Monday, April 5, 2010

Penyelesaian wayarles untuk industri


John Forgasi bersama produk terbaru syarikatnya


MEMPERLUASKAN perkhidmatan tanpa wayar atau wayarles bagi keperluan pelbagai industri di negara ini, syarikat inovasi terkenal, Motorola Enterprise Mobility Solutions baru-baru ini telah tampil dengan portfolio penyelesaian yang komprehensif.

Pembangunan produk yang dikenali sebagai Penyelesaian Rangkaian Wayarles Motorola (WNS) itu bermatlamat memacu inovasi agar dapat memenuhi keperluan pelanggan.

Ini kerana, ia menggabungkan pelbagai aplikasi teknologi merangkumi wayarles jalur lebar, wayarles LAN (WLAN), wayarles sekuriti dan rangkaian komunikasi.

Perluasannya juga melibatkan penyelesaian fleksibel dengan tawaran kecemerlangan sambungan tanpa batasan.

Menurut Pengarah Jualan Penyelesaian Rangkaian Wayarles Motorola Asia Pasifik, John Fogarasi, sebagai peneraju perkhidmatan jalur lebar wayarles, pihaknya sentiasa berusaha membantu perkembangan pelbagai industri.

''Motorola telah terlibat dalam inovasi wayarles selama lebih 80 tahun menerusi kerjasama dengan ramai pelanggan dari banyak sektor.

''Antara industri tersebut adalah seperti pendidikan, sumber natural, utiliti, majlis perbandaran tempatan, pengangkutan, kerajaan dan juga kesihatan,'' katanya.

Banyak pelaburan telah dikeluarkan sebagai strategi merancang pelbagai pembangunan dalam teknologi berkenaan.

Menyokong tujuan itu, Motorola turut bekerjasama dengan rakan niaga dan para pelanggannya untuk manfaat memperkembangkan komunikasi wayarles berkelajuan tinggi.

Kesemua pembangunan itu bermatlamat menawarkan organisasi-organisasi terlibat dengan perkhidmatan yang terbaik, kompetitif dan fleksibel.

''Kami menyokong usaha kerajaan Malaysia menyasarkan inisiatif pencapaian operasi jalur lebar negara sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun 2010 menerusi Pelan Jalur Lebar Nasional.

''Adalah diharapkan menerusi pengenalan teknologi berpotensi tinggi ini, ia akan dapat memperkembang serta merapatkan jurang digital dalam pelbagai sektor,'' jelasnya.

Untuk tujuan itu, Motorola telah memperkenalkan rangkaian lapan produk teknologi yang merangkumi penyelesaian seperti WLAN, wayarles, kepelbagaian rangkaian, perkhidmatan suara dan sebagainya.

Kehadiran produk-produk itu secara tidak langsung memberi peluang kepada agensi-agensi kerajaan dan golongan peniaga di Malaysia melengkapkan liputan jalur lebar dalam organisasi mereka.

Dengan cara itu, mereka akan memperolehi pelbagai manfaat seperti menerima maklumat dan informasi dengan lebih cepat, mengukuhkan perhubungan bersama pelanggan serta mempunyai pengurusan sekuriti terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: