JIKA ada orang luar yang bertanya mengenai filem tempatan berbahasa Cina yang anda sukai, rasanya apakah jawapan anda? Ironinya, penulis percaya, ramai yang mempunyai jawapan yang sama - tidak tahu atau tidak ada.
Senario itu terjadi atas gabungan pelbagai faktor sehingga menyebabkan industri perfileman Cina tempatan bagaikan tidak wujud sama sekali. Kekurangan bilangan pengarah, produk, penajaan, pelaburan serta sokongan, arena seni itu dilihat seperti tiada harapan untuk bangkit.
Kira sahaja dalam masa sedekad ini, berapa banyak filem Cina tempatan komersial atau indie yang dihasilkan dan berapa yang kita tontoni atau ketahui. Bukan sukar untuk membuat perhitungan kerana jumlahnya tidak banyak. Namun, tidak ada pihak tertentu yang boleh disalahkan atas kekurangan itu.
Ini kerana pergerakan dan perkembangan industri perfileman bergerak sejajar antara pembikin filem dan penonton. Jika tidak ada penghasilan karya yang meyakinkan, penonton tidak akan membuang duit serta menghabiskan masa di dalam pawagam.
Sama juga, jika penonton mempunyai pemikiran skeptikal terhadap filem tempatan (yang selalunya berlaku), pembikin filem tidak mungkin akan berupaya untuk meneruskan perjuangan tanpa sokongan pelaburan terutama selepas melihat catatan kutipan tiket pawagam.
Peluang harus diberi kerana masalah itu membuatkan ramai orang berundur apabila ada pengarah yang mahu menghasilkan filem menggunakan bahasa Cina. Namun, bukan semua pihak yang mahukan sisa-sisa perfileman Cina tempatan yang masih ada itu daripada pupus selama-lamanya.
Astro Shaw, subsidari stesen televisyen berbayar, Astro mengorak langkah yang tidak mahu dimulakan oleh pembikin filem lain dengan menerbitkan sebuah naskhah Cina bercorak komedi dan keluarga, Woohoo! sempena sambutan Tahun Baru Cina lalu.
Idea tersebut lahir dua tahun lalu kerana pihak Astro Shaw percaya negara kita juga mempunyai bakat tersendiri. Cuma ketika itu tidak ada isi kandungan yang cukup berkualiti untuk melahirkan sebuah karya bertaraf filem.
"Berdasarkan kejayaan program countdown Tahun Baru Cina terbitan Astro, kami mula sedar bahawa penonton juga meminati produksi tempatan yang dekat dengan hati mereka. Jadi kami fikir ini adalah masa yang sesuai untuk menerbitkan filem Cina serta memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan.
|
|
"Selain daripada krew tempatan, kami juga menggunakan pelakon tempatan dari Astro serta stesen radio MyFM. Percaya atau tidak, hampir 90 peratus pelakon yang terlibat dalam filem ini sebenarnya tidak pernah berlakon," kata Pengarah dan Penerbit Woohoo!, Chui Keng Guan ketika ditemui di Astro, baru-baru ini.
Menelan kos RM2 juta, Woohoo! boleh diklasifikasikan sebagai filem Cina komersial pertama negara dan berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM4.1 juta. Satu angka yang tidak pernah dijangka oleh mana-mana pihak termasuk pihak penerbit.
Pecah panggung
Filem yang ditayangkan bermula 14 Januari selama sembilan minggu itu berjaya kerana mampu menarik audiens daripada pelbagai peringkat umur dan mereka yang telah lama tidak bertapak di pawagam untuk bersama membanjiri kerusi layar perak.
"Kami tidak pernah terfikir Woohoo! akan mencatat kejayaan sebegitu. Malah, tidak ada orang yang fikir kami akan mencecah angka RM1 juta. Para pengedar hanya mengharapkan kutipan RM500,000 dan menyatakan jika ia mencecah RM1 juta, maka ia satu keajaiban. Rasanya Woohoo! berjaya kerana menonjolkan inti pati tempatan," ujar Keng Guan, 38.
Pihak Astro Shaw sedar mengapa ramai yang menyatakan RM1 juta itu sukar untuk dicapai. Berdasarkan sejarah filem-filem Cina tempatan yang lain, karya Seed Of Darkness (2006) arahan Michael Chuah merupakan juara dengan kutipan tidak melebihi RM1 juta.
Filem Kinta (2008) arahan CL Hor pula tidak berupaya mencapai kutipan RM500,000. Purata filem-filem Cina yang lain pula hanya berada di paras RM200,000.
"Bagi saya, tindakan Astro Shaw merupakan satu platform yang boleh dijadikan contoh kepada pihak lain untuk memulakan trend pembikinan filem Bahasa Cina. Respons yang diterima membuktikan satu permulaan yang bagus untuk meyakinkan pembikin lain bahawa filem Cina tempatan sebenarnya mempunyai harapan.
"Namun, saya tahu dengan hanya sebuah filem sahaja ia tidak boleh mengubah industri sekelip mata. Proses ini perlu dilakukan berterusan dan pada permulaannya ia agak sukar," jelasnya yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam industri.
Hambatan yang dihadapi juga termasuk kesukaran untuk mendapat slot tayangan di pawagam sehingga menjejaskan jumlah kutipan. Filem Woohoo! contohnya hanya ditayangkan lebih 10 pawagam pada permulaannya dan kemudian meningkat kepada 31 pawagam.
Bagaimanapun, karya itu tidak berjaya menembusi pasaran Malaysia Timursehingga mendapat permintaan ramai menerusi laman sosial, Facebook. Pada minggu kedua tayangan, jumlah pawagam yang menyokong meningkat kepada 38 buah.
"Kami tidak menyalahkan pihak pawagam kerana melihat kutipan filem Cina tempatan sebelum ini, mereka tidak mahu menanggung risiko. Jadi seperti filem lain, kami hanya menandatangani kontrak tayangan selama dua minggu.
"Sesebuah filem itu hanya akan diteruskan tayangan berdasarkan sambutannya dan kontrak itu akan disain setiap minggu pada hari Isnin. Kami amat gementar pada setiap Isnin tetapi berjaya menandatangani sebanyak lapan kali lagi," ujarnya yang merupakan pelajar di Akademi Filem Beijing, China.
Jelas Keng Guan lagi, filem mereka itu tidak berjaya mendapat slot pada Tahun Baru Cina kerana telah dikosongkan untuk filem luar. Maka, Woohoo! terpaksa ditayang sebulan sebelum perayaan tersebut. Namun, mereka bernasib baik kerana mampu bertahan sehingga selepas Tahun Baru Cina.
Menariknya, Woohoo! berjaya mengatasi filem Tahun Baru Cina dari Hong Kong, All's Well, Ends Well 2010 dan 14 Blades dari segi kutipan tempatan. Malah keuntungan yang diperolehi hampir sama dengan filem Spy Next Door lakonan Jackie Chan yang ditayangkan pada masa sama.
"Perlu diingatkan, filem Spy Next Door ditayangkan di lebih 60 pawagam dan disasarkan kepada audiens umum. Namun, ia hanya berjaya mengutip kira-kira RM4.3 juta. Itu juga antara masalahnya kerana jumlah pawagam yang ditawarkan untuk filem tempatan terhad dan dewan yang diberikan pula kecil. Kami percaya jika Woohoo! diberi dewan tayangan lebih besar, kutipannya akan melebihi RM4.1 juta."
Ujian positif
Menyifatkan Woohoo! sebagai satu ujian yang berjaya, peruntukan kerajaan juga memainkan peranan prima bagi memupuk pengarah baru untuk memberanikan diri menghasilkan filem. Skrip yang bagus juga menjadi ucaptama dalam menyakinkan pelabur.
Selain daripada itu, anugerah serta pengiktirafan (terutama dari negara luar) juga membuka minda pelabur serta penonton untuk menyokong produk pengarah tersebut. Cuma, ia sedikit sebanyak 'menolak' pengarah kepada pembikinan karya artistik berbanding komersial.
"Arena perfileman indie sebenarnya satu perkara yang positif terutama bagi pendatang baru. Dengan penerimaan anugerah, lebih ramai orang akan mengenali mereka yang memudahkan pinjaman atau penajaan serta pelaburan.
"Orang kreatif seperti pembikin filem indie juga penting dalam memperkenalkan industri kita kepada dunia luar. Tapi mereka tidak boleh terus kekal lama dalam dunia indie yang tidak begitu diterima penonton secara umum," tambahnya.
Woohoo! dirakamkan di Kampung Berserah, Kuantan selama 30 hari pada September lalu dengan penggunaan 70 krew dan 40 pelakon. Menggunakan masa 10 bulan untuk disiapkan, proses pasca produksi pula disempurnakan di studio Gaya, Shah Alam berbanding pembikin lain yang lebih menggemari studio di Thailand.
"Walaupun filem ini melibatkan bajet rendah, tapi kami mementingkan kualitinya. Kami melawat Henan, China hanya untuk menjalankan penyelidikan mengenai tarian harimau yang sudah berusia 200 tahun. Saya juga menunggu awan untuk bergerak pada posisi yang dikehendaki dalam satu babak selama setengah jam.
"Benda-benda kecil itu mampu memberikan perbezaan kepada hasilnya. Terbukti kesungguhan saya berbaloi kerana para pengedar sedang berbincang untuk mengedarkan filem ini ke negara luar. Malah cakera padat cetak rompak filem ini sudah dijual di New York dan merupakan jualan hangat di Guangzhou, China," ujarnya mengenai filem yang sudah dijual dalam bentuk cakera padat digital.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: