Monday, April 12, 2010

Ribuan rakyat Poland beri penghormatan terakhir


SEJUMLAH orang berhimpun di Istana Presiden di Warsaw semalam untuk memberi penghormatan terhadap Kaczynski dan isterinya yang mati dalam nahas pesawat di Rusia kelmarin.


WARSAW - Beribu-ribu orang bertafakur di jalan raya di sini semalam bagi memperingati kematian Presiden Poland, Lech Kaczynski (gambar) dan isterinya dalam nahas pesawat penumpang di Rusia.

Pesawat yang membawa jenazah Kaczynski dan isterinya, Maria Kaczynska berlepas dari sebuah lapangan terbang di Smolensk, Rusia untuk dibawa ke istana presiden selepas tiba di Warsaw, Poland semalam.

Tarikh pengebumian masih belum ditetapkan.

Pemangku Presiden yang juga Speaker Parlimen, Bronislaw Komorowski memberitahu, pilihan raya awal akan diadakan bagi mencari pengganti Kaczynski.

Di Moscow, Kementerian Pengangkutan Rusia menyatakan kumpulan penyiasat Rusia dan Poland telah memulakan siasatan ke atas kotak hitam pesawat Soviet Tu-154 yang membawa Presiden berkenaan.

Pesawat yang membawa 96 orang itu terhempas semasa cuba mendarat di Smolensk dalam cuaca berkabus tebal kelmarin.

Lokasi kapal terbang itu yang terhempas dalam hutan dekat sebuah lapangan terbang di Smolensk terkenal sebagai tanah perkuburan untuk golongan elit Poland sejak sekian lama.

Smolensk yang terletak kurang 24 kilometer dari Hutan Katyn pernah menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai 22,000 anggota tentera dan golongan elit Poland oleh pasukan polis rahsia Soviet di bawah pemimpin komunis Rusia, Josef Stalin pada tahun 1940.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: