mereka.

Antara artis-artis popular yang akan turut menggegarkan pentas akhir nanti ialah David Arumugam, Alyah, Sarah Raisudin, Vince dan Adam.

Ujar salah seorang peserta akhir, Emily Tan, 22, Datuk Siti Nurhaliza merupakan pencetus semangat untuknya meminati lagu Melayu.

"Sejak pertama kali mendengar nyanyian Siti, saya jatuh cinta dengan lagu Melayu dan kemudian sering mencuba nasib dalam pertandingan menyanyi lagu-lagu Melayu," terang Emily.

Bagi Patmasri Dewi Jothiswaran, 20, yang berasal dari Sarawak berkata; lagu Melayu tidak asing baginya kerana ibu Dewi berketurunan Jawa dan dia dibesarkan dengan cara hidup masyarakat Melayu.

Bonny Lin pula tidak asing dengan pertandingan nyanyian lagu Melayu kerana sebelum ini dia pernah sampai ke peringkat suku akhir Bintang RTM 2009.

"Usaha RTM memberi peluang kepada kaum lain menyanyikan lagu Melayu amat baik kerana ia memberi platform untuk kami sama menyerlah dengan penyanyi-penyanyi lain," ujar Bonny.

Bagi pemandu teksi berasal dari Shah Alam, Phillip Martin, 28, pengalaman menyanyi pelbagai bahasa di Cowboy Station Club selama tiga tahun membuatkan dia jatuh cinta dengan lagu Melayu.

Meminati kumpulan Alleycats, Ujar Phillip, bapanya pernah menghadiahkan dia kaset kumpulan itu sewaktu dia berusia 8 tahun dan dia sering menyanyi persis kumpulan itu di setiap pertandingan nyanyian yang diadakan di sekolahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: