Tuesday, April 6, 2010

Rumah jadi asrama

ANGGOTA penguat kuasa MPSJ memeriksa premis kediaman yang dijadikan  rumah sewa di SS15, Subang Jaya.
ANGGOTA penguat kuasa MPSJ memeriksa premis kediaman yang dijadikan rumah sewa di SS15, Subang Jaya.
MPSJ kesan pemilik ubah suai kediaman tanpa kebenaran

SUBANG JAYA: Beberapa pemilik rumah di sekitar kawasan ini meraih keuntungan berlipat kali ganda kerana menyalahgunakan premis kediaman mereka dengan menjadikannya sebagai asrama kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari dalam dan luar negara.

Pemilik rumah teres dua tingkat yang mempunyai empat bilik mengubah suai rumah itu menjadi lapan bilik tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Setiap rumah pula diduduki sehingga 14 orang dengan setiap penyewa dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 seorang.
Difahamkan setiap pemilik rumah yang melakukan ubah suai premis tanpa kebenaran mendapat pendapatan bulanan hingga RM4,000 berbanding bayaran kepada bank dalam lingkungan RM800.

Penghuni yang kebanyakannya pelajar IPT pula bercampur lelaki dan perempuan dalam sebuah rumah. Ada penghuni yang tinggal sebumbung itu dikesan beragama Islam.
Ahli Majlis MPSJ, Theresa Ratnam Thong, berkata beberapa pemilik kediaman di tiga kawasan di SS15, PJS 7 dan Taman Batu 3 di kesan mengubah suai rumah tanpa kebenaran yang membahayakan penghuninya.

Katanya, dalam Operasi Pemeriksaan Rumah Kediaman MPSJ, 1 April lalu pihaknya mengesan 35 premis yang diubah suai sebagai asrama.
“Operasi atas aduan orang ramai itu bertujuan mengambil tindakan ke atas kediaman yang dijadikan asrama. Daripada jumlah itu, 15 premis dikenakan notis pemberitahuan bangunan, tiga premis tidak melakukan kesalahan dan premis selebihnya tidak boleh dimasuki atau berkunci.

“Tindakan lanjut akan diambil kepada pemilik rumah yang ingkar termasuk tindakan merobohkan bangunan yang mendirikan pembahagi dinding (bilik) tanpa kebenaran,” katanya.

Theresa berkata, keadaan rumah juga berbahaya kerana pendawaian elektrik yang diragui tahap keselamatan dan masalah lain jika berlaku kebakaran.

“Kebersihan rumah juga diragui kerana hanya ada dua bilik air yang perlu dikongsi semua penghuninya. Masalah lain juga timbul termasuk penghuni asrama meletakkan kenderaan sesuka hati di kawasan perumahan terbabit, menimbulkan bunyi bising hingga mengganggu ketenteraman jiran serta masalah sampah.

“Seramai enam orang dibenarkan menghuni pangsapuri kos rendah, manakala bagi rumah teres dan lain-lain adalah mengikut keluasan kediaman terbabit,” katanya.

Katanya, tindakan ke atas pemilik premis itu boleh diambil mengikut Seksyen 70 Akta 133 (12) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, jika mereka melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran MPSJ dan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar.

“Bagi kesalahan pengubahsuaian pula denda maksimum RM50,000 boleh dikenakan kepada pemilik premis dan denda maksimum RM25,000 bagi kesalahan mengubahsuai dan salah guna bangunan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: